BAB 77

Romance Series 55690

SEMUA orang terkejut, bahkan ada yang membantah hasratku itu. Keluargaku juga membantah. Kata ayah, aku masih muda. Masih ada banyak perkara dan tanggungjawab yang menanti selepas aku tamat belajar kelak.

“Lagipun, bertunang ni bukannya perkara yang main-main,” nasihat ayah.

“Saya tak main-main,” tegasku pula.

“Sudah habis berfikir?” soal emak pula.

“Ya,” anggukku.

Emak dan ayah berpandangan, tidak berkata apa-apa lagi.

Tetapi mereka tidak berkata ya, juga tidak berkata tidak. Namun, apabila aku berkeras, mereka mengalah. Kawan-kawan yang mengetahui pula, sebahagiannya merestui, sebahagian lagi menggelengkan kepala.

Armiza juga membantah keras. Tetapi aku tetap memujuk.

“Kita kan masih belajar. Apa salahnya bertunang selepas kita tamat pengajian?” tegasnya kepadaku.

“Ala! Bertunang saja, bukannya kita hendak berkahwin dalam tahun ni juga,” balasku pula.

Dia mengigit bibir. Aku menanti kata-kata persetujuannya. Tetapi hairan juga aku dengan gelagatnya itu. Kalau perempuan lain, mereka cukup suka kalau dibawa berbincang soal tunang dan kahwin. Tetapi dia tidak. Dia seperti tidak menyenangi. Dan itu yang membuatkan aku tidak senang duduk. Entah apa keraguan yang sedang bermain di hatinya.

“Penting sangat ke untuk kita bertunang seawal begini?” soalnya perlahan, merenungku tajam.

Aku mengangguk.

Bunyinya seperti aku ini mementingkan diri sendiri tetapi aku hanya mahu memastikan yang hubungan kami tidak dicerobohi oleh sesiapan. Bertunang akan menjadikannya milik aku yang pasti walaupun hanya separuh rasmi. Tetapi cara itu akan menjadikannya kembang larangan. Mana-mana lelaki akan berfikir dua-tiga kali sebelum mendekati.

“Kalau itu kemahuan abang, apa lagi yang boleh Miza katakan,” terdengar dia bersuara perlahan, memberikan persetujuan.

Yes! Aku seperti ingin melonjak tinggi.

“Tapi Miza ada satu syarat,” sambungnya lagi.

“Apa dia?”

“Kita bertunang lima tahun.”

Lamanya! Aku merancang hendak bertunang selama dua tahun sahaja.

“Apasal tak minta tempoh sepuluh tahun?” soalku kepadanya, bertujuan mengusik. Tetapi dia tidak ketawa, apatah lagi hendak tersenyum. Tajam pula matanya memandangku. Nampaknya dia benar-benar serius. Tempoh lima tahun itu nampaknya adalah syarat utama untuk persetujuannya.

“Okay, okay, kita bertunang selama lima tahun,” aku kembali serius.

Dia menarik nafas panjang, tersenyum tawar seperti lega mendengarkan persetujuanku itu. Kemudiannya dia berlalu meninggalkan aku sendirian di pinggiran pantai itu. Aku hanya memerhatinya langkah yang kian jauh.

Entah apa yang terbuku di dalam hatinya. Aku benar-benar tidak tahu apa yang bermain di hatinya ketika ini. Yang aku tahu, dia menerima hasratku itu tanpa sepenuh rela.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience