BAB 25

Romance Series 55690

“Cincin ini sebagai tanda cinta kita. Bila you masuk meminang I nanti, you bawakan cincin yang baru,” ujarku selamba.

“Alahai! Kopaklah poket I kalau macam ni,” keluhnya tetapi bibirnya tersenyum lebar.

Aku cuma tergelak kecil, kembali membelek cincin yang tersarung di jari. Berkemilau sinarnya di jari manisku.

Sehingga kini, kemilau sinarnya tidak pernah memudar. Sama seperti perasaanku terhadapnya. Cuma kini kemilau indah itu bukan lagi sesuatu yang menyenangkan hatiku lagi, sebaliknya sentiasa menusuk luka hati ini.

Pipiku terasa hangat. Tanpa sedar aku mengalirkan air-mata apabila terkenangkan detik-detik manis percintaan yang kecundang, membuatkan rancangan kami berdua untuk hidup bersama tinggal sebagai sebuah lakaran yang tidak bermakna apa-apa. Dan kemanisan kisah percintaan itu sedang menghiris hatiku sehingga berkeping-keping jadinya.

Aku perlu menguburkan kenangan manis itu. Kalau tidak, hati akan semakin merana, jiwa akan semakin terdera. Apabila itu berlaku, aku tidak akan dapat mengumpul kekuatan untuk bangun membina bahagia yang baru.

Tetapi untuk menguburkan kenangan manis itu, bermakna aku perlu menguburkan juga cincin emas bermata delima merah yang tersarung di jariku ini.

CINCIN emas bermata delima merah itu mendapat perhatian ramai orang, termasuk Haezade. Selamba sahaja dia mencapai tanganku, membawa jari-jariku dekat ke matanya. Terkejut juga aku dengan gelagat selambanya itu.

“Cantik,” pujinya sepatah.

“Lepaslah!” Aku merentap tanganku tetapi tangannya kuat mencengkam. Enggan melepaskan.

“Siapa yang beri?” soalnya, masih terus membelek. Rakan-rakan sekerja yang lain tidak mempedulikan gelagatnya. Mungkin mereka sudah terbiasa dengan sikap selambanya itu.

“Aku beli sendiri,” aku berbohong. Mana mungkin aku memberitahunya yang cincin itu adalah pemberian kekasih hati. Rata-rata staff syarikat produksi ini menyangka aku masih lagi solo, sendiri tanpa cinta. Aku tidak pernah memberitahu mereka yang hati ini telah aku serahkan kepada seorang lelaki.

“Ya ke?” Haezade enggan mempercayai jawapanku.

“Kalau tak percaya, terpulang,” cebikku sambil cuba menarik tanganku kembali. Tetapi tetap tidak terlepas.

“Mesti mahal ni,” ujar Haezade.

“Kalau hati dah berkenan, tak kisahlah harganya mahal sekalipun. Alah membeli, menang memakai,” balasku pula, terasa jengkel mendengarkan kata-katanya itu. Sikap penyibuknya itu mengalahkan perempuan. Bahkan aku dan Zach sama-sama sepakat menggelarnya ‘Si Penyibuk’.

“Kalau kau beritahu aku…” keluhnya pula.

“Apa kau nak buat?” soalku, terasa pelik mendengarkan keluhannya itu.

“Kau tak perlu membeli, kerana aku sedia membelikannya untuk kau,” dia bersuara selamba.

Berderau darahku mendengar bicaranya itu, sekaligus tidak menyenangi. Apa kata orang lain kalau mereka terdengar kata-katanya itu. Mesti akan wujud pelbagai penafsiran yang bukan-bukan.

“Tapi lepas tu, kau kenalah bayar balik duit aku,” ujar Haezade lagi, tergelak-gelak sambil memandangku.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Haezade memaksudkan apa yang dikatakan sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience