BAB 17

Romance Series 55690

“Cakap sajalah. Sekalipun you suruh I terjun daripada bangunan tinggi, I sanggup lakukannya, sekalipun maut sedang menunggu I,” angguknya, tidak ubah seperti petikan dialog filem Hindi.

Tetapi yang aku mahukan ini mungkin lebih sukar daripada terjun daripada bangunan yang tinggi.

“Cakaplah apa yang you nak I lakukan,” Zach kembali mendesak.

“I… nak you mempelajari Islam,” ujarku perlahan.

Zach tergamam.

“Dari tadi saya nampak awak duduk di sini merenung laut. Tak jemu-jemu lagi ke?” Suara Redza menyapa mesra pada pendengaran.

Ketika aku menoleh, terlihat dia yang sedang berdiri di belakang. Aku langsung tidak menyedari kehadirannya di sisi. Pasti dia telah lama tercegat di belakang dan memerhati gelagatku.

“Keindahan ciptaan Tuhan tak pernah jemu dipandang mata,” balasku perlahan.

“Agaknya sebab itulah lelaki tak pernah jemu memandang wajah perempuan,” gelak Redza, sambil menggelengkan kepala.

Aku mengawal senyuman mendengarkan bicaranya. Pandai juga dia bermain kata-kata. Entah-entah, dia lelaki yang bersifat buaya. Maklumlah, untuk menjadi seorang buaya darat yang pintar menjerat, kepintaran berbahasa adalah antara syarat terutama.

Tampan? Itu syarat nombor dua.

“Jangan sembunyikan senyuman. Pamerkannya, biar laut yang tenang menjadi bergelora,” usiknya apabila dia menyedari yang aku sedang menyembunyikan senyuman.

“Laut yang bergelora atau hati manusia yang akan tergoda?” balasku pula.

Dia bijak berkata-kata seperti Zachary. Redza spontan ketawa riang mendengarkan kata-kataku. Terpegun aku. Cara dia ketawa tidak ubah seperti cara Haezade tertawa. Panjang dan meleret-leret.

Redza melabuhkan duduk di sebelahku. Seketika, kami sama terdiam, sama-sama merenung ke laut, mencari ketenangan yang diperlukan. Fikiranku melayang kepada Zach dan Haezade. Pasti mereka kini sedang sibuk dengan persiapan yang diperlukan bagi majlis perkahwinan mereka.

Zach ada menghantar mesej pada larut malam tadi, memberitahu yang majlisnya akan diadakan di gereja kecil di kampungnya. Dia tidak mahu mengadakan majlis perkahwinannya secara besar-besaran.

Haezade pula pastinya mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Sementelah lagi dia dan Malia adalah anak sulung di dalam keluarga masing-masing. Pastinya kedua-dua belah keluarga akan berhabis-habisan untuk meraikan majlis anak sulung mereka.

“Buat apa ke kampus UiTM tadi?” soalku kepada Redza.

“Saja hendak melihat-lihat kembali tempat belajar dahulu,” jawabnya.

“Tuan…”

“Panggil saya Redza, Shitah,” dia segera meningkah tegas.

“Redza?” aku menyebut nama itu dengan rasa janggal. Tetapi hati agak senang kerana perbualan kami tidak dibataskan oleh sebarang protokol.

“Ya, Redza. Bukan Riza ya,” balasnya mengusik.

“Okaylah, Encik Redza, saya menurut perintah. Hmm… awak pergi melihat tempat belajar atau melawat tempat bercinta?” usikku kepadanya.

Dia tidak seperti Haezade. Haezade amat suka mengusik aku di pejabat tetapi apabila sama-sama terlibat di dalam aktiviti askar wataniah yang dijalankan pada hujung minggu, dia sengaja membataskan pergaulan dan kemesraannya denganku.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah masih menunggu Zachary atau memulakan hubungan baru bersama lelaki lain?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience