Get the app for full experience
Bab 83
Tetapi semasa aku berbual dengan Juliet, aku tak nampak langsung perangai gediknya. Dia seperti mempunyai alter ego yang lain. Seperti bukan Juliet yang aku kenali di sekolah. Begitu juga Romeo. Juliet seorang yang peramah dan berfikiran terbuka. Dia mempunyai fikirannya sendiri dan tidak terpengaruh dengan hasutan sesiapa. Ini terbukti apabila dia menceritakan bagaimana situasinya apabila berperang pendapat dengan Romeo dan Sky.
Dalam sekelip mata sahaja, aku mempercayai Juliet. Pertama kali aku rasa diri aku ini bebas untuk berkata-kata dan pertama kali juga aku rasa aku dah berjumpa dengan seseorang yang aku percaya dan boleh dibuat kawan. Memang aneh tapi aku selesa bergaul dengan Juliet.
Kalau tidak kerana Lucas menghubungi aku, mungkin aku tak pulang ke rumah. Mungkin aku akan habiskan masa di dalam rumah agam itu dan menanti Sky sedar. Tetapi, aku tahu, aku juga ada kehidupan lain dan tidak mahu menyusahkan Lucas lagi.
Cukuplah sekali dia marah-marah sebab perangai aku yang pentingkan diri. Selalunya jikalau Lucas sudah hubungi aku, mungkin Auntie Mariam sudah risau gila apabila mendapati aku tiada di rumah. Apabila Auntie Mariam tidak dapat mencari aku di rumah, dia akan terus menghubungi Lucas yang berada di kolej dan bukannya menghubungi aku terlebih dahulu. Nasib baiklah Lucas juga mengerti dengan perangai mamanya dan terus hubungi aku. Jadi, kuranglah sikit kena tengking dengan Lucas cuma bebelan biasa sahaja.
Walau apa pun, hari ini aku menemui apa yang aku inginkan selama ini…
Luna Lusia
10 Ogos; 9:00 malam
******
Luna memasukkan beberapa senduk nasi ke dalam bekas makanan setelah nasi yang ditanaknya itu masak. Asap halus berkepul-kepul naik ke udara menunjukkan bahawa nasi itu masih panas lagi. Dia membiarkan nasi yang panas itu dan kembali ke dapur mengacau sup ayam yang dibuat awal pagi tadi.
Sejak daripada malam tadi Luna tidak dapat tidur dengan nyenyak apabila teringatkan keadaan Sky. Ingin sahaja dia menelefon Juliet dan bertanya tentang keadaan Sky tetapi dibatalkan niatnya itu memandangkan hari sudah lewat malam dan mungkin Juliet sedang tidur. Namun, awal pagi tadi, dia dikejutkan dengan mesej daripada Juliet yang mengatakan bahawa Sky sudah sedar tetapi berada dalam keadaan lemah.
Terus bibirnya mengukir senyuman dan bersyukur kerana Sky sudah melepasi tahap berbahaya. Serentak dengan itu juga, dia membalas mesej Juliet dengan mengatakan bahawa dia akan ke sana pagi itu. Tanpa berlengah lagi, Luna terus bangun dan meninggalkan bantalnya untuk memasak di dapur.
Hatinya berbunga-bunga. Dia sendiri tidak tahu kenapa mesti ada perasaan itu. Apatah lagi dia langsung tidak kisah tentang reaksi Sky nanti.
...bersambung
Bab akan datang:
Bagaimanakah reaksi Sky nanti apabila mengetahuinya?