BAB 19

Romance Series 55690

Tetapi pastinya perkara itu adalah perkara yang buruk, kerana kesannya sehingga dapat merungkaikan sebuah ikatan.

“Tapi apa lebihnya lelaki itu berbanding awak?” soalku, masih hendak menyelongkar.

“Mungkin sebab lelaki itu lebih baik tingkah-lakunya, juga lebih mendalam pengetahuan agamanya,” jawabnya selamba tetapi ada nada terluka pada bicaranya itu.

“Begitu,” aku seperti tidak percaya mendengarkan kata-katanya itu. Dia tersenyum pahit, tetapi tidak berkata apa-apa lagi.

Kiranya kami berhadapan dengan punca masalah yang hampir sama, cuma berlainan bentuknya. Kerana pengetahuan agamaku yang tidak sedalam mana dan latar-belakang keluarga Zach membuatkan keluargaku menentang keras hubungan aku dan dia. Mereka cukup takut kalau-kalau bukan aku yang menarik Zach kepada Islam, tetapi Zach yang menarik aku kepada Kristian. Rasa takut mereka membuatkan keikhlasan Zach tidak terpandang langsung.

Dan Redza pula, hanya kerana keterbatasan pengetahuan agamanya, dia dianggap tidak mampu membimbing suri jiwanya ke jalan yang penuh dengan keredhaan. Dengan alasan ini, dia disingkirkan. Nyata dia lebih malang berbanding diriku.

Tengahari itu hujan lebat turun mencurah, tidak sempat aku kembali ke resort penginapanku. Mahu tidak mahu, aku menerima pelawaan kenalan baruku, Mashitah, untuk berteduh di Hotel UiTM buat seketika. Dia bermurah hati membelanja aku makan tengahari di kafe hotel.

“Macam mana awak boleh berkenalan dengan bekas tunang awak tu?” soal Mashitah, menyelongkar kisah cintaku.

Mashitah Idris… dia agak penyibuk orangnya. Suka bertanyakan kisah sedih yang aku sendiri tidak ingin kongsikan dengan orang lain. Tetapi apabila dia bertanya, aku dengan rela hati menceritakan segala-galanya. Mungkin kerana kami sama-sama sedang meratapi kehilangan orang yang kami cintai dan persamaan itu membuatkan aku agak senang hendak berkongsi kisahku dengannya. Dan apabila berkongsi cerita duka dengannya, sedikit demi sedikit aku rasakan gunung beban yang menghempap diriku menyusut beratnya.

“Berkenalan di dalam bas. Kami sama-sama dari KL hendak datang ke Dungun.”

“Wah! Menarik tu,” ujarnya, tersenyum.

“Sampai di stesen bas Dungun, kami sama-sama naik kereta sapu yang sama dan saya yang bayarkan tambangnya,” sambungku lagi, spontan teringatkan Armiza yang bermati-matian enggan menerima kebaikan yang aku hulurkan itu. Dia mahu berkongsi membayar tetapi aku tetap berkeras hendak membayar seorang. Naik pening pemandu kereta sapu itu melihat gelagat kami berdua. Sudahnya dia yang mengalah.

“Awak pula, macam mana boleh berkenalan dengan bekas kekasih awak tu?” aku pula menyoal Mashitah.

“Kami sama-sama atlet universiti. Kalau dah namanya atlet, pertemuan pertama kami pun semestinya di tepi padang. Tapi masa tu kami pergi menonton dan menyokong softball team kolej kami,” beritahunya riang. Berseri wajahnya sewaktu mengingati detik-detik manis perkenalan.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah perkenalan Mashitah dan Redza akan memulakan perhubungan yang baru dalam hidup mereka berdua?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience