BAB 10

Romance Series 55690

Haezade kelihatan terkejut, manakala aku terkedu; sekaligus mula menggelabah. Sama sekali aku tidak menyangka yang aku akan berjumpa dengannya di situ. Mukanya kelihatan masam, mungkin masih marah terhadapku.

Ingat lagi, dia menyuruh aku membelikan nasi lemak dan membancuh kopi untuknya, tetapi aku bertanya kepada Puan Aliza sama ada aku perlu akur atau tidak dengan suruhannya itu.

Puan Aliza membebel panjang dengannya dan dia hanya tergelak-gelak sambil menadah telinga mendengar. Tetapi selepas itu, dia seperti memboikot, langsung tidak mahu bercakap dengan aku. Segala suruhan atau arahannya dihulurkan melalui secebis nota.

Tersinggung juga aku apabila menerima layanan sebegitu. Dia bagaikan membenci, sekaligus memusuhi. Dan rasa benci itu pastinya terbawa-bawa sehingga ke luar pejabat atau ke mana sahaja. Dan ketika aku berhadapan dengannya di dalam mess pegawai Rejimen 515, dia seperti tidak mengendahkan kehadiran aku.

“Oh! Awak ni satu tempat kerja dengan Haezade dan Malia rupanya,” Kartini bersuara sebegitu apabila aku memberitahu di mana tempat kerjaku. Pegawai-pegawai sukarela wanita agak ramah menegurku dan terkejut apabila diberitahu yang aku dan Haezade bekerja di tempat yang sama.

“Ya,” anggukku, sambil hati tertanya-tanya siapakah Malia yang disebutkan itu. Seminggu aku di sana, kelibat gadis yang bernama Malia itu langsung tidak aku temui. Puan Aliza tidak pernah memberitahu aku tentang kewujudan gadis yang bernama Malia di syarikat penerbitan itu.

Kekasih Haezade?

Mungkin kot.

“Malia tu sedang mengikuti kursus Ketua Platun di Pusat Latihan Askar Wataniah sekarang. Dia pun kerja sama macam kamu juga, seorang penulis skrip dan penyelidik,” celah Noriah.

“Kekasih Haezade?” aku memberanikan diri untuk bertanyakan kepastian bagi soalan yang bermain di fikiranku.

“Taklah. Dia tu kawan baik Haezade,” geleng Kartini, sambil memuncungkan bibir ke arah Haezade yang riuh berbual dengan Rizal dan beberapa pemuda yang lain.

“Dia mesti sunyi sebab kawan baiknya tu tiada,” ujar Noriah, tersenyum sinis.

“Mereka tu macam belangkas, langsung tak boleh berenggang,” Kartini pula bersuara memberitahu.

Dan ketika itu, aku mula menyedari betapa pentingnya Malia kepada Haezade. Mungkin selama ini, Malia yang membelikan nasi lemak dan membancuhkan kopi untuknya pada setiap pagi. Dan aku yang muncul menggantikan tempat Malia buat sementara waktu itu pula tidak seperti yang diharapkannya. Aku tidak mampu menjadi ‘Malia’ buatnya seketika. Kerana itu, aku tidak berkelayakan untuk menjadi kawannya. Tidak layak menjadi kawannya bererti aku akan menjadi seseorang yang tidak disenanginya. Musuh barangkali.

Tanggapan itu sedikit-sebanyak menggusarkan diriku. Aku bukannya seseorang yang suka bermusuhan dengan orang lain. Tidak aman hidupku nanti.

“You ni… risau tak bertempat. Suka sangat berfikir yang bukan-bukan,” marah Zach apabila aku memberitahunya akan kegelisahan hatiku itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah perbuatan Haezade itu sekadar menguji Mashitah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience