BAB 104

Romance Series 55690

MASHITAH

AKU, Puan Aliza dan suami Puan Aliza tiba di rumah Haezade sekitar jam 2.00 petang.

Meriah benar majlis perkahwinannya ini. Kanopi berwarna biru dan putih terpacak di halaman rumah. Bau harum rempah masakan yang menusuk hidung dengan segera membangkitkan rasa lapar perutku. Di setiap penjuru, kedengaran suara riuh orang berbual dan ketawa, tanda majlis berjalan dengan lancar. Aku terasa lega kerana Haezade tidak berlaku gila membuat tindakan seperti yang dikatakannya pada malam tadi.

Kami ada bersua dengan rakan-rakan sepejabat dan juga rakan-rakan dari Rejimen 515 yang lain. Merekalah yang memberitahu kami yang sekarang ini Haezade dan Malia sedang bersanding di dalam rumah. Macam pinang dibelah dua, beritahu mereka lagi. Aku dan Puan Aliza hanya bertukar pandang, bertukar senyuman.

“Hendak masuk melihat mereka sekarang?” tanyaku kepada Puan Aliza.

“Siapa yang dah terasa lapar?” dia pula menyoal, silih berganti memandangku dan suaminya yang cukup peramah dan kelakar itu.

Cepat-cepat suaminya mengangkat tangan.

“Shitah?” soalnya kepadaku.

“Saya mengikut Puan,” jawabku pendek.

"Kalau begitu, kita makan dululah," putus Puan Aliza sambil melangkah ke arah kanopi yang dijadikan tempat makan untuk tetamu. Aku dan suaminya mengekorinya.

Ada tiga tempat duduk yang kosong di hadapan dua orang pemuda yang leka menyuap nasi minyak, langsung tidak mengangkat kepala memandang kami. Mereka makan bagaikan orang yang sedang kebuluran. Ketika aku melabuhkan duduk, barulah aku sedari yang salah seorang daripada pemuda itu ialah Redza.

"Redza," segera aku menegurnya.

Dia lantas mengangkat kepala, memandangku. Dia kelihatan terkejut besar dan seketika kemudian dia tersedak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience