BAB 97

Romance Series 55700

MASHITAH

PAGI-PAGI lagi, aku pergi ke pantai. Menyedut udara masin laut dan menikmati panas mentari pagi. Kelibat Redza tidak kelihatan. Semalam dia ada memberitahuku yang dia mahu keluar ke bandar Dungun, mahu membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur. Ada juga dia menawarkan budi-baiknya untuk membelikan tiket untukku tetapi aku menolak. Aku mahu pergi membeli sendiri. Dapat juga berjalan-jalan dan melihat apa yang menarik yang ada di bandar Dungun itu.

Puas bersantai di tepi pantai, aku kembali ke hotel penginapan. Selesai makan dan mandi, aku bergerak pergi ke bandar. Rupanya susah juga hendak mendapat pengangkutan dari kawasan ini untuk keluar ke bandar sana. Mujur juga Hotel UiTM ada menawarkan perkhidmatan sewaan basikal. Basikal itulah yang menjadi pengangkutan utamaku untuk pergi ke mana-mana tempat.

Kaunter jualan tiket bas terletak di tepi jalan. Mudah untuk aku mencarinya dan mujur masih ada satu tempat duduk untukku. Kalau tidak, aku terpaksa pulang pada Isnin, terlajak sehari daripada jumlah cuti yang aku pohon.

Ketika hendak beredar pulang itulah, aku terlihat Redza di dalam sebuah kedai makan di belakang kaunter jualan tiket. Berbelah-bahagi juga aku, berfikir samada hendak menegur atau membiarkan sahaja dia. Dia sedang duduk berbual bersama seorang tomboy. Serius benar wajah masing-masing. Aku pasti, mereka sedang membincangkan perkara yang penting dan kerana itu, tidak wajar untuk aku menganggu mereka.

Sedang aku menolak basikal menuju ke jalan, aku terlihat tomboy itu bangun dan berlalu pergi. Tinggallah Redza sendirian dan kelihatannya sedang termenung panjang. Aku kembali berbelah-bahagi samada hendak menegurnya atau tidak. Tetapi apabila melihat wajahnya yang jelas suram, aku putuskan untuk menegur dan bertanyakan apakah masalahnya. Dia sudi dan sedia mendengar luahan hatiku. Maka kini, tiba giliran aku pula untuk mendengar luahan hatinya.

Redza agak terkejut ketika aku muncul dan menyapanya mesra.

“Datang beli tiket balik?” soalnya ketika aku menarik kerusi dan melabuhkan duduk di hadapannya.

“Ya, nasib baik ada tiket walaupun dapat bas terakhir dan juga tempat duduk yang terakhir. Awak pula, dah beli tiket balik?” soalku kepadanya.

“Sudah,” angguknya tetapi tidak memberitahuku apakah nama bas yang dinaikinya ataupun waktu perjalanan bas.

“Siapa tadi tu?” soalku, bertanyakan tomboy yang aku lihat bersamanya tadi.

“Kawan sekampus,” jawabnya ringkas, langsung tidak menyebut nama kawannya itu ataupun memberitahu apakah isi perbualan mereka tadi. Melihat dia menjawab soalanku seringkas begitu, aku mula buntu otak hendak bertanya dengan lebih lanjut. Mungkin dia menjawab sebegitu demi mengelakkan aku supaya bertanya lebih-lebih.

Kami sama-sama terdiam. Mataku mencuri pandang ke arahnya. Ada kilau sayu pada sinar matanya. Hatiku segera bersimpati. Pasti perkara yang dibualkannya dengan tomboy tadi bersangkut-paut dengan kisah cintanya yang kini terbenam di dasar lautan itu.

Tetapi apakah perkara yang membangkitkan rasa sedihnya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience