BAB 68

Romance Series 55690

ZACH yang berjanji hendak datang semula ke rumah Abang Yusri hanya datang kembali kira-kira tiga jam kemudian. Suram sahaja raut wajahnya ketika dia tiba.

“Kenapa lambat?” soalku sebaik-sahaja dia melabuhkan duduk di anjung rumah.

“Ada tetamu yang datang,” beritahunya pula.

“Siapa?” soal Abang Yusri.

“Pakcik Labansin.”

“Dia seorang?” soal Abang Yusri lagi.

“Tak, dia datang dengan isterinya. Daphne pun ada bersama,” jawab Zach.

Tajam mataku memandang wajahnya. Daphne ada di rumahnya sekarang dan itu rupanya yang melambatkan kedatangannya kepadaku di sini. Rasa cemburu menghangatkan hatiku.

“Mereka hendak bermalam di sini?” Abang Yusri terus bertanya. Zach mengangguk.

“Sukalah you,” getusku pula, mencebikkan bibir.

Zach merenungku, tetapi tidak berkata apa-apa. Raut serba-salah terserlah pada wajahnya.

“Mendadak sahaja mereka datang,” Kak Cahaya pula bersuara. Kali ini, Zach mengeluh perlahan, melemparkan pandangan ke arah kepekatan malam.

Aku mula terasa tidak sedap hati. Apa lagi yang tersembunyi daripada pengetahuanku? Melihat dia termenung sebegitu, hatiku dilimpahi sayu. Dengan tiba-tiba terasa diriku berada jauh daripada sisinya.

Abang Yusri mencuit lengan Kak Cahaya. Seketika kemudian, kedua-dua mereka beredar meninggalkan anjung rumah, meninggalkan aku berdua dengan Zach. Mungkin mereka tidak mahu masuk campur di dalam perbualan antara kami berdua.

“Beritahu I, Zach,” ujarku perlahan.

Dia yang sedang merenung malam kembali berpaling memandangku. Kilau matanya tidak lagi secemerlang dahulu. Entah apa yang merungsingkan fikiran dan hatinya. Entah apa halangan yang muncul dan sedang menjarakkan kami berdua.

“Beritahu I apa yang you sembunyikan daripada I,” nada suaraku tidak bergetar walaupun hatiku kini sedang dilitupi pilu.

“Orang tua I tidak merestui hubungan kita.”

Sudah kuduga.

“Kerana I Melayu, you Kadazan?”

Angguk.

“Kerana I Islam, you Kristian?”

Dia tetap mengangguk. Aku menghela nafas resah. Keluargaku menentang, keluarganya pun menentang. Hubungan kami tidak direstui. Alangkah sukarnya!

Hanya kerana anggota keluargaku nyaris hilang akidahnya, hanya kerana anggota keluarganya memilih cahaya kebenaran, hubungan kami dinilai dengan tanggapan prejudis. Kejujurannya dipertikaikan, manakala aku pula pastinya dianggap sebagai pembawa bencana. Keluargaku menentang dengan keras, keluarganya menentang di dalam lembut. Tetapi apa bezanya. Kami akan didesak untuk berpisah. Sungguh tidak adil!

“Mereka nak you berkahwin dengan Daphne?” soalku perlahan, memecah kesunyian.

“Macam-mana you tahu?” dia terkejut mendengarkan pertanyaanku itu.

“I ada naluri, Zach,” ujarku perlahan.

Perlahan-lahan dia mengangguk, sambil melarikan pandangan ke tempat lain.

Hancur jiwaku. Ranap semangatku.

Tetapi keras hatiku membuatkan aku masih dapat bertenang, lantas masih dapat memohon kepada Allah s.w.t agar memberikan aku secebis kekuatan untuk menghadapi detik-detik luka ini.

Aku mengerti benar, orang-tua mendesak Zach mengahwini Daphne hanyalah sebagai salah satu usaha untuk mengelakkan Zach bertukar anutan. Cara keluarganya sama dengan cara keluargaku juga. Natrah dikahwinkan dengan Zulkifli untuk mengelakkannya terperangkap dengan desakan Luke yang hanya mahu bertanggungjawab apabila dia bertukar anutan. Strategi yang sama ini digunakan oleh Aminah binti Mohamaed untuk cuba menggagalkan tuntutan keluarga Hertogh mendapatkan kembali Natrah dari jagaannya.

“I tak tahu nak buat apa-apa, Shitah. Mereka merancang segala-galanya tanpa merujuk kepada I,” dia bersuara perlahan. Dan sebagai anak yang taat, pastinya dia serba-salah dengan kemahuan orang-tua yang bertentangan dengan kemahuannya.

“Dan you bersetuju?”

“Belum lagi,” gelengnya.

“Mereka akan mendesak you. Lebih-lebih lagi apabila mereka tahu siapakah kekasih you ni. Kalau I seagama dengan you, mungkin mereka dapat menerima. Tetapi I tidak seagama dengan you dan I tak akan seagama dengan you, Zach,” ujarku kepadanya.

Zach merenungku, tersenyum hambar.

Kami kemudiannya sama-sama terdiam, sama-sama merenung ke arah lembah. Bayu bukit bertiup. Aku tergigil kesejukan. Sayu pula kian bergayut di tangkai hati.

Aku sedar hati Zach agak goyah. Di kiri ada ayah dan emak yang menggantungkan harapan agar anak lelaki mereka itu kekal di dalam agama anutan mereka. Di kanannya, ada aku dan cinta yang telah kami sulam bertahun-tahun. Dia hanya boleh memilih salah-satu sahaja, tidak dapat memiliki kedua-duanya. Tetapi aku tahu, Zach akan lebih bersedih-hati jika dia kehilangan orang-tuanya. Dan aku juga tahu, sikap pasif dan lembut-hati Zach akan membuatkannya akur kepada kemahuan orang-tua.

Hatiku semakin sayu. Tepatlah telahan naluriku dahulu. Aku datang ke Sabah ini seolah-olah untuk mengucapkan salam perpisahan buat si dia yang tersayang.

Malamnya, tidurku bertemankan air-mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience