BAB 75

Romance Series 55690

Aku kembali duduk di meja belajar kami tadi. Juita yang masih belum beredar tiba-tiba sahaja terlentok manja meletakkan dagunya di lenganku, meminta supaya aku memberikan penjelasan mengenai apa yang tertulis di dalam nota yang dipinjamnya dahulu itu. Terkejut juga aku dengan tingkah-lakunya yang tidak terduga itu. Gelagat Juita itu mengundang perhatian daripada semua orang yang ada di sekitar kami. Armiza juga. Raut wajahnya tampak berubah dan sekilas kemudian kembali tenang. Seperti tiada cemburu. Sedangkan aku rasa kekasih yang lain pastinya akan mengamuk marah apabila melihat perempuan sedang menggatal manja dengan lelaki yang mereka cintai.

Hatiku dengan tiba-tiba terasa kurang senang melihat gelagat Armiza itu. Bukan apa, aku takut kalau-kalau di dalam tenangnya itu, Armiza menyimpan benci terhadap perkara yang menyakiti hatinya itu. Bukankah gelagat Juita itu melanggar syarat keizinannya dahulu, walaupun aku sendiri tidak menduga yang Juita akan berlaku seperti tadi. Keizinannya telah membuatkan dia terpaksa menguburkan setiap cebisan cemburunya dan aku takut kalau-kalau cemburunya itu nanti berpadu membentuk sebuah dendam.

Hatiku mula dipaut bimbang, lantas hilang ketenangan.

“Kau rapat dengan Miza?” aku menerjah Sazali dengan soalan itu, sebaik-sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik.

Awalnya dia kelihatan terpinga-pinga, tidak menduga yang aku akan menyoalnya sebegitu, tetapi kemudiannya dia kembali tenang. Aku sedar yang dia menyedari adanya curiga yang berbaur cemburu terselit di dalam soalanku tadi.

“Taklah serapat mana,” jawabnya sambil meletak begnya ke atas meja. Dia menarik keusia, duduk bertentangan denganku yang sedang duduk di birai katil.

“Tapi bukan main mesra lagi aku lihat kau berbual dengan dia tadi,” aku tidak berpuas-hati dengan jawapannya tadi. Tenang wajahnya. Sukar untuk ku duga apa yang sedang bermain di dasar hatinya.

“Kami cuma rakan sekuliah dan kami hanya berbual tentang soal pelajaran,” jelasnya kepadaku.

Benarkah?

“Kau cemburu?” soalnya kepadaku.

Aku membiarkan soalannya itu tidak berjawapan.

“Yang kau nak cemburu sangat ni kenapa? Kami hanya berkawan biasa, sama seperti kau berkawan Juita, dengan kawan-kawan kau yang lain tu,” Sazali terus bersuara, terus berusaha untuk memberikan penjelasan yang sebaik mungkin agar dapat mengurangkan cemburuku.

Dia tidak sedar yang kata-katanya itu menghentam kesedaranku. Tanpa sedar dia telah berkata yang aku tidak berhak untuk mencemburui kemesraan antara dia dan Armiza. Apatah lagi mempertikaikan dengan siapa Armiza mahu berkawan apabila aku sendiri menafikan hak Armiza untuk mencemburui hubungan eratku dengan mana-mana gadis.

Dengan tiba-tiba aku menjadi curiga terhadap Sazali. Dia tahu apakah kesan perbuatanku itu dan kini dia menggunakan alasan itu untuk membolehkannya rapat dengan Armiza. Tidakkah itu bermakna yang dia sedang mengambil kesempatan?

“Aku tak suka kau rapat dengan Miza,” aku bersuara perlahan, tidak mahu mempamerkan curigaku itu.

Sazali hanya mengangkat bahu tetapi tersenyum nipis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience