BAB 74

Romance Series 55690

REDZA

KEIZINAN yang bersyarat oleh Armiza itu amat melegakan hatiku. Baru terasa bebas sedikit hendak berbuat apa-apa pun. Kalau dahulu, setiap pergerakanku seperti wajib dilaporkan kepadanya. Kalau dia tidak menyenangi apa yang aku lakukan, ringan mulutnya menegur.

Ingat lagi apabila aku memberitahunya yang aku pernah bekerja sebagai bartender ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dahulu. Berjela-jela syarahan agama yang keluar dari mulutnya. Siap dengan hadis dan petikan al-Quran lagi. Tetapi sekurang-kurangnya aku mendapat pengetahuan yang jelas tentang hukum agama berkaitan dengan arak. Rupa-rupanya bukan sahaja meminum arak itu adalah haram. Walaupun hanya memetik anggur untuk dijadikan arak, sehinggalah kepada menghidang minuman itu, dosa akan tetap dihitung.

Memang aku gembira mendapat kekasih yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Jauh bezanya dengan aku yang agak jahil tentang hukum agama. Tetapi itu yang menjadi jurang antara kami berdua. Dia tegas di dalam usahanya untuk membimbing aku menjadi manusia yang sebaik mungkin, manakala aku pula mula rimas dengan kawalan dan teguran.

Sudahnya kami sering bertelingkah.

Tetapi dia yang sentiasa beralah.

Selepas hari keputusan itu, kami bagaikan membawa diri. Aku dengan caraku, dia dengan caranya. Bukan aku meminggirkan dirinya tetapi dia yang mengasingkan diri. Walaupun dia berlagak selamba melihat aku yang kecoh dan riuh dengan rakan-rakan perempuanku dan tidak lagi mempamerkan cemburunya yang merimaskan itu, aku perasan yang warna kemesraan kami seperti menjadi pudar. Apabila bertemu, dia seperti acuh tak acuh. Cakap bagai hendak tak hendak.

Merajuk di dalam diam?

Mungkin.

“Miza bukan merajuk,” gelengnya ketika aku bertanyakan hal itu semasa sama-sama menelaah di perpustakaan.

“Habis tu, abang tengok Miza seperti tidak ceria saja bila bersama abang,” aku tidak berpuas-hati dengan jawapannya.

Dia yang sedang tekun menulis mengangkat kepala, merenungku lembut. Seperti ada rahsia yang tersembunyi di dalam sinar matanya.

“Miza baik-baik sahaja,” ujarnya.

“Selalunya Miza tak macam ni,” balasku pula.

“Itu dahulu,” pantas dia bersuara balas.

Tidak sedap hati pula aku mendengar kata-katanya itu. Apa bezanya hubungan kami pada masa dahulu dan sekarang ini? Apa yang telah berubah, yang membuatkan segala-galanya menjadi berbeza? Aku tidak berubah dan aku tidak mengesan sebarang perubahan di dalam hubungan kami.

Atau dia yang telah berubah?

“Boleh tumpang duduk bersama?” terdengar suara riang Juita.

Ketika aku menoleh ke sisi, dia sudah menarik kerusi dan duduk di sisiku. Hatiku tidak menyenangi gelagat selambanya itu. Sesekali, aku mahu peluang untuk berdua-duaan dengan Armiza tanpa diganggu sesiapa. Tetapi Juita bagaikan tidak mengerti. Keizinan Armiza menjadi tiket baginya untuk menyertai kami tidak kira masa.

Ketika aku menoleh ke arah gadisku itu, terlihat dia sudah bangun dari duduknya.

“Miza hendak cari buku rujukan,” beritahunya sambil beredar ke rak-rak buku. Ada kilau resah pada pandangan matanya.

Hendak ikut atau tidak? Aku tidak mahu dia berkecil-hati dengan kemunculan Juita yang secara tiba-tiba itu. Aku tidak mahu dia beranggapan yang aku mengundang Juita untuk menyertai pertemuan kami. Aku mahu menjernihkan tanggapannya terhadapku.

Tetapi ketika aku bangun dari duduk, Juita pantas menyambar lenganku.

“Nak ke mana? Ita nak minta tolong bantu siapkan tugasan ni,” ujarnya sambil merenung tajam.

Hasratku dihalangnya.

“Kak Miza cuma pergi cari buku rujukan. Tak ke mana perginya dia tu,” sambungnya lagi, tanpa melepaskan pegangan tangannya.

Aku mula berbelah-bahagi. Tetapi hati terasa marah juga dengan gelagat Juita itu. Sikapnya itu agak keterlaluan. Dia menghalang aku daripada mendapatkan kekasihku. Tetapi apabila melihat kelibat Armiza menghilang di balik rak-rak buku, aku kembali duduk di kerusi.

Juita tidak begitu memerlukan bantuan aku sebenarnya. Dia tahu apa yang perlu dilakukannya. Aku menumpukan perhatian kepada nota-notaku, tidak mengendahkan Juita yang duduk di sebelah. Lama aku aku membaca. Dan lama jugalah baru aku hendak tersedar yang Armiza terlalu lama pergi mencari buku rujukan, masih belum kembali lagi.

Dia pergi mencari buku atau pergi menulis buku?

Segera aku bangun mencarinya. Seketika, aku menemuinya di rak buku. Armiza tidak keseorangan, Sazali ada bersamanya. Mereka sedang berbual, diselangi tawa kecil.

Mesranya mereka!

Bual dan tawa mereka terhenti apabila aku mendekati mereka. Tetapi cemburuku mula terdetik di sudut hati. Tidak tahu kenapa aku menjadi cemburu. Mungkin kerana aku tahu mereka tidak serapat mana sebelum ini walaupun merupakan rakan sekuliah. Tetapi kini, seperti ada bunga-bunga kemesraan di dalam hubungan mereka. Kalau begitu, bila pula putiknya bercambah?

“Kata nak cari buku rujukan,” aku bersuara kepada Armiza. Begitu lama dia mencari, tiada sebuah pun buku yang terpegang di tangannya.

“Miza tak jumpa buku yang Miza cari tu,” beritahu Armiza.

“Tapi jumpa benda lain,” balasku kembali

“Kami tersua,” Sazali yang menyedari sinis kata-kataku segera memberitahu.

Aku memandang Sazali. Bila pula dia datang ke perpustakaan ini? Ketika aku meninggalkan bilik tadi, dia sedang terbaring tidur. Tahu-tahu dia sudah turut ada di perpustakaan ini.

“Saya pergi dahulu. Jumpa lagi di dalam dewan kuliah esok,” Sazali segera meminta diri, bagaikan tidak mahu kehadirannya di sisi Armiza menyemarakkan api cemburu di hatiku.

Armiza memandangku, kemudiannya turut berlalu pergi. Aku mengekorinya dan memerhatinya yang singgah di sebuah meja untuk menyapa seorang rakan sekuliahnya. Selamba benar wajahnya. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Ah! Mungkin juga memang benar tiada apa-apa hubungan dan sulaman perasaan yang wujud di antara dia dengan Sazali. Hanya aku tiba-tiba sahaja berprasangka yang bukan-bukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience