BAB 88

Romance Series 55700

REDZA

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia.

Latihan pentauliahan kini sudah bermula. Aku seronok dapat berkumpul dengan kawan-kawanku kembali. PALAPES Universiti Teknologi MARA terbahagi kepada tiga cawangan kampus iaitu kampus Dungun, Arau dan Shah Alam. Kami semua hanya dapat berjumpa ketika latihan khemah tahunan dan latihan pentauliahan seperti ini.

Aku tahu, ada antara kawan-kawan aku mengetahui apakah yang telah terjadi pada semester terakhir itu tetapi mereka semua bagaikan berpakat untuk tidak bertanya. Tetapi sekali-sekala, ada juga mereka menyoal di dalam usikan, mahu mengetahui kisah sebenarnya. Aku hanya tersenyum, lantas mengangkat bahu. Aku tidak mahu bercerita akan hal itu kerana tidak mahu bercerita akan aib diri sendiri. Tersilap haribulan, orang akan tersalah-tafsir mengatakan aku berbangga dengan kesilapan yang dilakukan. Kawan-kawan daripada universiti lain masih belum mengetahui apa yang telah berlaku. Dan aku yakin kawan-kawan seuniversiti aku tidak akan menghebohkannya kepada mereka.

Sebelum latihan kawad pentauliahan diadakan, pertandingan merentas desa, pertandingan bola jaring bagi kadet perempuan dan merempuh halangan diadakan. Aku turut serta di dalam pertandingan merentas desa, sekadar hendak menguji stamina.

Dan bukannya stamina yang diuji, sebaliknya kesabaran diri yang teruji kerana sebaik-sahaja tiba di pintu masuk padang tempat berakhirnya larian, aku dimaklumkan yang kami dikehendaki berlari mengelilingi padang tersebut barulah dikira lengkap jarak larian kami. Aku saling bertukar pandang bersama seorang gadis yang kebetulan berada di sisi. Masam benar wajahnya yang merah bagaikan bunga ros itu. Kami sama-sama sakit hati kerana tidak mendapat maklumat tersebut terlebih awal, tetapi bagaimanapun kami tetap juga meneruskan larian mengelilingi padang itu.

Aku tidak memenangi apa-apa pingat tetapi gadis yang berlari mengekori di belakang aku itu menjadi naib johan bagi kategori kadet perempuan.

Selesai pertandingan dan ketika semua pasukan universiti mula sibuk dengan latihan kawad pentauliahan, aku mencuri-curi masa untuk menghubungi Armiza. Misi memujuk tetap perlu diteruskan tidak kira aku sesibuk mana pun. Aku tidak mahu kelopak kasih kami memudar seri warnanya.

Tetapi apabila aku menghubungi rumahnya, emaknya memberitahu yang Armiza telah pergi ke Kuala Lumpur. Sudah dua hari, beritahu bakal mertuaku itu lagi.

Armiza telah datang ke Kuala Lumpur? Dengan siapa? Dan untuk apa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience