BAB 49

Romance Series 55690

MASHITAH

DAPHNE Labansin.

Itu nama perempuan yang menjawab panggilanku kepada Zach. Selepas malam itu, sehari-dua aku menahan rajuk, lantas membiarkan setiap panggilan Zach yang mencariku tidak terjawab. Hanya pada malam ini, aku terpaksa menjawab panggilannya. Apa tidaknya, ayah sudah bising apabila telefon bimbitku berbunyi setiap detik, mengganggu tidur semua orang.

“Siapa dia tu?”

“Sepupu I.”

“Apasal dia yang jawab panggilan I malam tu?” marahku.

“I dah pesan dengan dia, don’t simply answers all the call at my phone without my consent. Tapi dia tu degil sikit,” beritahu Zach.

“Ah! You yang tak bertegas dengan dia.”

“Takkan I nak marahkan dia pulak. Dia anak emas my uncle, Shitah. I pulak menumpang duduk sehari-dua di rumah mereka. You nak I kena halau sebab memarahi Daphne?” balas Zach.

Aku lantas mencebikkan bibir.

Zach rupanya tidak terus pulang ke kampung halamannya, sebaliknya tinggal sementara di rumah pakciknya untuk menyelesaikan urusan di tempat kerja barunya.

“Dia tu student lagi, Shitah,” Zach terus memberitahu.

“Sekolah mana?”

“Bukan student sekolah. Dia student tahun akhir di Universiti Malaysia Sabah,” beritahu Zach.

Aku yang tadinya lega mendengarkan kata-katanya yang Daphne adalah pelajar kembali menjadi tidak tenteram.

“Oh! Dah besar-panjang rupanya. I ingatkan budak berhingus lagi,” sinis aku bersuara.

“Shitah…” terdengar suara Zach mengeluh.

Apabila dia sudah mengeluh sebegitu, aku lantas mendiamkan diri. Itu tandanya Zach kurang senang dengan kata-kataku tadi. Sekalipun aku sedang sakit-hati, aku tidak mahu terus mencambahkan rasa kurang senangnya sekaligus memanaskan keadaan. Sikap pasif Zach yang tidak gemar mencari gaduh dengan orang lain sedikit-sebanyak telah terjangkit kepada diriku.

Mataku merenung siling putih bilik, mencari damai untuk menahan cemburu yang sedang bergolak di dalam diri.

“Lupakan tentang Daphne. Dia cuma sepupu I, tak lebih daripada itu,” terdengar Zach bersuara.

Boleh dipercayai ke? Dia jauh dari pandangan mataku, lantas bebas berbuat apa sahaja dan kemudiannya boleh menipuku seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“You ni, curiga tak bertempat,” Zach yang bagaikan menyedari prasangka hatiku itu bersuara kecewa.

Aku segera memuncungkan bibir mendengarkan kata-katanya itu.

“Dah berapa panjang muncung bibir you sekarang ni?”

Aik! Macam tahu-tahu saja yang bibirku sedang memanjang.

“Entahlah, I tak ukurlah pula,” aku menjawab selamba.

Dia spontan ketawa besar. Mendengarkan tawanya itu, mahu tidak mahu aku terpaksa tersenyum. Mahu tidak mahu juga, aku terpaksa menguburkan curigaku. Cemburuku terpaksa ditolak ke tepi.

“Macam mana dengan keadaan di kampung you?” soalnya apabila tawanya hilang.

“Haru biru dan huru hara.”

“Apa yang terjadi?”

“My cousin… bermasalah sikit,” beritahuku perlahan.

“Kenapa dengan dia?”

Perlukah aku menceritakan kepadanya apa yang telah terjadi kepada Natrah? Aib diri Natrah adalah aib keluargaku juga. Sedangkan umat Islam dilarang mendedahkan air saudara seagamanya, inikan pula Natrah yang ada hubungan darah dengan aku.

“Kenapa dengan your cousin tu?” Zach menyoal kembali.

“Tak ada apa-apalah,” aku memutuskan untuk tidak memberitahunya.

“Takkan nak berahsia dengan I pula,” balasnya, separuh mendesak.

“I tak boleh bercerita dengan you.”

“Kenapa pula tak boleh? Hmm… tengok, tadi you kata I berahsia dengan you. Walhal, you pun sama,” ujar Zach.

Aku terperangkap dengan sikapku sendiri, juga diperangkap oleh kata-katanya itu.

“Tak nak bercerita kepada I?’ Zach seperti mendesak.

“Ini hal keluarga, Zach,” aku masih mahu mengelak daripada bercerita hal itu kepadanya.

“I kan bakal menjadi sebahagian daripada keluarga you kelak. Apa salahnya I mengetahui,” balasnya.

Aku tersenyap, kian terperangkap. Dan mahu tidak mahu, aku bercerita kepadanya perihal Natrah.

“You rasa dia hamil sebab apa?” soal Zach sesudah aku selesai bercerita.

“Terlanjur.”

“You fikir macam tu?” Zach terkejut mendengar kata-kataku itu.

“Kalau tak terlanjur, mungkin kerana bersekedudukan,” aku terus bersuara.

“Teruk betul fikiran you,” marah Zach.

Teruk sangatkah kalau aku bertanggapan sebegitu? Aku menggelengkan kepala. Kalau tak itu, apa lagi? Buntu sudah otak aku ini apabila memikirkan apa sebenarnya yang telah terjadi kepada Natrah.

“Mungkin dia rape victim, siapa tahu,” terdengar Zach bersuara.

Aku terpana. Sedikit pun tanggapan itu tidak terlintas di fikiranku.

“Tetapi daripada kata-kata Ara tempoh hari, dia sepertinya mengenali lelaki itu,” aku cuba menyanggah kata-katanya.

“Zaman sekarang ni, rogol bukan lagi satu perbuatan yang dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Pernah dengar tentang date rape?” Zach mengingatkan aku.

Aku tersenyap, terpukul mendengarkan kata-katanya.

“Kalau itu yang terjadi pada Ara, you boleh agak yang keadaan yang menimpanya itu sememangnya buruk. Kalau dia hendak mendakwa lelaki itu, dia perlu berfikir berkali-kali…”

“Kenapa pula?” aku meningkah bicara Zach. Kenapa perlu berfikir berkali-kali hendak membawa seseorang yang bersalah ke muka pengadilan?

“Sebab dia mengenali lelaki itu dan dia keluar bersama lelaki itu, bahkan semua kawan-kawan semaktabnya tahu yang mereka mempunyai hubungan yang rapat. Lelaki itu sendiri boleh berkata yang dia tidak memaksa Ara rela keluar bersamanya dan apa yang dilakukan itu adalah dengan kerelaan masing-masing. Dan ingat Shitah, sexual intercourse yang dilakukan dengan kerelaan terkeluar daripada definisi rogol mengikut undang-undang Malaysia, kecuali bagi perempuan di bawah umur. Kalau you jadi Ara, bagaimana you hendak buktikan yang itu berlaku di luar kerelaan you? Kalau ada pergelutan, mungkin kesan pergelutan itu boleh dijadikan bukti. Tapi kalau tak ada pergelutan, andaikan yang dia mungkin diberikan ubat tidur atau pil khayal, bagaimana you hendak buktikan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience