BAB 73

Romance Series 55690

JUITA rupanya mengetahui akan pertelingkahan kecil yang berlaku antara aku dan Armiza.

“Mana Ita tahu?” Terkejut juga aku apabila dia bertanyakan kebenaran perkara itu.

“Syid yang beritahu,” dia menjawab perlahan.

Syid. Nama sebenarnya Syidah. Syid atau Syidah ini adalah rakan sekelas Sazali dan Armiza, juga adalah rakan sebilik Juita. Tomboy yang penyibuk dan suka menjaga tepi kain orang.

“Syid pasang telinga dengar perbualan kak Miza dan Sazali semasa di dalam kelas tutorial. Kata Syid, Kak Miza mengadu pada Abang Zali yang abang tetap mempertahankan Ita. Kata Kak Miza lagi, dia betul-betul tak suka dengan pendirian abang,” beritahu Juita lagi.

Armiza meluah rasa terkilan hatinya kepada Sazali? Aku mengeluh perlahan. Armiza, apa lagi yang dia tidak berpuas-hati. Si tomboy Syid itu pun satu hal juga. Menyibuk memasang telinga hendak mendengar masalah orang lain. Silap haribulan nanti, kisah aku dengan Armiza dan Juita boleh tersebar ke seluruh kampus dibuatnya nanti.

“Kalau Kak Miza tak sukakan Ita, biarlah Ita tarik diri,” terdengar Juita bersuara. Ada nada kecewa pada suaranya.

Dia mahu mengalah pada prasangka seorang perempuan? Aku menggelengkan kepala. Apa yang ditakutinya? Dia takut ditohmah orang sebagai orang ketiga di dalam hubungan aku dan Armizakah? Kenapa dia takut kepada sebuah dusta?

“Abang tak pernah anggap Ita sebagai satu masalah.”

“Bagi Kak Miza, Ita adalah satu masalah,” tegasnya.

“Dia cuma rasa tercabar.”

“Dan sebab itu, Ita tak mahu dikatakan menjadi pengacau hubungan orang. Ita tak nak nanti Kak Miza kata yang Ita ni adalah orang ketiga.”

Nah! Bukankah sudah aku katakan yang Juita ini mulia hatinya? Dia sedar siapa dirinya dan apakah kedudukannya di sisi aku. Tetapi Armiza yang enggan mengerti. Armiza yang berburuk sangka terhadap dia.

Kami sama-sama terdiam. Sama-sama merenung ke arah bas yang sedang sampai dan bergerak keluar dari stesen bas kecil Dungun. Aku menemani Juita ke stesen bas. Dia mahu pulang ke kampungnya yang terletak di Jengka, Pahang. Sementara menanti basnya datang, kami duduk berbual dan minum di sebuah kedai makan.

“Macam mana?” Juita memecah kesunyian di antara kami.

Aku kembali memandang gadis yang berambut pendek itu.

“Apanya?”

“Tentang kita semua.”

“Tiada apa yang akan berubah. Di hati abang tetap ada Armiza, di sisi abang pula ialah Juita,” balasku pula.

Juita terdiam, tetapi perlahan-lahan mengukir senyuman.

Walaupun bunyinya itu seperti aku ini terlalu mementingkan diri, bukan itu maksud sebenar aku. Aku tidak mahu membuang seseorang, hanya disebabkan seseorang yang lain tidak menyenangi individu itu. Aku juga tidak suka kalau ada orang cuba mengatur hidupku, seperti cuba menentukan siapakah yang boleh menjadi kawan-kawanku sekalipun orang itu ialah orang yang aku cintai.

Tetapi adakah itu dikira sebagai keegoan diri?

Bagi aku, tidak.

TETAPI bagi Armiza, itu adalah tanda ego diriku.

“Inilah kali pertamanya Miza minta abang beralah dengan kemahuan Miza, tapi abang langsung tak hendak mempertimbangkannya,” dia bersuara kecewa apabila aku khabarkan kepadanya akan kata putusku itu.

“Siapa kata? Miza telah banyak meminta sebelum ini. Tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Dan selama ini abang beralah dengan kemahuan Miza itu. Tapi untuk kali ini, abang minta agar Miza beralah dengan kemahuan abang pula,” balasku pula, mengingatkan.

Dia kelihatan tergamam tetapi merenung tajam. Pantas aku mengalih pandangan ke arah lautan biru. Matahari kelihatan semakin menurun mencecah garis horizon. Warna jingga dan merah yang menconteng dada langit, terbias menyepuh air laut yang berombak tenang.

Cantik sekali! Ada ketenangan yang tersembunyi di dalam keindahan alam ini. Tetapi hatiku tidak berasa tenteram. Aku sedang menahan rasa kecewa dengan permintaan Armiza yang bagiku tidak masuk akal sama sekali.

Selama ini aku beralah dengan kemahuannya. Dia meletakkan batas di dalam kemesraan tatkala aku mahukan secebis keindahan di dalam percintaan. Orang lain dapat berpegang tangan, aku pula hanya dapat memandang tangannya sahaja.

Pandangan kami berbeza, bahkan cara kami juga berbeza. Tetapi aku hormati perbezaan itu dan aku terima dia dengan segala syarat-syaratnya. Kini, aku pula menuntut agar dia akur dengan kemahuanku. Bukan kerana ego tetapi aku mahu dia bertolak-ansur di dalam soal menerima dan memberi.

“Perkara ini tak ada kesudahannya kalau terus hendak dibawa berbincang,” terdengar dia bersuara perlahan.

Aku yang merenung lautan kembali memandangnya.

“Miza bertegas, abang berkeras. Sudahnya, kita akan sama-sama sakit-hati dan itu menjadi situasi kalah-mati bagi kita,” dia terus bersuara.

Wow! Kagum aku mendengar bicaranya. Armiza sedang memperkatakan tentang strategi di dalam sesebuah hubungan. Nyata dia tidak mahu perkara kecil ini menjadi duri di dalam hati kami lantas merosakkan ikatan yang kami bina.

Ini mungkin akan mendorongnya memilih pendekatan yang tidak akan merugikan kedua-dua kami. Mungkin dia mahu memenuhi kemahuan aku tetapi pada masa yang sama tidak mengorbankan hatinya sendiri. Walau apa-apa pun, ada tanda yang dia sedang beralah.

Pendekatan menang-menang?

Mungkin.

“Asalkan abang masih boleh menjaga batas-batas pergaulan di antara abang dan Ita, Miza tak akan menentang,” Armiza bersuara perlahan, memberikan keizinan yang bersyarat.

Aku menghela nafas lega, berbaur gembira. Kepala terangguk-angguk, tanda akur.

Armiza beralah. Tetapi hatinya tetap resah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience