Chapter 25

Fantasy Completed 9131

Bab 25

Seingatnya, dia hanya menunggu Luna di luar sahaja dan tidak masuk ke dalam. Tetapi rakaman CCTV itu menunjukkan dia sedang mencari Luna di dalam. Pelik. Tidak mungkin rakaman itu adalah rakaman palsu tapi dia tidak dapat mengingatinya.

“Kalau dilihat pada rakaman ni, kamu ada menerima satu mesej dan selepas membacanya, kamu terus keluar beberapa minit sebelum letupan misteri itu berlaku.” Inspektor Dahlan menerangkan sambil menunjuk ke arah video yang diulang semula dan diberhentikan pada bahagian Lucas membelek handsetnya itu.
Aku ada kat kereta kau sekarang – Luna Lusia.

Tiba-tiba mesej daripada Luna itu muncul di kotak ingatannya. Dia yakin, memang dia pernah masuk ke dalam Antasia sebelum kejadian letupan itu berlaku. Pada masa itu, Luna langsung tidak membalas panggilan ataupun mesej daripadanya. Dia akhirnya membuat keputusan untuk mencari Luna di dalam sana dan ketika itulah Luna memberi mesej dengan mengatakan bahawa Luna berada di keretanya.

Setelah mendapat mesej daripada Luna, dia bergegas keluar menghampiri kereta yang di letak di seberang jalan. Tetapi apabila dia sampai ke keretanya, tiada kelibat Luna kelihatan di situ.
Terima kasih dan selamat tinggal – Luna Lusia.

Sebuah lagi mesej keluar dari kotak ingatannya. Mesej misteri daripada Luna juga merupakan mesej terakhir daripada Luna. Pelbagai persoalan timbul di fikirannya. Yang paling utama, bagaimana dia boleh lupa bahawa Luna ada memberinya mesej sebelum kejadian itu berlaku? Kenapa selepas dia menonton rakaman CCTV itu, barulah dia mengingati segalanya?

Semakin difikir, semakin sakit kepalanya. Dahinya seperti rasa terbakar dan pandangannya mulai kabur manakala dunianya seakan berpusing dengan pantas.

“Lucas?” Mariam menghampiri Lucas apabila menyedari muka anaknya itu kelihatan pucat. Bukannya takut tapi seakan tidak bermaya.

“Saya okey.” Akhirnya dia menjawab setelah menyedut udara segar dengan perlahan-lahan. Dia kemudiannya mengalih pandangan ke arah dua tetamu yang masih lagi menanti jawapan daripadanya. “Saya minta maaf. Saya betul-betul tak ingat.”

“Baiklah Lucas, awak tahu awak masih belum sembuh lagi. Maaf kerana mengganggu. Lain kali kami akan datang lagi dan saya harap awak dapat membantu kami mencari siapakah dalang yang menyebabkan kematian beratus-ratus orang ini.” Kata Encik Rahsil sambil menutup komputer ribanya dan kembali memasukkannya ke dalam beg bimbitnya.

“Saya minta maaf sebab menganggu anak puan dan terima kasih sebab membenarkan kami berjumpa dengannya,” kata Inspektor Dahlan kepada Mariam yang mengeriringi dua tetamunya itu ke pintu utama.

“Kamu nak makan? Muka kamu masih pucat lagi.” Mariam menghampiri anak lelakinya itu setelah dua tetamunya itu pulang.
Lucas sekadar menggeleng. Bukan makanan yang diperlukan sekarang walaupun perutnya sudah berbunyi. Dia hanya perlukan jawapan bagi soalan yang menganggu fikirannya sekarang.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah Lucas akan memberitahu Puan Mariam mengenai mesej yang dihantar oleh Luna kepadanya sebelum kejadian letupan itu berlaku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience