BAB 78

Romance Series 55700

REDZA

AKU dan Armiza akhirnya bertunang. Sazali hanya tersenyum apabila aku menunjukkan gambar-gambar yang diambil sekitar majlis pertunangan, lantas mengucapkan tahniah kepadaku.

Ikhlaskah ucapan tahniahnya itu?

Entahlah. Aku tidak mahu berpusing otak memikirkannya. Yang penting, dia kini sudah tahu yang Armiza adalah tunang aku. Dan seingat aku, haram bagi seorang lelaki meminang perempuan yang telah menjadi tunangan lelaki lain. Maknanya, Armiza kini benar-benar telah menjadi kembang larangan.

Juita turut mengucapkan tahniah kepadaku. Tetapi aku perasan, dia seperti tidak gembira. Kenapa? Dia tidak menyenangi pertunangan aku dengan Armizakah? Aku menjadi kurang senang memikirkan perkara itu. Kalau benar dia tidak menyenangi pertunanganku itu, bermakna memang benar dia ada menyimpan perasaan terhadap aku seperti yang disangkakan oleh Armiza dahulu. Bermakna juga selama ini cemburu dan tanggapan Armiza yang Juita cuba menjadi orang ketiga nyata benar.

“Bukan. Bagi Ita, abang cuma seorang abang, tak lebih dari itu,” gelengnya perlahan ketika aku bertanyakan perkara itu kepadanya. Suram sahaja wajahnya.

“Habis tu, kenapa Ita muram saja kebelakangan ni?”

“Ada problem.”

“Apa dia?”

Juita mengeluh perlahan, tidak menjawab, sebaliknya mengacau-mengacau minuman di dalam gelas dengan straw.

“Kalau ada masalah, luahkannya. Jangan dipendam di dalam hati atau jangan mengelakkan diri daripada masalah itu. Lagipun, abang sedia menolong,” pujukku lembut.

“Bukannya besar sangat pun masalah Ita ni,” dia teragak-agak hendak memberitahu.

“Masalah yang kecil, kalau tak diselesaikan akan melarat menjadi besar,” balasku selamba.

Juita terdiam.

“Apa masalahnya?”

“Pasal Syid,” beritahu Juita perlahan.

“Roommate Ita tu?” soalku, terkenangkan tomboy yang juga rakan sekuliah Armiza dan Sazali.

Dengan rambut yang dipotong pendek, dengan gerak-laku yang kasar dan bentuk muka yang keras, dia adalah tomboy yang tidak disenangi oleh mana-mana manusia yang mengenalinya. Dia mahu menjadi lelaki, lantas terlupa fitrah dirinya adalah seorang perempuan.

“Siapa lagi,” keluh Juita.

“Apa yang tak kena dengan dia?”

Juita tersenyum-senyum kelat. Tetapi teragak-agak hendak memberitahu.

“Janganlah tersenyum, cakaplah apa masalah Ita tu,” aku mendesaknya.

“Syid tak sukakan abang,” beritahunya.

“Itu saja?” soalku, menggelengkan kepala. Aku tidak terkejut mendengarnya. Aku sendiri tidak menyukai tomboy itu, kerana aku tidak suka melihat dia yang seperti mengada-ngada mempamerkan kekerasan dirinya.

Tetapi kenapa pula dia tidak menyenangi diriku?

“Dia anggap abang adalah penghalang dia.”

Penghalang? Aku merenung Juita, tidak mengerti.

“Syid kata abang adalah penghalang antara dia dan Ita,” ujar Juita perlahan.

Aku masih merenung Juita, tidak percaya dengan apa yang aku dengar itu.

Tomboy itu cuba membuktikan ‘kelelakiannya’ dengan cara mendapatkan cinta seorang perempuan. Kan perempuan adalah kaum sejenisnya. Dengan tiba-tiba aku menjadi geli-geleman! Bukan setakat geli, juga kesal kerana sekalipun kaum Nabi Luth dimusnahkan oleh Allah s.w.t amalan kaum itu terwaris menjadi warisan manusia sehingga ke akhir zaman.

“Dia marahkan Ita sebab semakin rapat dengan abang. Lagipun, sejak kebelakangan ini, Ita pun dah tak pedulikan sangat dia, lebih-lebih lagi bila Ita tahu tentang isi-hatinya tu, lagilah dia bertambah marah. Sekarang ni pun, dia macam memusuhi Ita,” beritahu Juita kepadaku lagi.

“Pedulikanlah dia,” balasku kepadanya.

“Tapi Ita sebilik dengan dia, selalu bertemu muka dengannya. Sakit jiwa, bang, bila terpaksa menghadap muka dia yang dah tak manis macam dulu tu. Sudahlah tu, nak tidur malam pun rasa takut,” keluh Juita.

“Kenapa pula?”

“Iyalah, buatnya bangun pagi, terlihat dia terbaring kat sebelah Ita,” jawab Juita selamba, dengan memek muka kegelian.

Aku menyembunyikan senyuman, takut dikatakan yang aku tidak prihatin pula. Iyalah, kalau aku sendiri pun, tentulah geli-geleman membayangkan Sazali terbaring tidak berbaju di sebelah aku. Nasib baiklah teman sebilik aku itu alim juga orangnya.

“Ita bimbanglah,” Juita meluahkan kebimbangannya.

“Kalau dia buat apa-apa pun, bukannya luak pun,” aku mengusik Juita.

“Abang!” Tangan Juita yang terkepal buku-limanya sedang melayang ke arah mukaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience