BAB 24

Romance Series 55700

Kami telah menyimpulkan angan-angan menjadi satu, telah merencanakan perancangan untuk hidup bersama. Tetapi perancangan Tuhan merencanakan sebaliknya.

“I harap you suka,” Zach berkata sebegitu ketika menghulurkan sesuatu kepadaku pada suatu malam. Sebuah kotak kecil. Isinya sudah aku maklumi.

Pun begitu, aku membukakan penutup kotak kecil berbalut baldu biru itu. Terlihat sebentuk cincin emas bermata delima merah. Cantik sekali. Tentu mahal harganya. Seketika, cincin itu tersarung di jariku. Muat-muat sahaja.

“Muat juga dengan jari you. I takut tak muat, maklumlah I pakai agak-agak sahaja semasa I membelinya tempoh hari,” ujar Zach.

Aku lantas merenung Zach yang tersenyum riang.

“Untuk I?” aku menyoalnya, tidak percaya yang cincin itu adalah untukku. Sebenarnya, sudah terlalu banyak pemberian yang aku terima daripadanya. Cuma kali ini, pemberian ini lebih agak mahal sedikit harganya.

“Habis tu, untuk siapa lagi?” angguk Zach.

“Tapi untuk apa? Birthday I lambat lagi,” balasku pula, masih tetap merenung ke dalam matanya. Hati menjadi berdebar dengan tiba-tiba. Pemberian semahal ini selalunya mempunyai makna yang istimewa.

Bukankah cincin melambangkan penyatuan dua hati. Adakah cincin ini sebagai tanda isyarat yang Zach mahu perhubungan kami berkembang sekelopak lagi? Dan kalau benar pun, belum tiba masanya untuk aku menyarungkan cincin ini di jariku.

“Sebagai tanda hati kita bersatu,” jawabnya. Jawapannya itu kian menggelorakan hatiku.

Cepat-cepat aku melucutkan cincin itu dari jariku.

“Ambillah balik. I tak rasa hadiah ini sesuai untuk I buat masa ni,” ujarku sambil meletakkan cincin itu kembali ke dalam bekasnya. Zach cepat-cepat menyambar tanganku, menggenggamnya erat-erat.

“I serius, Shitah. Cincin ni sebagai tanda I melamar you, sebagai bukti yang I benar-benar serius dengan you,” ujarnya tegas.

“Tapi kita…” aku cuba mengingatkannya akan perbezaan agama kami berdua. Mana mungkin aku menerima tanda daripada seorang lelaki yang belum seagama denganku.

“You pakailah dulu cincin ni sebagai tanda cinta kita. Apabila I sudah mengucapkan syahadat nanti, you pakailah sebagai tanda tunang,” dia bersuara lembut, menerangkan.

Barulah lega hatiku mendengarkan penjelasannya. Dia membuka kotak kecil itu kembali dan k menyarungkan cincin tadi ke jariku.

“Ini sebagai tanda kasih sayang kita,” dia bersuara lembut, lantas membawakan jari-jariku yang ada di genggamannya ke bibir hangatnya. Syahdu sekali. Terpegun aku dibuatnya. Ah! Zach sebenarnya seseorang yang cukup romantis, walaupun dia jarang memperlihatkannya. “Tak lama lagi, cincin ni akan jadi cincin tunang kita. Itu janji I kepada you,” dia bersuara lagi.

“Tak mahulah I,” aku pantas merentap tanganku.

“Shitah…” dia seperti terkejut, juga terkeliru dengan sikapku yang seperti bermain tarik tali dengannya.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Mashitah berkata sebegitu? Adakah dia menolak cinta Zachary?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience