BAB 90

Romance Series 55690

Aku bagaikan terkena renjatan elektrik. Lemah kepala lutut aku mendengar permintaannya, membuatkan aku seperti mahu tumbang ke tanah. Aku tidak menduga itu yang aku dengar daripada mulutnya.

“Kenapa?” aku menyoal perlahan, dengan fikiran yang terasa kelam. Agaknya, inilah urusan penting yang dimaksudkan oleh emaknya dahulu.

“Kita tak serasi.”

“Dari segi apa?”

“Dari segi cara berfikir, cara pergaulan… kita macam langit dan bumi.”

“Jadi, Miza nak cari syurga sebagai pasangan Miza?” sinis aku bersuara. Aku mengerti maksudnya itu. Dia mahukan lelaki yang baik-baik, bukannya lelaki yang seperti aku.

Bulat matanya memandangku. Merah wajahnya. Dia sudah marah. Tetapi hatiku sudah dicengkam sayu. Hanya dengan secalit kesilapan, hanya dengan secebis kesalahan, dia menghukum aku sebegini rupa.

Dia langit, manakala aku pastinya bumi. Dia tinggi di atas sana, bagaikan tidak tersentuh noda dan dosa. Manakala aku adalah tempat kaki memijak, penuh dengan segala kekotoran. Dia tidak pernah melakukan kesilapan yang mencemarkan nama baiknya tetapi nama baik aku pernah pernah tercemar. Kekal bersamaku membuatkan nama baiknya akan cemar bersama.

Tetapi tahukah dia yang dia adalah cintaku yang teragung? Dialah bulan yang dipuja, dia jugalah bintang yang menjadi idaman. Dia jugalah matahari yang pedoman pelayaran impianku. Tanpa dia, aku bagaikan kehilangan arah. Memang aku akui yang aku ini tidak sebaik mana pun, sekaligus tidak layak menggandinginya. Namun aku tidak melihat itu sebagai satu jurang yang memisahkan kami. Tetapi Armiza menjadikannya sebagai alasan yang kukuh untuknya meleraikan ikatan.

Dia melucutkan cincin di jarinya, menghulurkan kepadaku.

“Ambillah balik,” dia bersuara perlahan.

Pedih benar hatiku ketika ini. Aku mengikat cinta kami dengan cara yang beradat tetapi dia merungkaikannya dengan cara yang biadab.

“Bukan begini cara memulangkan pemberian orang, Miza,” aku bersuara kecewa. Kalau itu mahunya, siapalah aku untuk menghalang.

Dia sudah meminta putus dahulu. Dan kini dia mengulangi permintaannya kembali. Kalau dia meminta putus buat kali ketiga, bermakna ketika itu aku telah menjadi lelaki yang hilang harga diri pada pandangan matanya dan juga pada pandangan mata semua orang. Aku akan dilihat orang sebagai pengemis cintanya nanti. Sudah tahu orang tak suka, masih lagi hendak mencintai.

Tetapi pulangkanlah cincin itu dengan sebaik-baik cara. Dengan itu, hati emak tidak akan terkilan sangat. Emak yang menyarungkan cincin itu ke jari Armiza, pastilah dia mahu cincin itu dilucutkan dengan cara sebaik-baiknya. Maruah keluarga kami masih terjaga kalau caranya begitu.

“Abang hendak Miza pulangkan mengikut adat?” soalnya perlahan.

Aku mengangguk kepala dengan perlahan.

“Abang nak juga Miza membayar ganti-rugi adat yang bernilai dua kali ganda daripada pemberian abang semasa bertunang dahulu?” soalnya sinis.

Aku mengucap di dalam hati. Maksudku tadi sudah tersalah-tafsir olehnya.

“Miza rela menebus adat, abang. Asalkan Miza boleh membina cinta yang baru tanpa rasa takut dilukai sentiasa.”

Dia sudah bertekad dan nekad rupanya. Jadi dengan cara yang bagaimanakah lagi hendak aku pujuk dirinya?

“Abang tak akan meminta ganti-rugi adat, Miza,” ujarku perlahan.

Dia merenung tajam, seperti tidak percaya.

“Dan abang juga tak akan meminta balik cincin tu. Simpanlah, sebagai hadiah dari abang. Kot-kot Miza terdesak nanti, boleh juga gadaikan untuk dapatkan duit,” aku masih sempat berseloroh, demi melindungkan hati yang berdarah. Tidak perlu lagilah aku meminta dia memulangkannya secara beradat. Tak apalah, biar aku menjelaskan sendiri kepada emak. Emak akan mengerti.

Dia merenungku seketika. Kemudiannya tanpa sepatah kata dia berlalu pergi. Aku sekadar tercegat memerhati langkahnya yang kian menjauh dan kemudiannya menghilang dari pandangan mata.

Aku telah kehilangan cinta pertamaku.

Rasa debar dan resah yang membara di dalam diri tadi kini diganti rasa hampa dan kecewa. Bukan sedikit rasa pedih yang menjalar hati. Bukan sedikit juga rasa sakit yang mencengkam sanubari. Aku ingin sekali menangis di ketika ini, agar segala rasa itu pergi dan hilang dari dalam diri tetapi air-mataku enggan mengalir turun. Sudahnya, rasa terluka itu terpendam di dalam hati tanpa sesiapa pun mengetahui.

Aku telah menempuh luka cinta yang aku tidak ingin hadapi akhirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience