BAB 69

Romance Series 55690

MASHITAH

PADA awalnya, aku merancang untuk pulang ke Kota Kinabalu pada sebelah tengahari. Tetapi akhirnya, aku putuskan untuk pulang ke sana sebaik-sahaja selesai mengemaskan barang-barangku. Aku tidak mahu menunggu lama-lama di daerah yang menjadi tempat berkubur cintaku. Abang Yusri dan Kak Cahaya saling berpandangan apabila melihat mataku yang bengkak tetapi mereka tidak bertanya apa-apa. Mereka mengerti sendiri.

Abang Yusri dengan rela hati mahu menghantarku ke Kota Kinabalu. Zach datang menghantarku. Turut datang bersamanya ialah Auntie Angie, Uncle Watson, pakcik dan makciknya. Daphne juga turut datang bersama mereka. Cantik orangnya. Dia tidak menegurku, sebaliknya memandang dari jauh. Antara kami terasa seperti ada ketegangan yang tersembunyi. Tetapi aku bersikap selamba terhadapnya.

Wajah Zach kelihatan suram.

“I love you, Shitah. Always,” ujarnya perlahan ketika dia membantu mengangkat beg ke dalam lori pick-up Abang Yusri.

“I know,” anggukku. Malam tadi, kami sama-sama kebingungan mencari jalan keluar daripada halangan dan tentangan yang diterima ini.

Dia bukannya tidak sanggup dibuang oleh orang-tua jika memilih Islam. Tetapi Zach yang aku kenali adalah seorang anak yang rapat dengan ayahnya. Dia pastinya tidak mahu melukakan hati ayahnya. Aku pula tidak pasti samada ayahku akan dapat menerimanya dengan baik, sekalipun dia memeluk Islam nanti. Apa yang terjadi Natrah dan apa yang dilakukan oleh lelaki yang bernama Luke itu akan membuatkan keikhlasan Zach akan sentiasa dipertikaikan, walaupun setelah dia memeluk Islam. Kehadirannya di dalam keluarga kami akan sentiasa dicurigai, takut kalau-kalau ada agenda yang tersembunyi dan itu akan menjadi tekanan bagi kami berdua nanti.

Akhirnya, aku yang membuat keputusan. Biarlah aku beralah. Biarlah kami menguburkan perasaan kami demi orang-orang yang kami sayangi. Siapa tahu, mungkin ada hikmah di sebalik pengorbanan kami ini nanti.

Aku bersalaman dengan semua orang untuk mengucapkan selamat tinggal, cuba bersikap sebaik mungkin terhadap mereka walaupun kerana sebahagian daripada merekalah, cintaku kini terpaksa dikuburkan. Aku kawal rasa sayu yang kembali menguasai hati kerana aku tidak mahu menangis lagi. Ketika aku menghulurkan tangan kepada Uncle Watson, dia menarikku ke satu sudut halaman, menjauhkan aku daripada keluarganya dan juga Zach yang terpinga-pinga melihatkan gelagatnya itu.

“Uncle sebenarnya tidak menentang hubungan berlainan bangsa, Shitah,” dia bersuara perlahan kepadaku.

Aku merenungnya. Hati terasa curiga mendengarkan kata-katanya itu. Seperti ada maksud yang tersirat.

“Uncle tidak menentang hubungan berlainan bangsa, asalkan seagama,” Uncle Watson mengulangi kata-katanya tadi, tetapi kali ini disertakan dengan penjelasan kepada kata-katanya.

Aku terpana. Seluruh tubuhku tiba-tiba sahaja menggigil. Bukan kerana sejuk tetapi menahan marah yang tiba-tiba sahaja meluap di dalam hati.

Aku tahu aku ini tidak sealim mana, tidak bertudung sekalipun itu yang adalah suruhan yang jelas termaktub di dalam Al-Quran. Tetapi itu tidak bermakna aku adalah orang yang tidak mencintai agamaku. Aku juga bukannya orang yang akan menukar agamaku hanya kerana sebuah cinta terhadap manusia.

Aku ingin menjadi seperti Mashitah, penyikat rambut keluarga Firaun yang sanggup dihukum rebus hidup-hidup mengakui Allah SWT adalah Tuhannya, enggan memperakukan Firaun sebagai tuhan. Dia adalah seorang wanita yang rela kehilangan keluarga, bahkan kehilangan nyawanya asalkan tidak kehilangan agamanya. Meskipun dia hanya seorang tukang sikat, pengorbanan agungnya itu mendapat penghormatan daripada Allah s.w.t di mana harum imannya itu bertebaran mewangi mengiringi perjalanan mikraj Rasullullah SAW menuju ke langit tujuh.

Aku mungkin tidak sehebat Mashitah tetapi aku seorang perempuan yang memiliki namanya dan seharusnya juga sedikit-sebanyak memiliki keunggulan imannya itu. Dan kerana itu, aku rela kehilangan cintaku asalkan aku tidak kehilangan agamaku.

“Uncle, Islam adalah agama saya sehingga ke mati,” ujarku perlahan tetapi tegas. Mataku melirik ke arah Zach yang memerhati kami dengan pandangan gusar. Abang Yusri sedang memaut bahunya, seperti cuba menenangkan resahnya.

“Biar saya kehilangan cinta saya, asalkan saya tidak kehilangan agama saya. Saya rela kehilangan Zach kerana saya tahu dia melakukan ini demi kasih-sayangnya terhadap orang-tuanya, lebih-lebih lagi kepada Uncle. Tetapi saya yakin, suatu hari nanti dia akan memeluk Islam. Pada ketika itu, sayalah orang yang paling bahagia kerana walaupun dia bukan lagi milik saya, dia adalah saudara seagama saya. Kami tetap akan bersatu walaupun di dalam bentuk hubungan yang berbeza,” sambungku lagi.

Wajah Uncle Watson berubah, menjadi tegang.

Aku tinggalkan ayah Zach, membiarkan dia dengan rasa marahnya terhadap kata-kataku tadi. Sesudah bersalaman dengan Kak Cahaya, aku mendekati Zach semula. Dia tidak berkata apa-apa, hanya merenung mataku dengan lembut dan sayu.

“I pergi dulu,” ujarku perlahan.

Dia mengangguk sahaja. Kami tidak dapat mengucapkan salam perpisahan kerana telah berjanji akan terus berkawan.

Tanpa berlengah, aku memanjat naik ke tempat duduk pemandu. Abang Yusri menghidupkan enjin lori pick-upnya dan sebentar kemudian lori itu bergerak meninggalkan halaman rumah. Aku menghulurkan kepala ke luar tingkap, melambai-lambai ke arah mereka semua yang tertinggal di belakang. Zach semakin lama semakin hilang daripada pandangan mata. Ketika ini, hati semakin meronta gundah tetapi aku tahankan air-mata agar tidak turun melimpah.

Bukan kami yang menoktahkan cinta kami, kami hanya beralah. Dan menangis hanya akan membuatkan hati semakin menyesali keputusan yang telah dipertimbangkan semalaman.

Pergilah, kekasih. Tetapi janganlah kau padamkan daripada ingatanmu yang kau pernah mencintai seorang gadis yang bernama Mashitah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience