BAB 18

Romance Series 55700

Pernah aku disergahnya kerana terlanjur memanggilnya ‘kau’ di hadapan pegawai sukarela yang lain. Berlagak! Marah hatiku ketika itu.

“Kalau boleh, saya tak nak mengenang kisah lalu. Tetapi entah kenapa, hati sering teringat,” Redza bersuara, menjawab usikanku tadi.

“Memang susah hendak melupakan. Sebab bukan kecil luka yang hendak kita rawat. Bukan sedikit harapan yang perlu kita kuburkan. Dan untuk merawat apatah lagi melupakan semua harapan adalah suatu tindakan yang amat memeritkan jiwa,” balasku selamba. Tetapi itulah yang aku rasakan. Dan aku pasti dia juga merasakan begitu.

Baik Redza mahupun aku sendiri, kami pastinya tidak sanggup hidup bersama kehampaan apabila segala yang diangankan tidak kesampaian.

“Yang berlaku biarlah berlalu menjadi sejarah,” ujarnya pula.

“Yalah tu. Cakap memang senanglah,” balasku selamba.

******

Dia tergelak kecil, menggelengkan kepala. Kemudiannya kami terdiam, sama-sama merenung ke arah lautan yang terbentang. Langit daerah Dungun tampak mendung lagi pada tengahari ini. Melihat kepada hitamnya awan yang berkumpul, aku menduga yang hujan lebat akan turun mencurah nanti. Dan ketika ini pun, angin dingin sudah mula bertiup kencang.

“Apa sebabnya awak berpisah dengannya?” aku menyibukkan diri bertanya kisah cinta pemuda di sebelahku ini.

“Sebab kami amat berbeza antara satu sama lain, macam langit dan bumi,” jawabnya tenang.

“Samalah dengan saya,” gelakku pula.

Redza menoleh, memandang aku dengan dahi yang bertaut, tanda menuntut penjelasan.

“Kami berlainan bangsa, berlainan agama. Kerana itu, keluarga menentang keras hubungan kami,” jelasku kepadanya.

Bukan setakat keluarganya, keluarga aku juga. Keluarganya menentang di dalam lembut, manakala keluargaku menentang dengan terang-terangan. Yang pasti masing-masing enggan merestui, lantas memaksa aku dan Zach membuat keputusan yang saling melukakan hati masing-masing.

“Siapa namanya?” soal Redza.

“Zachary Watson.”

“Zachary?”

“Panggil saja Zach.”

“Handsome tak?”

“Taklah kacak sangat, tapi sedap jugalah dipandang mata. Kiranya cukup sepadanlah dengan saya yang tidak secantik mana ni,” jawabku selamba.

Redza tergelak besar.

“Awak pula, kenapa sampai berpisah? Kerana keluarga juga ke?” aku kembali menyelongkar apakah punca kepedihan hati pemuda ini.

“Hubungan kami tidak menerima tentangan keluarga,” beritahunya.

“Ada orang ketiga?” dugaku.

“Ya.”

“Kasihan,” ujarku bersimpati.

“Tapi bukan itu alasan utama kami berpisah,” balasnya.

“Ada sebab lain?”

“Ada sesuatu yang berlaku,” dia bersuara perlahan. Matanya merenung jauh ke arah lautan, seperti sedang mengingati sesuatu.

Aku membiarkan dia menghimpunkan kenangan lalunya, tetapi menunggu cerita selanjutnya. Ingin juga aku tahu apakah sebab kepada kehancuran cintanya.

“Dan disebabkan perkara itu, dia membuat keputusan menyingkirkan saya dari hatinya dan memilih lelaki lain,” dia kembali bersuara tetapi hanya itu yang diberitahunya kepadaku. Tidak pula dia menjelaskan apakah perkara yang telah berlaku itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah Redza akan menceritakan segala kelukaan hatinya kepada Mashitah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience