BAB 45

Romance Series 55700

Kenapa? Uda tidak berkenan dengan bakal menantu merekakah? Kan Syamsir tu baik orangnya, juga berasal daripada keluarga yang berkedudukan.

“Uda buat kecil-kecilan saja,” beritahu Mastura.

Kecil-kecilan? Hairan juga aku mendengar penjelasan Mastura itu. Bukankah dahulu Uda Bakar dan Uda Misah beria-ia mahu mengadakan majlis yang besar-besaran untuk Natrah yang menjadi kebanggaan dan kesayangan mereka.

“Bila sampai, Shitah?” sapa Uda Misah ketika aku menemuinya di ruang tamu rumah.

“Petang tadi, Uda,” beritahuku sambil menyalami tangannya.

“Lama cuti?” Uda Misah bertanya lagi.

“Seminggu saja.”

“Lamalah tu.”

“Balik ni bukan setakat hendak membantu majlis perkahwinan Uda. Sambil-sambil tu hendak juga berehat-rehat tenangkan fikiran,” beritahuku sambil tergelak. Sambil itu, mataku membelingas memerhati ruang rumah yang masih belum berhias.

“Rumah tak berhias lagi, Shitah,” Uda Misah yang menyedari mataku liar memerhati memberitahu perlahan.

“Tak apa, nanti kita sama-sama berkemas dan menghiasnya,” balasku, sambil menyesali mataku yang liar memandang tadi.

“Uda tak sempat nak buat apa-apa persiapan. Sebaik-sahaja pihak lelaki bersetuju, terus saja kami tetapkan tarikh majlis. Itu yang Uda jadi kelam-kabut tu. Segan pun ada, sebab majlis ini tak sebesar dan semeriah mana,” ujar Uda Misah.

“Kalau macam tu, kenapa tak tangguhkan dahulu majlis ni dan cari masa yang lebih sesuai?” soalku pula.

Uda Misah hanya tersenyum tawar, menggelengkan kepala tetapi tidak berkata apa-apa. Mastura menyikuku, seperti memberi isyarat supaya jangan bertanya lebih tentang hal itu.

Selepas berbual sebentar dengan Uda Misah, aku berlalu ke tingkat atas, mahu menemui Natrah. Dia sedang sibuk mengelap perabot-perabot di dalam biliknya itu. Perabot-perabotnya adalah perabot-perabot lama, tidak berganti dengan yang baru seperti kelazimannya. Hairan aku. Natrah kelihatannya tidak segembira mana hendak berkahwin, tidak seperti gadis-gadis lain yang bakal menempuh gerbang perkahwinan. Kalau begitu, kenapa mahu tergesa-gesa kahwin?

Dan aku lihat, hanya dia seorang yang sedang bertungkus-lumus mengemas bilik itu. Di mana adik-beradiknya yang lain? Natrah anak bongsu daripada tujuh beradik. Tetapi aku hanya dapat melihat kakak Nurain dan Nazriah sahaja. Tidak terlihat saudara-mara yang lain. Kenapa mereka masih belum pulang lagi, sedangkan majlis akan berlangsung pada lusa nanti. Takkan mereka semua hendak pulang pada hari perkahwinan sahaja? Atau mereka memang tidak mahu pulang?

“Eee… Ara semakin chubbylah,” tegurku kepadanya. Tanda tanyaku tadi dikuis ke tepi. Ini majlis mereka, bukannya majlis aku. Jadi bagaimana caranya mereka hendak mengadakan majlis ini, terpulang kepada keluarga Uda Misah. Aku hanya datang untuk membantu apa-apa yang patut, supaya majlis berjalan dengan jayanya.

Natrah, yang aku panggil Ara hanya tersenyum apabila aku menegurnya sebegitu. Aku menggelengkan kepala apabila melihat badannya yang tampak berisi.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang berlaku dengan Natrah sehingga Mashitah berkata sebegitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience