BAB 13

Romance Series 55700

Baru aku teringat yang aku ada berjanji hendak meminjamkan buku rujukan dan nota lama aku kepadanya Juita kira-kira pada dua minggu yang lalu. Aku telah terlupakan janji itu dan kini dia datang menuntutnya.

“Lain-kali, jangan berjanji kalau tidak mampu hendak menepatinya,” Sazali mengingatkan aku, seolah-olah besar sangat kesalahanku itu.

“Bukan tak mampu tetapi terlalai,” aku bersuara balas, agak keras.

Tetapi Sazali tersenyum, tanda dia tidak mengambil-hati dengan kata-kata kerasku itu. Hati lantas terasa bersalah terhadap dirinya pula. Itulah kelemahan utama aku, mudah naik darah. Cepat mengamuk marah. Armiza sudah beberapa kali mengeluh benci dengan sikapku yang satu ini.

“Sorry,” aku bersuara perlahan, cuba mengendurkan rasa tegang di dalam diri dan juga antara kami.

“Tak apa, aku dah terbiasa dengan sikap kau tu. Tapi, pergilah jumpa Juita malam nanti. Aku sudah memberitahunya yang kau akan berikan semua bahan yang diperlukan selepas Isyak nanti,” balas Sazali.

Aku lantas mengeluh perlahan. Nampaknya aku terpaksa melupakan tidur petang aku, demi memunggah segala bahan yang dimahukan oleh Juita.

Juita menanti kehadiran aku di hadapan asramanya. Masam benar wajahnya.

“Sorrylah, abang terlupa,” ujarku sambil menyerah beban di tanganku kepadanya.

“Lupa?!” sergahnya keras.

Menyirap juga darah aku apabila disergah seperti itu. Dia langsung tidak berterima kasih untuk bantuan yang aku berikan kepadanya.

Tetapi aku menyabarkan diri, mengingatkan diri yang gadis ini memang cukup kasar tingkah-lakunya. Melihat kepada penampilan fizikal dan keras tingkah-lakunya, ramai yang beranggapan si Juita ini seorang tomboy. Tetapi bagi aku, dia bukan seorang tomboy sejati kerana hatinya cukup lembut. Dia anak kesayangan emak dan ayah. Kerana itu, dia cukup manja orangnya, walaupun sesekali aku lihat seperti mengada-ngada sahaja.

“Ini saja yang abang ada?” soal Juita.

“Ya.”

“Tak cukup,” ujarnya.

“Pergilah cari bahan tambahan di library,” balasku selamba.

Dia lantas tersengih lebar, memandangku tepat-tepat. Sepasang mata galaknya menjadi redup dengan tiba-tiba. Telatahnya itu cukup aku fahami. Dia mahu aku membantunya mencari bahan rujukan yang diperlukannya.

Dan mudah benar aku mengangguk setuju dengan kemahuannya. Itu kelemahan aku yang aku cukup benci, iaitu lembut hati dengan kemahuan orang lain. Aku tidak tahu bagaimana hendak berkata tidak atau lebih tepat lagi menolak. Dan kata Armiza, sikap aku yang satu ini akan menjadi pemusnah aku kelak. Hmm… benarkah?

Malam esoknya, aku menemani Juita sepanjang malam di perpustakaan mencari bahan rujukan yang diperlukannya. Sazali yang menggeleng kepala apabila aku memberitahunya tujuan aku keluar pada malam itu.

“Buat baik berpada-pada,” demikian kata-katanya kepada aku. Tidak tahu kenapa dia menasihati aku sebegitu.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah maksud tersirat daripada kata-kata Sazali itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience