BAB 105

Romance Series 55700

REDZA

AYAM masak merah, acar timun, pajeri nanas, kerabu perut, gulai daging lembu dicampur ubi kentang, nasi minyak dan air sirap. Banyaknya! Perut yang sememangnya lapar menjadi kian lapar.

“Kau tenung apa lagi tu? Makan sajalah," tegur Shukri yang sedang membasuh tangannya.

“Air sirap saja ke? Aku nak air bandung cincau," ujarku, berseloroh. Hidangan lauk-pauk yang semewah ini terasa dicacatkan dengan hidangan air sirap ros sebagai air minuman.

“Banyak songeh betullah kau! Kau ingat ini kedai makan ke, boleh order apa saja sesuka hati? Kalau nak, pergilah bancuh sendiri kat dapur tu," balas Shukri.

Aku tergelak kecil, lantas mencapai bekas air dan membasuh tangan. Sambil-sambil itu, aku melirik pandang ke arah Juita.

Sekalipun menyedari kehadirannya di majlis ini, aku langsung tidak mendekatinya untuk bertegur-sapa. Memandang wajahnya membuatkan aku teringatkan cerita yang disampaikan oleh Syid tempoh hari. Dia rupanya tidak berpuas-hati dengan sekadar menjadi seseorang yang berada di sisiku. Dia mahu mendapat tempat di hatiku dan kerana itu sanggup berbuat apa sahaja untuk itu. Dia menyembunyikan sikap pentingkan dirinya itu di sebalik sikap kebudak-budakkannya dan memanipulasikan sikap egoku. Sudahnya aku terpedaya sebegitu lama. Dan kerananya, aku tanpa sedar telah mengguris luka hati Armiza.

Tetapi dia tidak sedar, walaupun sebaik mana pun aku terhadapnya, walau sehebat mana pun usahanya, hanya Armiza yang bertakhta di hatiku.

“Kau tak nak tegur Juita? Dari tadi dia asyik memandang kau saja," ujar Shukri.

Aku menggelengkan kepala. Setelah mengetahui kisah sebenarnya daripada Syid, aku menjadi semakin tawar hati hendak berbaik-baik dengannya.

“Kau rasa apa yang dia buat kat sini? Dia bukannya kawan Armiza atau saudara Sazali. Pelik kan, tiba-tiba sahaja dia muncul di majlis perkahwinan mereka ni,” Shukri bersuara lagi.

“Manalah aku tahu," balasku.

Sememangnya aku juga tertanya-tanya apakah yang dibuat Juita di majlis perkahwinan Sazali dan Armiza ini. Mungkin Sazali atau Armiza menjemputnya tetapi kalau benar mereka menjemputnya, aku terasa bagaikan ada yang tidak kena. Sazali bukannya kawan Juita dan bukankah Armiza dahulu tidak menyenanginya?

Atau ada rahsia lain yang tersembunyi daripada pengetahuanku?

Dan seperti yang dikatakan oleh Shukri, Juita begitu tajam sekali memandangku. Aku segera menunduk, menyuap nasi ke mulut tanpa mengangkat kepala untuk mengelakkan daripada bertemu pandang dengannya.

Dalam pada itu, aku teringatkan Mashitah. Katanya, hari ini adalah hari perkahwinan bekas kekasihnya. Juga adalah hari perkahwinan rakan sepejabatnya yang mencintainya di dalam diam. Rakan sepejabatnya itu berasal dari Dungun ini tetapi dia tidak pula memberitahu aku di manakah kampung rakannya itu. Tetapi aku rasa di ketika ini, dia pastinya sudah berada di majlis perkahwinan rakan sepejabatnya itu.

Pasangan suami-isteri dan anak lelaki mereka yang duduk di hadapan kami telah selesai makan dan kemudiannya beredar pergi. Tempat mereka segera diisi oleh tetamu yang baru datang. Aku tetap tidak mengangkat kepala. Dan seketika kemudian, aku terdengar namaku dipanggil.

“Redza.”

Perempuan. Mashitah.

Pantas aku memanggungkan kepala. Dan sememangnya gadis yang memanggil namaku itu ialah Mashitah. Aku terpegun memandangnya, langsung tidak menyangka yang aku akan bertemu dengannya di majlis perkahwinan Sazali dan Armiza ini. Nasi yang ditelan terasa seperti tersekat di kerongkong lantas aku tersedak.

Dia terburu-buru mencapai gelas air minuman, lantas menghulurkannya kepadaku. Terburu-buru aku meneguk air. Seketika kemudian, tekak kembali terasa lega.

“Awak buat apa di sini?” dia menyoal hairan.

Pelik! Sepatutnya aku yang bertanya sebegitu kepadanya.

Kami bertemu pandang. Dahinya berkerut seribu, seperti cuba memikirkan sesuatu. Kemudiannya, dia pantas mengeluarkan sekeping kad undangan perkahwinan dari dalam beg tangannya. Terbeliak mataku memandang kad itu. Sama benar dengan kad undangan perkahwinan Sazali dan Armiza.

Segera aku mengeluarkan kad tersebut yang terlipat di dalam kocek baju kemeja batikku, segera meneliti kad di tanganku. Baru aku tersedar, bukan hanya Sazali dan Armiza yang berkahwin hari ini. Memang di hadapan bucu kad itu tertera nama kedua-dua mereka tetapi di belakang kad itu pula tertera nama Haezade dan Malia.

Dan aku baru perasan juga, ada dua jemputan yang terselit di dalam kad itu. Aku hanya terpandang dan memberikan tumpuan kepada jemputan Sazali dan Armiza, yang sememangnya tertera namaku, lantas melupakan ada sekeping lagi jemputan yang terdapat di dalam kad itu. Selalunya, nama kesemua pengantin disertakan di dalam satu jemputan sahaja tetapi kad mereka ini adalah sebaliknya. Kerana itu, aku dan Mashitah sama-sama terlepas pandang.

Isteri abang Sazali yang bernama Haezade itu bernama Malia Abdul Rashid.

Malia Abdul Rashid?

“Juita tu, nama penuhnya…” aku bersuara perlahan, memandang Shukri yang tercengang memerhati kami berdua.

“Juita Abdul Rashid,” angguk Shukri.

Aku segera menarik nafas, mula mengerti. Patutlah Juita turut ada di majlis perkahwinan Sazali dan Armiza ini. Dia datang sebagai ahli keluarga pengantin perempuan yang seorang lagi iaitu kakaknya yang kini adalah kakak ipar Sazali dan biras Armiza.

“Haezade dan adik lelakinya berkahwin serentak hari ni. Katanya hendak jimat belanja. Tapi saya rasa yang Haezade tu sememangnya tak hendak adiknya mendahuluinya berkahwin, sebab itu dia juga terkelam-kabut hendak cepat-cepat berkahwin,” wanita yang datang bersama Mashitah bersuara memberitahu kami berdua.

Aku dan Mashitah bertukar pandangan, tidak tahu hendak berkata apa-apa. Tetapi rasa-rasanya bicara hatinya mungkin sama dengan bicara hatiku.

Apa ertinya kebetulan yang wujud di antara kami ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience