BAB 86

Romance Series 55700

APA yang berlaku itu juga telah mengguris luka hati Armiza. Orang-tuaku juga marah dengan apa yang berlaku itu. Aku hanya menadah telinga apabila mendengar ayah berleter atau ibu menasihati. Tetapi Armiza, dia mendiam seribu bahasa. Dia tidak mahu berbicara apa-apa pun denganku.

Apabila bersua dengannya, wajahnya beku tanpa terpamer sebarang emosi. Entah apa rasa yang terbuku di dasar hatinya. Mungkin marah, mungkin sedih dan mungkin juga kecewa. Aku tidak tahu dan aku mahu dia memperkatakan sesuatu agar aku tahu apa yang bermain di hatinya itu. Cuma satu perkara yang aku pasti, dia kini pastinya diselubungi oleh kesangsian terhadap kesetiaan dan kejujuranku terhadapnya.

Kalau dia marah, aku tidak kisah kalau dia mahu mengamuk terhadapku. Aku sedia mengesat air matanya kalau dia menangis sedih. Aku juga sedia mendengar setiap kata-kata keras dan kasarnya jika dia mahu meluahkan rasa kecewanya.

Tetapi Armiza tetap diam seribu bahasa.

Apabila dia berkeadaan begitu, aku tahu setiap penjelasan aku tidak akan diterimanya. Dia bukan sahaja tidak mahu bercakap denganku, dia juga tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan dariku. Dia seperti mahu menghukum aku dengan cara sehalus ini. Tidak mengapalah, biarlah dia melampiaskan segala rasa yang terbuku di hatinya kepadaku dengan cara sebegini.

“Jaga diri baik-baik,” pesanku sebegitu kepadanya ketika aku menghantarnya pulang di stesen bas Dungun. Dari stesen bas Dungun ini, dia menaiki bas untuk pulang ke Kuala Terengganu.

Dia hanya mengangkat kening, tersenyum nipis. Kelihatannya dia seperti menyindir. Ah! Dia sememangnya sentiasa menjaga dirinya sebaik mungkin. Sedangkan aku pula alpa sehingga terperangkap akhirnya. Aku tidak layak untuk mengingatkannya sebegitu.

“Kirim salam pada mak dan ayah,” ujarku perlahan.

Mujurlah apa yang berlaku itu tidak merebak keluar dari kawasan kampus. Juga tidak sampai ke pengetahuan orang-tuanya. Kalau orang-tuanya mengetahui, mungkin orang-tuanya tidak mahu ikatan pertunangan antara aku dan anak gadis mereka ini diteruskan lagi. Mereka adalah keluarga yang kuat berpegang pada agama dan tradisi, maka pastinya sukar untuk mereka menerima dan memaafkan kesalahan aku ini. Dan jika mereka tidak mendesak untuk putus tunang sekalipun, kehadiran aku mungkin tidak begitu diterima lagi. Dan hal itu pula mungkin akan menjadi duri di hati aku. Kerana itu, aku berharap sangat agar keluarga Armiza tidak mengetahui kejadian itu.

Armiza kelihatan tidak mengendahkan kata-kataku tadi. Dia sibuk memunggah beg-beg dan kotak-kotak bukunya ke dalam tempat simpanan barang di perut bas. Aku cuba membantu tetapi dia bagaikan tidak sudi menerima pertolonganku. Sudahnya aku hanya tercegat memerhati, sambil berharap agar dia sudi berkata sepatah-dua denganku.

Tetapi tanpa berkata apa-apa pun, dia melangkah naik ke dalam bas. Aku melihat dia melabuhkan duduk di kerusi dan sedikit pun tidak menoleh pandang ke arah aku yang sedang memerhatinya di bawah ini. Ada lirik di matanya. Tetapi aku mahu menolah pandang ke arah aku, bukannya sekadar menjeling seperti itu.

Bas bergerak pergi, meninggalkan stesen bas kecil itu. Aku memerhati dan untuk kali ini berharap agar dia menjengulkan kepala ke luar tingkap, memandang aku yang masih tercegat di bahu jalan. Aku berharap sangat. Tetapi sehingga bas hilang dari pandangan mata, aku langsung tidak dapat melihat wajahnya, apatah lagi dapat menatap senyumannya.

Besar sangatkah kemarahannya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience