Get the app for full experience
Bab 73
“Apa kau buat kat sini?” tanya Luna hairan dengan kemunculan Darling di sekolahnya.
Dia sendiri tidak tahu apakah yang membuatkan mereka semua berminat berpindah ke sekolahnya. Mula-mula Romeo dan Juliet.
Kemudian, Sky dan sekarang Darling juga bersekolah di situ. Dan esok lusa, entah siapa yang berminat mendaftar di sekolah itu.
“Princess, aku minta maaf banyak-banyak sebab aku ambil keputusan macam ni tanpa beritahu kau terlebih dahulu. Sebenarnya aku takut dengan permainan tu. Aku tak nak tersingkir daripada Dunia Antasia. Jadi, aku fikir mungkin aku lagi selamat kalau bersama dengan kau.”
“Hah?”
“Tolonglah Princess, aku takut lagipun aku hanya percayakan pada kau seorang saja sekarang ni,” kata Darling seakan ingin belas kasihan daripadanya.
“Yelah, tapi takkanlah sampai kau sanggup tukar sekolah?” Luna seakan tidak percaya Darling sanggup tukar sekolah semata-mata kerana takut dengan permainan itu. Tapi itulah Darling, seorang yang sering diselubungi ketakutan. Itu jikalau berada di dunia nyata. Apabila berada di Dunia Antasia, tiada lagi Darling pengecut yang dikenalinya. Darling di Dunia Antasia merupakan salah seorang yang hebat, sering kali mendapat pujian daripada Lady Sofea dan banyak lagi.
Luna sekadar menarik nafas pendek sambil menggeleng. Dia tidak tahu hendak kata apa lagi. Darling pula sekadar tersenyum sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Idea aku ni agak keterlaluankah?” tanya Darling tidak ubah seperti budak kecil lagaknya. Pertanyaan Darling itu dijawab dengan sekali gelengan. Luna tidak mampu hendak berkata-kata.
“Eh, itu bukan ke…?” Darling menyoal sambil menunjuk ke arah Sky yang sedang duduk membaca buku sambil menjamah sekeping roti berperisa vanilla yang menjadi kegemaran Sky setiap kali waktu rehat tiba.
Namun, biasanya makanan Sky akan bertukar mengikut hari tertentu. Ini adalah hasil kerja mengintip Sky sejak diarah oleh Lady Sofea.
Kesimpulan yang dia perolehi daripada kerja mengintipnya, Sky hidup seperti manusia biasa dan seorang pelajar sekolah biasa. Cuma yang bezanya, Sky kini berjaya menarik perhatian ramai pelajar-pelajar perempuan jatuh cinta padanya. Tetapi, tidak sepertinya, Sky melayan mereka semua dengan baik kecuali dengannya sahaja dingin.
‘Ah, mungkin aku tak ditakdirkan hidup dengan mana-mana lelaki. Lelaki yang berada di sisi aku semuanya dingin belaka,’ hatinya bermonolog sendirian.
“Itu Sky, dia bersekolah di sini. Begitu juga dengan Romeo dan Juliet,” ujar Luna tanpa berselindung lagi. Lagipun tidak guna dia berbohong kepada Darling. Mulai daripada hari ini, Darling akan bersekolah di situ dan lambat laun Darling tetap akan tahu bahawa mereka bertiga satu sekolah dengannya. Jadi, lebih baik Luna beritahu Darling perkara yang sebenar. Akan tetapi, bukan semua yang diberitahunya.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Darling akan menegur Sky di dunia nyata?