Get the app for full experience
Bab 49
Tetapi apa boleh buat, dia memang tidak suka datang sekolah. Melainkan kalau ada sesuatu yang membuatkan dia suka datang ke sekolah, Luna akan menganggap sekolah itu umpama syurganya.
Tiap-tiap hari dia akan berada di sekolah
“Kenapa tu?” tanya Luna kepada Hazirah setelah terdengar sekumpulan pelajar perempuan yang berkumpul di tempat Baiduri, pelajar perempuan yang paling mendapat perhatian di sekolah. Bukan kerana dia cemerlang dalam setiap mata pelajaran dan sukan tetapi sebab dia mempunyai aura yang tersendiri, iaitu aura memikat dengan raut wajahnya yang cantik.
Kadangkala Luna sendiri menyampah dengan perangai Baiduri yang hanya perasan bagus sahaja tetapi dia tidak pernah meletakkan Baiduri sebagai musuh yang perlu dihapuskan di sekolahnya itu. Bagi Luna, selagi Baiduri tidak mengacau hidupnya, selagi itulah dia tidak akan mengacau hidup Baiduri walaupun dia tidak suka dengan perangai Baiduri yang menjengkelkan itu.
“Alah, perkara biasa,” balas Hazirah yang seperti tidak mahu menceritakan hal tersebut.
“Hal apa?” Luna bertanya. Dia sememangnya suka mencari gosip terkini terutama sekali tentang apa yang berlaku di sekolahnya itu.
“Apa lagi kalau bukan pasal lelaki. Baiduri dah couple dengan Romeo.”
“Oh,” Luna mengangguk faham. Kalau pasal berita itu, dia tidak kisah sangat. Masuk kali ini sudah banyak kali dia dengar cerita tentang Baiduri couple dengan lelaki dan banyak kali juga dia dengar Baiduri putuskan hubungan dengan pelajar lelaki. Berita itu memang berita biasa.
“Romeo?” Luna kembali memandang Hazirah.
Setahunya, dia hafal semua pelajar lelaki di sekolahnya dan tiada satu pun yang tertinggal termasuklah nama penuh pak cik tukang kebun pun dia hafal tapi setahunya tiada seorang pun pelajar lelaki di sekolahnya itu bernama Romeo. Serta merta dia teringatkan Romeo daripada Dimensi Royal semasa di Antasia beberapa hari yang lalu.
“Siapa Romeo?”
“Kau tak kenal Romeo?” Hazirah menyoalnya kembali.
Luna pantas menggeleng.
“Sejak bila kau dah jadi ketinggalan zaman ni?” Hazirah berkata seperti tidak percaya dengan Luna yang selama ini pantas dalam bab gosip tetapi kali ini kecundang di tangannya.
“Tak. Ada sesuatu yang tak kena dengan korang semua. Sepanjang aku hidup dalam sekolah ni, tiada seorang lelaki pun bernama Romeo ataupun yang menggunakan nama gelaran Romeo. Tapi kalau orang itu dipanggil Romeo kelas satu, aku kenal. Memang ramai lelaki kat sekolah ni species Romeo kelas satu yang hanya pandai mengayat perempuan sahaja!” tegas Luna Lusia sebaik sahaja tiba waktu rehat.
Sejak dari awal pagi lagi sehinggalah waktu rehat, kepalanya asyik bertanya siapakah Romeo yang dimaksudkan oleh Hazirah tadi. Sememangnya dia pasti, tiada seorang pelajar lelaki pun bergelar Romeo.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah lelaki yang digelar ‘Romeo’ itu? Mengapa Luna tidak mengenalinya?