BAB 33

Romance Series 55700

Kerana itu, mereka tidak kisah sangat akan apa yang aku lakukan.

Tetapi dengan cara itu, aku mempunyai ruang kebebasan yang cukup besar untuk memilih siapakah kawan atau kekasih. Aku tidak seperti adik-beradikku yang hidup di dalam kawalan orang-tua.

Keluarga Zach tahu yang aku rapat dengannya. Tetapi aku tidak pasti sama ada Zach berterus-terang dengan orang-tuanya atau tidak akan hubungan sebenar kami. Dan aku harapkan orang-tua kami tidak melenting marah, apatah lagi menentang apabila mengetahui hubungan kami berdua kelak.

“Apa agamanya?” soal Haezade lagi.

“Kristian,” jawabku perlahan.

“Kau dan dia ada rancangan hendak berkahwin?” soal Haezade lagi.

“Ya,” anggukku. Apa gunanya bercinta sakan kalau matlamatnya bukan untuk sampai ke jinjang pelamin.

“Itu maknanya dia kena menukar pegangan agamanya,” ujar Haezade.

“Eh! Mestilah. Aku tak mahu menjadi pasangan Lydia Kandou dan Jamal Mirdad versi Malaysia. Takut jadi kes mahkamah nanti,” balasku pula, separuh bergurau.

Pasangan Lydia Kandou dan Jamal Mirdad adalah dua orang selebriti Indonesia. Lydia Kandou adalah penganut Kristian manakala Jamal Mirdad beragama Islam. Kedua-duanya berkahwin tanpa Lydia menukar pegangan agamanya itu.

Kalau di Malaysia, huru-hara jadinya nanti kalau hal seumpama itu berlaku. Aku tidak mahu menurut jejak kedua-dua mereka. Islam adalah agamaku dan aku tidak mahu mencemarkan kesucian agamaku dengan perkara sebegitu. Lagipun bagiku, cinta terhadap insan tidak seharusnya melebihi cinta terhadap agama dan Tuhan.

“Sekarang ni, dia sedang mempelajari Islam,” beritahuku kepada Haezade lagi.

“Dengan rela hatinya atau kau yang menyuruhnya?” soal Haezade sinis, sekaligus memerangkapku.

Serba-salah juga aku mendengar soalannya itu. Zach mempelajari Islam di atas permintaanku, bukan dengan rela-hatinya.

“Mesti kau yang menyuruhnya,” tebak Haezade.

Aku tidak mengangguk, juga tidak menggeleng.

“Kalau kau yang menyuruhnya mempelajari Islam, bermakna dia tidak seikhlas mana pun hendak mempelajari tentang agama kita,” Haezade terus bersuara.

Aku membisu, tidak bersuara balas. Melihat reaksiku sebegitu, Haezade tidak berkata apa-apa lagi. Dia sedar yang aku enggan melayan bicaranya, juga tidak mahu memperbincangkan hal itu lagi. Segera dia berlalu pergi meninggalkan aku sendirian yang kemudiannya memikirkan kembali semua kata-katanya itu.

Hatiku terasa agak terkilan kerana Haezade mempersoalkan keikhlasan Zach untuk mempelajari Islam. Memang benar aku yang meminta sekaligus seperti mendesak Zach untuk mempelajari Islam, tetapi Zach tidak sedikit pun membantah permintaanku ini. Maka, biar pun Zach tidak ikhlas mempelajari Islam seperti yang dikatakan oleh Haezade, sekurang-kurangnya Zach rela mempelajarinya.

Aku yakin, lambat-laun cinta Zach terhadap Islam akan muncul.

MASHITAH

Zach kelihatan tenang apabila aku ceritakan tentang tentangan Haezade terhadap hubungan kami berdua yang melangkaui perbezaan bangsa dan budaya itu. Begitulah Zach, dia sentiasa tenang setiap kali berhadapan dengan sesuatu situasi yang sukar.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah apa yang diharapkan Mashitah akan menjadi kenyataan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience