Get the app for full experience
Bab 96
Sebulan berlalu dengan begitu sempurna bagi Luna. Selepas kejadian hitam di Café Queen 99 bulan lepas, Luna hidup seperti biasa. Pada sebelah pagi pergi ke kelas, sebelah petang pula dia akan menghabiskan masanya di Dunia Antasia tanpa sebarang gangguan.
Sejak kejadian itu juga, rata-rata ahli Queen lebih menghormatinya tidak kiralah junior mahupun senior. Malah, mereka juga tidak ketinggalan cuba rapat dengannya untuk mewujudkan satu komunikasi yang baik dengannya dan sebagai balasan mereka ingin mengorek rahsia daripadanya. Terutama sekali bab menggunakan kuasa di luar Dunia Antasia.
Namun, Luna sekadar menjawab dengan mengangkat bahu. Dia bukannya bodoh hendak beritahu mereka semua. Lagipun, jikalau mereka ingin tahu, pergilah bertanya Lady Sofea yang lagi arif. Malah, Lady Sofea juga turut menutup mulutnya daripada memberitahu rahsia itu kepada ahli yang lain.
Di dunia nyata pula, hidupnya tidak banyak berubah. Lucas masih bersikap dingin dengannya. Pulang ke rumah sekali sekala. Di sekolah, dia seperti biasa juga. Berkawan dengan Hazirah yang lebih pandai mendapatkan infomasi terkini tentang cerita-cerita sensasi di sekolahnya itu. Sky, Romeo dan Juliet hilang dengan begitu sahaja. Tiada langsung khabar berita daripada mereka bertiga. Mereka juga langsung tidak pernah kelihatan di Dunia Antasia.
Manakala Darling pula, dia ditakdirkan hilang ingatan dan kini bersekolah bersama dengan Luna tetapi apabila terserempak Luna berbuat tidak endah dan langsung tidak menegur Darling. Bukannya dia masih marah dengan tindakan Darling, akan tetapi dia tidak mahu menjalinkan persahabatan dengan sesiapa pun.
Lebih baik dia bersendirian. Dengan ini, dia tidak perlu bergelut dengan masalah menyelamatkan kawan-kawannya daripada mati dibunuh. Seperti Rissa. Terbaru, pihak polis sudah menjumpai mayat Rissa yang timbul di sebuah tasik di ibu negara. Rata-rata yang menyaksikan kejadian itu tidak berani tampil untuk membantu siasatan termasuklah Luna sendiri.