BAB 52

Romance Series 55690

Aku merenung wajah ayah. Tangan ayah menuding ke arah bungkusan yang ada kesan dibuka orang. Entah oleh siapa, tetapi aku pasti ayah antara orang yang membukanya. Jadi, tidak guna hendak menipunya kerana pastilah ayah telah membaca notaku untuk Zach yang tertulis perkataan rindu, cinta dan salam sayang. Ayah pastinya menduga yang Zach adalah pemuda yang aku cintai. Dia hanya mahukan kepastian daripada mulutku sahaja. Maka, lebih baik aku mengesahkan sahaja yang Zachary Watson itu ialah kekasihku.

“Dia boyfriend Shitah,” aku bersuara perlahan.

“Apa bangsanya?!” suara ayah meninggi.

Terkejut juga aku mendengarkan nada keras suara ayah. Hati semakin terasa kurang-senang.

“Dia orang Kadazan, berasal dari Sabah,” jawabku.

“Kristian?!” ayah lantas dapat meneka apakah anutan Zach.

Aku mengangguk.

“Dah lama dah?” soal ayah lagi, yang aku kira merujuk kepada tempoh hubungan aku dan Zach.

“Empat tahun,” jawabku.

Ayah terdiam, merenungku dengan dahi yang berkerut. Ada rasa kurang senang di dalam pandangannya itu. Cepat-cepat aku melarikan pandangan ke tempat lain.

Aku tidak pernah bercerita kepada mana-mana anggota keluargaku pun mengenai kewujudan Zach di dalam hidupku. Mereka tidak pernah bertanya dan bukan pula sifatku suka bercerita hal peribadiku kepada orang-tuaku seperti adik-beradikku yang lain.

“Ayah tak suka hubungan Shitah dengan dia,” ayah bersuara dengan tiba-tiba. Kata-katanya itu sekalipun tidak bernada keras seperti tadi tetapi tegas.

“Kenapa?” soalku.

“Dia bukannya orang yang baik-baik,” ayah memberikan alasan itu.

“Ayah tak kenal dia, jumpa pun tidak pernah, jadi macam mana ayah boleh cakap macam tu,” balasku pula. Kali ini aku beradu tentangan mata dengan ayah. Dia kelihatannya marah mendengarkan kata-kataku. Tetapi aku tetap menuntut penjelasan bagi kata-katanya tadi.

Aku bukannya budak kecil lagi yang boleh menelan kata-katanya sebegitu sahaja. Kalau dia mengatakan seseorang itu tidak baik, dia perlu mengemukakan bukti yang orang itu sememangnya jahat. Kerana itu, apabila ayah mengatakan Zach bukannya orang yang baik-baik, aku mahukan buktinya. Jangan menuduh sembarangan kerana telah empat tahun aku mengenali Zach, sedangkan ayah mungkin baru hari ini mendengar namanya.

“Kalau dah namanya Kristian, jahatlah tu,” keras ayah bersuara.

“Tapi ayah kena ingat, imej orang Islam pada mata golongan Kristian juga buruk,” aku membalas pantas. Di dunia luar sana, golongan Islam telah dicap sebagai golongan pengganas sedangkan Islam adalah agama yang mencintai keamanan.

“Kamu jangan nak menjawab kata-kata aku!” ayah menengking kasar.

Tetapi aku bukan anaknya yang takutkannya seperti adik-beradikku yang lain. Aku perasankan kelibat Mastura dari balik pintu dapur sana. Pasti dia sedang memasang telinga mendengar pertelingkahan antara aku dan ayah.

“Beritahu Shitah sebab kenapa ayah cakap macam tu,” aku mencabar ayah untuk mengemukakan dalil-dalil bagi kata-katanya tadi.

Emak, aku lihat menggelengkan kepala. Emak sedia maklum akan keras hatiku. Kan selama ini aku digelarnya sebagai anak yang paling degil daripada kalangan lima orang anaknya.

“Ayah cuma takut kalau-kalau sesuatu yang buruk berlaku kepada Shitah. Kalau terjadi macam tu, susah hendak kita selesaikannya nanti. Maklumlah, banyak sangat perbezaan antara Shitah dan dia,” ujar ayah perlahan. Nada suaranya yang keras menjadi kendur dengan tiba-tiba. Nampaknya ayah memilih pendekatan diplomasi berbaur tekanan psikologi untuk ‘berunding’ denganku.

“Hubungan kami bukannya berlandaskan nafsu. Dan selama empat tahun ini, Shitah cukup menjaga adab agar kami tidak terbabas,” aku turut mengendurkan suara apabila bersuara.

“Bukan itu yang ayah bimbangkan. Ayah tahu yang Shitah boleh menjaga diri dengan baik,” geleng ayah.

“Kalau tak itu, apa sebenarnya?” aku mahukan penjelasan untuk tentangan yang aku terima daripadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience