BAB 44

Romance Series 55700

“Suka hati akulah hendak pilih sesiapa pun menjadi ahli jawatankuasa aku,” jawabnya selamba.

“Aku tidak dapat menerima perlantikan ini,” aku menolak sambil menyerahkan kembali memo itu kepadanya.

“Aku tidak menerima penolakan kau,” dia pula bersuara keras.

“Kau tak boleh paksa aku,” marahku kepadanya. Walaupun dia pengerusi jawatankuasa, tidak bermakna dia boleh memaksa sesiapa sahaja menjadi ahli jawatankuasanya itu. Caranya itu tidak ubah seperti seorang diktator.

“Peduli apa aku!” dia tetap bertegas mahu aku menganggotai jawatankuasa persembahan itu.

Aku terdiam, menahan sakit hati dengan gelagat itu. Padanlah ada rakan di pejabat dan di kem mengatakan yang ‘kepalanya tidak betul sikit’. Bagi aku, kepalanya bukannya tidak betul sikit tetapi tidak betul banyak! Dan kalau dilayan, aku pun turut akan menjadi tidak betul nanti.

“Suka hati kaulah. Tapi aku balik kampung semasa mesyuarat pada minggu depan tu nanti. Apa-apa saja yang diputuskan di dalam mesyuarat nanti, aku bersetuju saja,” aku bersuara perlahan, mengalah dengan kemahuan dan juga ketegasannya itu.

“Macam itulah,” Haezade tersenyum senang melihat aku beralah sebegitu.

Memang benar telahanku. Ada majlis perkahwinan yang akan berlangsung. Natrah yang akan berkahwin. Hairan juga aku dengan majlis yang diadakan secara mengejut itu.

“Dengan siapa? Dengan Syamsir ke?” soalku kepada adik yang menjemputku di stesen bas. Aku kenal dengan teman lelaki Natrah yang bernama Syamsir yang juga rakan semaktabnya itu. Natrah pernah memperkenalkan Syamsir kepadaku ketika mereka datang berjalan-jalan ke Kuala Lumpur. Baik benar orangnya.

Mastura hanya mengangkat bahu, langsung tidak menjawab soalanku itu. Hairan juga aku dengan gelagatnya itu. Takkan dia tak tahu siapakah bakal suami Natrah yang juga bakal menjadi sebahagian daripada anggota keluarga kami.

“Takkan kau tak kenal?”

“Tengoklah sendiri nanti,” Mastura hanya menjawab sebegitu.

Aku tidak lagi bertanya. Mastura membelokkan kereta ke arah pejabat pos kerana aku mahu mengepos bungkusan buku-buku yang aku belikan dahulu kepada Zach.

Ketika aku bertolak pulang ke kampung, dia pula berangkat menuju ke Sabah. Janjinya dia hendak menelefon aku sebaik sahaja dia tiba di sana. Tetapi sehingga kini, aku belum menerima apa-apa khabar darinya.

Tak apalah, yang penting dia selamat tiba di kampung halamannya. Yang penting, aku berada di dalam ingatannya sentiasa. Dan aku cukup yakin yang dia mengingatiku di kala ini, sama seperti aku yang sedang mengingatinya.

Malamnya, aku pergi ke rumah Natrah ditemani Mastura. Walaupun katanya hendak diadakan majlis perkahwinan, aku mendapati tiada sebarang persiapan yang dibuat. Tiada khemah yang didirikan di halaman, juga tiada bangsal penanggah tertegak di belakang rumah.

Hai! Macam hendak tak hendak sahaja mereka mengadakan majlis perkahwinan ini.

…bersambung

Bab akan datang:

Benarkah ada majlis perkahwinan Natrah diadakan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience