BAB 92

Romance Series 55690

REDZA

Hatiku sengsara.

Semangatku hilang.

Harapanku melayang.

Aku benar-benar terasa kehilangan. Walaupun aku memujuk hati dan mengingatkan diri yang kami kini telah membawa haluan masing-masing dan tidak mungkin akan kembali bersama lagi, terasa sukar juga untuk menerima hakikat itu. Bukan sehari-dua kami bersama menyulam rasa tetapi bertahun-tahun lamanya. Dia telah menjadi sebahagian daripada sejarah diri dan kerana itu kehilangannya amat menyakitkan hati. Pada dia jugalah, aku sandarkan harapan untuk menggenggam bahagia tetapi apa jadinya kini. Mudah benar dia membuat keputusan, dan memberikan luka yang bukan sedikit kepada hati aku.

Tetapi aku akur, kesalahan banyak terletak pada diri aku sendiri. Aku terlalu memandang ringan perasaan seorang perempuan. Kini perasaan aku sedang dilumatkan oleh akibatnya. Aku mahukan sebuah peluang untuk memperbaiki kesalahan diri tetapi aku tahu yang Armiza tidak akan mempedulikan aku lagi. Aku pasti yang dia kini sedang memiliki kekasih yang baru, yang orangnya pastilah jauh berbeza berbanding aku.

Aku cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Di hadapan keluarga, aku tersenyum dan ketawa riang. Tetapi ketika bersendirian, aku bagaikan hilang arah. Sukar rupanya hendak membuang bayangan orang yang tersayang. Senyuman Armiza ada di setiap penjuru mata, dan aku sememangnya tidak mahu senyumannya hilang dari pandangan mataku.

“Along…” emak kehilangan kata-kata apabila dia melangkah masuk ke dalam bilikku pada suatu pagi.

Apa tidaknya, seluruh dinding bilik kecilku itu kini bertampal dengan gambar-gambar Armiza. Aku menghabiskan malamku dengan menampal setiap gambarnya yang ada di dalam simpananku pada dinding bilik. Aku mahu senyuman Armiza menghiasi setiap sudut pandanganku.

“Kenapa ni, Along?” emak menyoal bimbang. Pasti emak mula beranggapan yang otak aku ini sudah tidak betul.

“Apanya?” aku pura-pura tidak mengerti. Pandangan mataku tidak beralih daripada skrin komputer dan permainan video yang sedang aku mainkan.

“Ini semua…” emak kehilangan kata-kata. Dia mendekatiku, melabuhkan duduk di birai katil, memerhatiku dengan pandangan resah.

“Tak usah risaulah, mak. Along masih waras lagi,” aku bersuara perlahan, cuba memadamkan keresahan hati emak.

“Emak tak kata Along dah gila. Cuma mak nak tahu kenapa Along buat macam ni,” balas emak.

Aku terdiam mendengarkan kata-kata emak.

“Along tak boleh lupakan dia?” soal emak lembut.

Aku mengalih perhatian daripada skrin komputer kepada emak yang sedang merenung. Walau diam tidak menjawab pun, aku tahu yang emak memahamiku. Emak tahu yang aku benar-benar bersedih dengan sebuah kehilangan yang tidak terduga ini.

“Along bukannya orang yang mudah patah semangat selama ni. Tetapi hanya kerana seorang perempuan, tak sangka Along akan menjadi sebegini lemah,” emak bersuara lagi.

Bunyinya seperti dia mengejek tetapi aku tahu yang dia mahu membangkitkan semangatku.

“Kalau seseorang itu adalah milik kita, walau jauh di balik gunung pun, ia tetap akan menjadi milik kita. Tapi kalau sudah tertulis yang dia bukan milik kita, berada di hadapan mata sekali pun, kita tetap tak akan mendapatnya. Perkara jodoh ni bukannya perkara yang terletak di bawah kekuasaan kita, ia adalah perkara yang tertakluk pada ketentuan Allah. Sebab itu, berdoa dan bermohonlah kepada-Nya supaya Dia mengatur dan memberi apa yang terbaik buat diri kita,” sambung emak lagi.

“Tetapi kehilangan dia bermakna Along kehilangan harapan dan terpaksa melupakan semua rancangan yang telah Along rancang,” ujarku kepada emak.

“Sampai macam tu sekali?”

Aku terdiam. Tahukah emak, selama ini aku terlalu bergantungkan harapan pada Armiza. Aku berharap dia akan menjadi isteriku dan kemudiannya menjadi ibu kepada anak-anakku. Aku tidak pernah curi-curi meletakkan impian itu kepada perempuan lain seperti yang disangkakannya!

“Jangan letakkan harapan pada orang yang tak sudi, sebab mereka tak akan menghargai. Yang sengsara, diri kita sendiri. Mengenai perancangan masa hadapan, buatlah perancangan yang baru. Miza sudah jauh merancang hidupnya sendiri, takkan Along hendak ketinggalan sebegini,” emak lembut menasihati.

Aku sekadar tersenyum pahit. Sememangnya aku tahu yang Armiza telah merancang hidupnya sendiri kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience