Bab 50
Tetapi Hazirah bermati-matian mengatakan memang wujud pelajar lelaki itu. Malah, sebut sahaja nama Romeo pasti orang tahu siapa gerangan orangnya.
“Suka hati kaulah.” Hazirah sudah malas hendak menyakinkan Luna lagi. Sudah penat dia beritahu siapakah gerangan Romeo yang dimaksudkan tetapi Luna masih tidak dapat menangkap siapa orangnya. Semua tekaan Luna tidak mengena.
“Boleh tak kau tunjukkan siapa orangnya? Dia ada di kantin ni tak?” tanya Luna lagi sambil memandang sekeliling. Kemudian, pandangannya jatuh ke arah Baiduri yang sedang makan bersama-sama seorang pelajar lelaki.
Dia merenung lama pelajar lelaki yang seperti pernah dilihatnya itu tetapi dia yakin, dia bukan melihat lelaki itu di sekolahnya tetapi dia Antasia! Romeo! Hatinya menjerit.
“Itulah Romeo yang Baiduri kejar-kejar selama ni,” kata Hazirah di sebelahnya.
“Hah?!”
“Kenapa kau terkejut sangat?”
“Mestilah aku terkejut. Dia bukan pelajar sekolah ni!” kata Luna.
Dia pasti, dia bukan bermimpi dan bukan juga sedang mengalami penyakit hilang ingatan. Dia pasti bahawa Romeo yang bersama Baiduri itu bukan merupakan pelajar sekolahnya. Sudah berapa lama dia belajar di sekolah itu dan dia tidak pernah pun terserempak dengan Romeo. Kali pertama dia terjumpa Romeo adalah beberapa hari yang lepas. Itupun bukan di sekolah tetapi di Antasia!
Kemudian, matanya terpandang seorang pelajar perempuan yang menarik perhatiannya. Bukan kerana pelajar perempuan itu cantik sehingga di kelilingi oleh beberapa ekor kumbang menyamar menjadi manusia tetapi sebab dia amat mengenali pelajar perempuan itu.
‘Juliet!’ sekali lagi hatinya menjerit.
“Siapa perempuan tu?”
“Luna! Takkan kau tak kenal? Dia Juliet, musuh ketat Baiduri!” Hazirah semakin pelik. Luna hari ini seperti orang hilang ingatan tetapi mujurlah Luna masih mengingatinya, sebagai kawan.
“Sejak bila diorang berdua bersekolah di sini?” tanya Luna kepada Hazirah.
“Dah lama dah. Aku rasa mungkin kepala kau terhantuk sesuatu pagi tadi tak?”
“Aku tak sakit dan ingatan aku masih kuat lagi… diorang berdua tu tak sepatutnya…,” kata-katanya terhenti apabila kakinya terpijak sesuatu sehingga menyebabkan dia hilang imbangan badan.
Ia berlaku begitu pantas. Sedar-sedar sahaja, badannya telah disambut oleh seseorang daripada jatuh terlentang di atas lantai kantin yang kotor itu. Mata Luna langsung tidak berkelip memandang lelaki yang menyambut tubuhnya itu dengan sebelah tangan sahaja.
“Cuai betul,” kata lelaki itu sambil mengangkatnya kembali berdiri.
“Lain kali berhati-hati,” ujarnya lagi sebelum melangkah pergi meninggalkan Luna dengan seribu pertanyaan.
“Sky?” beberapa kali Luna menggosok matanya dan akhirnya barulah dia tahu bahawa matanya tidak berbohong. Orang yang dilihatnya pagi tadi adalah Sky dan orang yang menyelamatkannya daripada terjatuh tadi juga adalah Sky. Sky – The Silence Killer atau bakal ketua Generasi ke-2 berada di sekolahnya!
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah orang yang menyelamat Luna dan dilihatnya pagi itu adalah Sky atau sekadar bayangannya saja?
Share this novel