BAB 76

Romance Series 55690

REDZA

ARMIZA mengetahui yang aku tidak mahu Sazali rapat dengannya. Entah siapa yang memberitahunya. Marah juga aku kerana aku tidak mahu dia mengetahui akan cemburu hatiku itu. Tetapi Sazali bersumpah mengatakan bukan dia yang memberitahu Armiza akan hal itu. Kalau bukan dia, mungkin Juita kerana aku ada bercerita hal itu kepadanya. Juita pula, mungkin menceritakan hal itu kepada Syid. Syid pula menghebohkannya di dalam kuliah mereka. Sudahnya, tidak lama lagi satu kampus akan mengetahui cemburuku ini.

“Kenapa abang buat macam tu?” dia mempertikaikan apa yang aku lakukan itu ketika kami duduk makan bersama di dewan makan.

“Abang tak suka,” cuma itu yang aku katakan kepadanya.

“Kenapa? Abang takut hati Miza berubah?” soalnya sinis.

Aku terdiam, merenung dia yang sedang berpeluk tubuh dengan tajam.

Serius wajahnya. Takkan dia tidak sedar yang aku akan menjadi gila kalau kehilangan dirinya. Dia adalah cinta pertamaku. Cinta pertama, walaupun tidak seindah mana, adalah cukup bermakna. Melalui cinta pertama, aku belajar erti rindu dan cemburu terhadap seseorang.

“Memang abang takut Miza berubah hati,” ujar perlahan, mengakui gelisah hatiku kepadanya.

“Abang cemburu?” soalnya sinis. Aku terdiam.

“Abang cemburu apabila Miza baik dan rapat dengan Sazali. Tetapi abang tidak fikirkan apakah rasa hati Miza apabila melihat abang bermesraan dengan Juita! Apabila Miza menegur, banyaklah pula alasan abang dan akhirnya Miza terpaksa beralah. Jadi kenapa abang tak boleh biarkan Miza berkawan dengan sesiapa yang Miza suka. Tolong berlaku adil, abang!” balasnya pula. Walaupun tidak sampai ke pendengaran kawan-kawan lain yang turut ada di dalam dewan makan, suaranya bagiku kedengaran cukup keras.

Terasa diri bagaikan disambar petir. Aku tidak menyangka yang dia akan berbicara setegas ini. Apatah lagi mendengar permintaannya supaya berlaku adil di dalam hubungan kami.

Sebagaimana aku cemburu melihat kemesraan dirinya dengan Sazali, begitu juga rasa hatinya apabila melihat kemesraan antara aku dan Juita. Aku juga kini sedang merasa sakitnya hati apabila melihat orang yang dicintai terlebih rapat dengan orang lain. Apa yang dirasakannya dahulu kini sedang dirasai olehku. Tanpa sedar, keadilan sudah pun terlaksana tanpa aku sedari. Dan kini aku terasa peritnya.

Bagaimana hendak memulihkan keadaan ini? Bagaimana hendak dikembalikan kepercayaan dirinya terhadap aku, sekaligus mempertahankan hubungan kami? Aku mahu menyakinkannya yang dia adalah satu-satunya yang bertakhta di hati.

Aku cuma terfikirkan satu cara.

“Kita bertunang.”

Armiza terlopong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience