BAB 32

Romance Series 55690

“Sejak zaman kampus lagi, semasa tahun kedua pengajian,” beritahuku.

“Kacak tak?” soal Noriah, nakal.

“Nak kata kacak, taklah kacak sangat, tapi sedap dipandang mata,” jawabku, tergelak kecil.

“Macam dah tak ada lelaki Melayu!” dengus Haezade dengan tiba-tiba.

Terkejut aku mendengarkan kata-kata kerasnya itu. Aku sangkakan dia tidak menaruh minat terhadap perbualan kami kerana dia mendiamkan diri sejak dari tadi lagi. Tahu-tahu sahaja dia mencelah secara tiba-tiba, melemparkan kritikan sepedas itu. Hati kecilku tersinggung mendengarkan kata-katanya.

Noriah juga terkejut mendengarkan kata-katanya itu, lantas memandang aku dan Haezade silih berganti.

“Sekalipun dia bukannya orang Melayu, dia bukannya orang asing, dia masih lagi rakyat Malaysia,” aku bersuara tegas, lantas menepis kembali kata-katanya itu.

“Apa yang seronoknya bercinta dengan lelaki yang berlainan bangsa?” Haezade terus bersuara, sambil mempamerkan raut wajah yang kurang menyenangkan.

Aku sama sekali tidak menyangka yang Haezade tidak menyenangi hubungan cinta yang merentasi sempadan bangsa, budaya dan agama. Tetapi cinta seperti itu bukanlah satu kesalahan.

“Cinta itu buta. Sebab itu cinta hadir di hati sesiapa tanpa mengenal rupa, bahasa, bangsa atau agama,” aku bersuara tegas, memandang Haezade dengan pandangan jengkel.

Wajah Haezade kelihatan masam. Aku sedia maklum, Haezade adalah seseorang yang tidak suka kata-katanya dibantah atau dilawan oleh sesiapa. Mungkin kerana itu, aku lihat dia serasi dengan Malia kerana Malia sentiasa akur dengan kata-katanya.

“Lagipun, bercinta berlainan bangsa memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali bangsa dan budaya masing-masing dengan lebih mendalam lagi,” aku terus bersuara, terus mempertahankan cintaku itu.

Haezade terdiam, tidak lagi berkata apa-apa.

Dan sangkaku, perbualan di gerai makan itu akan berakhir begitu sahaja, tidak akan terungkit lagi atau berlarutan. Rupa-rupanya tidak.

“Keluarga kau tahu tentang hubungan kau dengan dia?” soalnya pada suatu hari.

Terpinga-pinga juga aku apabila diterjah dengan soalan itu. Tiba-tiba sahaja dia muncul di tepi mejaku, lantas menyoal sebegitu. Hati lantas terasa kurang senang dengan tiba-tiba.

Apa kenanya dengan dia ni? Kisah cintaku tiada kaitan dengannya. Kenapa dia sebegini sibuk hendak mengambil tahu?

“Tahu,” aku terpaksa menipunya, tanpa memandangnya. Mataku lekat pada skrin komputer. Aku perlu menyemak skrin rancangan yang perlu disiapkan sebelum petang nanti. Skrip itu akan digunakan ketika proses memasukkan suara bagi sebuah rancangan dokumentari terbitan syarikat penerbitan tempat kerjaku ini.

“Keluarganya tahu?” soal Haezade lagi.

“Ya.”

“Tak ada sebarang tentangan ke? Setahu aku, masyarakat kampung agak sensitif tentang hubungan yang berlainan bangsa,” Haezade seperti tidak percaya apabila mendengarkan jawapanku itu.

Aku hanya mengangkat bahu, tanda enggan bercerita panjang dengannya akan penerimaan keluarga terhadap hubungan aku dan Zach. Aku tidak mahu memberitahu Haezade yang aku bukanlah anak kesayangan orang tuaku.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Haezade tiba-tiba sahaja tertarik dengan kisah cinta Mashitah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience