Chapter 5

Fantasy Completed 9131

Bab 5

Kemudian baru sahaja dia membuka pintu keretanya, dia dikejutkan dengan kehadiran satu cahaya berwarna biru dari bangunan pusat beli-belah Antasia itu. Cahaya itu semakin lama semakin merebak ke seluruh bangunan Antasia disertai dengan satu gelombang aneh. Kejadian itu berlaku hanya beberapa saat sebelum keadaan kembali normal.

Kakinya seperti digam. Tubuhnya tidak dapat bergerak. Telefon bimbit yang dipegangnya tadi turut terlepas daripada tangannya. Pandangan matanya kian kabur. Dia seperti orang mengantuk dan tidak terdaya. Tubuhnya rebah ke bumi dan terasa seolah-olah rohnya sudah terpisah daripada jasadnya.

******

Lucas terdengar bunyi siren. Bunyi derapan tapak kasut bergegas mendekatinya. Suasana yang sunyi tadi, bertukar menjadi seperti pasar borong. Bingit telinganya. Dia mulai terasa orang ramai sedang mengelilinginya. Rasa tubuhnya dipegang seseorang. Bukan seorang sahaja, malah dia dapat mengesan banyak tangan memegangnya. Pipinya ditampar beberapa kali disertai dengan suara garau seseorang.

Akhirnya sekali, dia merasakan ada sesuatu yang menutup hidung dan mulutnya. Namun, benda itu tidak melemaskannya malah memberikan lebih oksigen dan membantu sistem penafasannya yang seperti terganggu tadi.

“… masih hidup!”

“… satu-satunya mangsa yang hidup!”

Dia terdengar beberapa suara seperti berbisik tetapi dia tidak dapat menangkap apa yang sedang diperkatakan oleh mereka. Kemudian, semuanya gelap kembali. Tiada suara-suara halus di sisinya lagi.

Tarikh : 1 Disember 2009
Masa : 1.00 pagi
Lokasi : Kediaman Tuan Alias

Telefon di ruang tamu banglo tiga tingkat itu berdering dengan nyaring. Mariam yang sedang leka menonton televisyen sementara menunggu kepulangan Lucas dan Luna itu bingkas bangun daripada duduknya untuk menjawab telefon yang berada tidak jauh daripadanya. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia berasa tidak sedap hati. Seperti ada sesuatu yang berlaku.

Kemalangan?

Ataupun Luna yang menelefon kerana Lucas tidak datang menjemputnya lagi?

Sebagai seorang ibu, Mariam amat peka dengan perkembangan anak terunanya itu. Walaupun dia sibuk di pejabat menguruskan hal perniagaannya, namun, dia lebih pentingkan keluarga. Sebab itulah dia memang pantang apabila anak terunanya itu pulang pada waktu awal pagi begini. Apatah lagi kalau Luna, anak saudaranya itu turut tidak pulang ke rumah lagi kerana sikap anak lelakinya itu.

Walaupun Luna bukan anak kandungnya, Mariam tetap mengambil berat terhadap keselamatan Luna yang telah kehilangan ibu bapanya lima tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Luna tidak mempunyai sesiapa lagi selain dia. Jadi, sebagai satu-satunya saudara terdekat, Mariam tidak teragak-agak menawarkan diri menjaga Luna selepas peristiwa malang itu berlaku.
“Helo,” panggilan telefon dijawab oleh Mariam dengan penuh debaran. Sememangnya dia tidak suka mendengar deringan telefon pada waktu awal pagi begini. Pasti ada sahaja berita buruk yang ingin disampaikan.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah reaksi Mariam setelah menerima panggilan telefon tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience