BAB 21

Romance Series 55700

Bukan sedikit, bahkan sememangnya banyak kesalahan diri aku yang menjadi punca kemusnahan cintaku dengan Armiza, biarpun ketika itu sudah ada ikatan yang termeterai antara kami.

Antaranya ialah keegoan diriku sendiri. Ego menjadikan aku seorang lelaki yang tidak tahu beralah atau mahu mengalah dengan sesiapa. Juga menjadikan aku seseorang yang sukar berterima-kasih kepada kawannya bagi setiap nasihat yang diberikan. Ego juga menjadikan aku seorang manusia yang bertindak lebih mengikut kata hati, bukannya mengikut pertimbangan fikiran. Sudahnya, ego ini menelan diriku kembali, lantas menjadikan aku seseorang yang tertewas kepada percaturan sendiri.

Armiza tidak menyenangi hubunganku dengan Juita. Tidak tahu kenapa tetapi aku mengandaikannya sebagai cemburu seorang perempuan. Seorang perempuan sentiasa mencemburui mana-mana perempuan lain yang berdiri di sisi kekasih hatinya, sekalipun perempuan itu hanyalah seorang kenalan biasa; itulah tafsiran hatiku apabila dia meluahkan ketidak-senangan hatinya terhadap hubungan baikku dengan mana-mana gadis, terutama sekali Juita.

“Apa kata orang lain terhadap abang? Hari ni, mereka nampak abang dengan Miza, esoknya mereka nampak abang dengan Juita. Mereka akan kata abang seorang playboy atau mereka akan kata Miza bodoh sebab…”

“Sebab apa?” aku meningkah kata-katanya itu. Wajah merah Armiza ditentang. Jelas sekali yang dia tidak senang hati.

Bukannya aku tidak terdengar kata-kata sumbang di belakangku selama ini. Aku playboy, aku kasanova, aku kaki perempuan… entah apa lagi gelaran yang diberikan kepada aku. Tidak tahu kenapa mereka menggelar aku sebegitu. Mungkin ada orang sakit hati atau tidak senang apabila mendapati aku mempunyai ramai kawan perempuan. Tetapi aku tidak mempedulikan semua itu kerana aku bukannya sebegitu. Dan Armiza, tidak seharusnya meragui kejujuran aku terhadapnya.

“Bodoh sebab Miza ada boyfriend yang bermain kayu tiga,” Armiza menyambung kata-katanya.

“Miza percaya?” dugaku.

Dia terdiam tetapi matanya lembut memandangku. Ada kegelisahan yang tertafsir pada gerakan anak-matanya.

“Abang dan Juita tak ada apa-apa hubungan yang lebih daripada sekadar hubungan adik dan abang,” aku bersuara tegas kepadanya.

“Tapi cara abang melayan dia, terutamanya semasa di library malam dulu tu, seolah-olah dialah kekasih abang,” balas Armiza.

Dia mengungkit nampaknya. Pada malam aku menolong Juita mencarikan bahan rujukan di perpustakaan, Armiza turut ada di sana bersama-sama beberapa rakan perempuannya yang lain. Tetapi dia sekadar memerhati dari jauh, enggan menyertai kami. Sangkaku, dia mengerti yang aku sekadar ingin membantu Juita, bukannya kerana ada tujuan lain.

Dan aku tahu hati Armiza sakit apabila melihat gelagat Juita. Tetapi Juita memang sebegitu sikapnya. Dia suka duduk rapat-rapat dengan aku, dan sesekali kepalanya terlentuk manja ke bahu. Dia sekadar hendak bermanja. Dan bagi aku, tiada salahnya kalau dia hendak bermanja sebegitu dengan aku.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Redza akan menjauhi diri daripada Juita apabila mengetahui Armiza mencemburui kemesraannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience