Bab 78
Malah reka bentuk rumah itu juga mempengaruhi reka bentuk orang Inggeris sewaktu zaman penjajahan Inggeris dahulu.
Namun, Luna tidak menyangka bahawa ada rumah secantik itu di tengah-tengah kota ibu negara Kuala Lumpur. Atau mungkin ini adalah salah satu illusi lagi. Ini kerana tempat yang indah begitu pasti menarik perhatian ramai.
“Rumah siapa ni?” tanya Luna sambil keluar dari perut kereta Juliet.
Juliet tidak menjawab pertanyaan Luna itu tetapi sebaliknya menarik Luna masuk ke dalam rumah itu. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam, Luna terpegun melihat keindahan di dalamnya. Rumah agam itu bukan sahaja cantik di luar sahaja, tetapi turut memikat hati pada mata yang memandang di dalamnya.
Luna tidak sempat hendak meneliti semua barangan-barangan antik yang berada di dalam sana kerana terpaksa mengekori langkah Juliet yang laju mendaki anak-anak tangga naik ke tingkat atas.
“Kau dapat penawar tu?” Romeo menyapa apabila Juliet melangkah masuk ke dalam sebuah bilik yang luasnya lima kali ganda daripada bilik Luna sendiri.
Walaupun bilik itu sangat luas tetapi tidak banyak barang yang terdapat di dalam sana. Hanya terdapat beberapa buah almari baju, sebuah rak buku, sebuah meja tulis manakala di sudut tersorok berdekatan dengan jendela luar, terdapat satu set sofa antik yang digunakan untuk menonton televisyen. Manakala di tengah-tengah bilik itu terdapat sebuah katil besar yang mampu memuatkan lima orang tidur di atasnya.
Sky!
Hatinya menjerit memanggil nama Sky apabila terpandang Sky terbaring kelesuan di atas katil itu. Tanpa berlengah lagi, Luna melepaskan pegangan tangan Juliet yang masih lagi memegang tangannya dan berlalu menghampiri Sky. Dia langsung tidak mempedulikan Romeo yang bertekak dengan Juliet kini.
“Princess, aku tahu Sky begitu bermakna pada kau tapi boleh tak jangan bazirkan masa dia dan dapatkan penawar tu segera?” Romeo menyapa di sebelah Luna yang tidak berkelip melihat Sky terlantar sakit tidak sedarkan diri di atas katil.
“Kau kata kau tahu macam mana nak hentikan seketika racun tu daripada merebak.” Kata Juliet memandangnya tajam.
“Aku boleh hentikan.” Kata Luna sambil bangun daripada duduknya. Dia memandang mereka berdua dengan penuh keberanian.
“Tapi?” Romeo seperti dapat mengagak sesuatu.
“Tapi, aku inginkan sesuatu sebagai pertukaran.”
“Apa dia?”
“Ajar aku bagaimana nak guna ilmu Ilusi.” Kata Luna langsung tidak menunjukkan bahawa dia kini sedang bergurau. Dia benar-benar maksudkannya.
Juliet yang mendengarnya tergamam seketika sebelum ketawa kelucuan. Namun, Luna sedikit pun tidak memberi sebarang reaksi. Dia tahu, Juliet pasti menganggap bahawa permintaannya itu sebagai satu permintaan yang mustahil.
“Kau tak berguraukan?” Juliet bertanya dengan serius. Tiada lagi senyuman lucu terukir dibibirnya.
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa Luna mahu guna ilmu Ilusi itu? Adakah ilmu itu membantu untuk merawat racun daripada merebak?
Share this novel