BAB 82

Romance Series 55700

REDZA

PEPERIKSAAN akhir semester akhirnya tiba. Kami kembali bergelut dengan nota pelajaran, kali ini dengan sepenuh perhatian. Dahi kembali berkerut-kerut ketika menelaah, tanda kami semua mengulangkaji dengan bersungguh-sungguh. Tidak lagi lewa seperti hari-hari yang lalu.

Walaupun aku sudah berkali-kali menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan dan menjawab soalan yang dikemukakan; rasa debar, cemas dan takut tetap akan datang menghimpit dada setiap kali aku melangkah ke arah dewan itu. Memang penyakit sejak dari dulu lagi!

Semester ini juga adalah semester terakhir aku, Armiza dan Sazali. Manakala Juita masih lagi tinggal satu tahun pengajian untuk diselesaikan.

“Kalau abang tak ada, susahlah Ita,” keluhnya sebegitu ketika kami duduk semeja di dalam perpustakaan untuk mengulang-kaji pelajaran.

Aku ada mengajak Armiza menyertai kami berdua tetapi dia menolak. Armiza, seperti tahun-tahun yang lepas lebih selesa mengulang-kaji bersama-sama kumpulan studinya. Antara ahli kumpulan studinya itu ialah Sazali. Aku tahu, dari dahulu lagi Sazali adalah ahli kumpulannya itu. Bahkan melalui Sazali, aku mendapat peluang untuk terus mendekati Armiza.

Tetapi entah kenapa sejak kebelakangan ini, aku rasakan yang Sazali menjadi tembok pemisah antara aku dan Armiza. Mungkin aku bertanggapan sebegitu apabila menyedari bibit kemesraan antara kedua-dua mereka kian membesar. Tetapi aku terpaksa membiarkan sahaja perasaan cemburuku itu. Lagipun, syarat antara aku dan Armiza dahulu itu dengan sendirinya menyekat aku daripada mengambil sebarang tindakan pencegahan. Dan kini, aku sedang memikirkan cara yang sesuai untuk merapatkan hubungan aku dan Armiza kembali. Cadangku, selesai peperiksaan semester nanti, aku mahu membawa Armiza pergi ke mana-mana tempat peranginan. Hanya aku dan dia. Meluangkan lebih banyak masa berdua mungkin akan dapat merapatkan kembali hubungan kami yang kian terjurang.

“Abang dengar tak apa yang Ita cakapkan tadi?” terdengar Ita menyergahku, lantas mengusir pergi lamunanku tadi.

“Dengar,” balasku lewa.

“Tapi abang diam saja.” Dia seperti merajuk.

“Ita, jangan terlalu bergantung kepada abang sangat. Sudah tiba masanya untuk Ita berdikari,” aku mengingatkannya sebegitu.

Juita merenungku.

Ya, sudah tiba masanya untuk dia berdikari. Selesai menduduki peperiksaan, aku akan pulang ke Kuala Lumpur. Kemudiannya aku akan mengikuti latihan pentauliahan kadet PALAPES di Universiti Kebangsaan Malaysia. Selesai latihan, aku menunggu masa untuk konvokesyen. Sambil-sambil itu, aku akan mula mencari kerja. Cadangku, aku mahu mencari kerja di Kuala Lumpur, agar dekat dengan keluarga.

Apabila aku sudah mula sibuk dengan kerja nanti, masa untuk aku meladeni Juita akan berkurangan. Memang hubungan kami rasa-rasanya tidak akan terputus tetapi aku tidak lagi dapat berada di sisinya pada saat dia memerlukan. Sekarang ini, apabila dia ditimpa kesusahan, mudah bagiku untuk segera berada di sisinya. Selepas ini nanti, aku akan berada di Kuala Lumpur manakala dia di Dungun ini. Tidak mudah untuk aku lekas mendapatkannya apabila dia mahukan aku membantu dirinya. Kerana itu, dia perlu berdikari. Dia tidak boleh terlalu bergantung kepada aku lagi.

Terdiam Juita mendengar penjelasanku.

“Bukan bermakna abang akan lupakan Ita. Tak, cuma keadaan akan berubah dan Ita kena menyesuaikan diri dengan perubahan. Kalau tak, nanti Ita akan semakin bermasalah,” ujarku kepadanya.

“Yalah tu,” cebiknya.

“Believe me.”

“Macam-mana pula dengan Syid tu?”

“Hai! Dia kan sudah tahun akhir. Habis exam nanti, dia akan tinggalkan kampus ni. Tahun hadapan, Ita sudah bebas dari gangguannya. Maknanya, dia bukan lagi satu masalah atau gangguan bagi Ita, melainkan Ita yang masih melihat dia sebagai satu masalah atau gangguan bagi Ita,” balasku kepadanya.

Juita terdiam.

Aku perasan wajahnya suram dan dahinya berkerut seribu. Entah kenapa dia masih lagi memikirkan mengenai Syid. Katanya Syid sudah kurang menganggunya sejak dia menumpang tinggal sebentar di bilik teman yang lain. Ertinya, masalahnya dengan Syid sudah mula selesai. Tetapi entah apa lagi yang hendak dirisaukannya, entah apa lagi yang masih bermain di fikirannya. Aku tidak tahu dan aku berharap yang ia tidak melibatkan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience