BAB 20

Romance Series 55690

“Dalam ramai-ramai penonton di tepi padang tu, macam mana awak boleh tersangkut dengan dia?” soalku lagi.

“Sebab dia yang paling lantang menjerit memberikan sokongan kepada kawan-kawannya. Dan dia yang mendukung, mengarak seorang kawan sekolejnya yang berjaya membuat home-run. Sudah suratan agaknya yang kami akan kerap bertemu selepas itu. Apabila kerap bertemu, timbul keinginan untuk mengenali dirinya. Tetapi dia yang menegur saya terlebih dahulu. Rupa-rupanya dia telah mengenali saya sebagai presiden kelab penyokong kolej saya,” cerita Mashitah.

“Kelab penyokong?”

“Kelab yang akan turun memberikan sokongan kepada rakan-rakan sekolej yang bertanding di dalam mana-mana pertandingan, terutamanya pertandingan sukan dan seni antara kolej,” jelas Mashitah.

“Itu saja? Kerap bertemu, saling bertukar senyuman dan akhirnya timbul minat untuk berkenalan?” gelakku. Tidak ubah seperti kisah di dalam sebuah filem Hindi.

“Mulanya kami berkawan baik, lama-lama kemudian, kami sedar yang kami berdua serasi bersama, maka timbullah rasa sayang. Lama-lama kemudian, rasa sayang bertukar menjadi cinta. Lebih-lebih lagi, selama ini dia cukup mengambil-berat akan diri saya,” beritahunya.

Terdiam aku mendengarnya. Ternyata cintanya terhadap pemuda yang bernama Zach itu wujud dari sudut hati yang jujur menyayangi.

“Awak pula, macam-mana? Apa istimewanya dia sehingga awak jatuh cinta dengannya?” Mashitah pula bertanyakan kisah cintaku.

Aku hanya mengangkat bahu, tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalannya itu.

“Dia cantik?” soal Mashitah, tersenyum memandangku.

Aku hanya mengangguk perlahan.

Ya, Armiza cantik. Dengan wajah bujurnya, kulit putih-kuningnya dan ketinggiannya, dia cukup sesuai menjadi seorang model di pentas peragaan daripada. Dan kalau dibandingkan dia dengan Mashitah yang ada di hadapanku, jujur aku katakan yang kecantikan Mashitah hanya separuh daripada kecantikan dirinya. Tetapi seperti Mashitah, Armiza adalah seorang gadis yang baik dan lembut sekali. Tetapi aku terlupakan kebaikannya dan tanpa sedar sering mempermainkan kelembutannya itu.

“Mesti ramai yang meminatinya,” Mashitah bersuara lagi.

“Ya,” anggukku. Sekilas senyuman Armiza yang manis bagaikan madu terbayang di dalam fikiran.

“Memang dia cantik. Sebab tu, ramai pelajar lelaki yang lain turut meminatinya. Jadi, apabila dapat memilikinya, terasa seperti telah menewaskan saingan di medan. Ada kemenangan, ada kebanggaan kerana berjaya mendapatkan sesuatu yang menjadi pujaan ramai,” sambungku.

Mashitah tersenyum lebar.

Tetapi walaupun aku berjaya di dalam sayembara itu, aku terlupa yang kami berdua adalah dua manusia yang penuh pertentangan. Bahkan aku tidak berusaha mencari apatah lagi membentuk keserasian antara kami berdua. Itulah yang menyukarkan kebahagiaan aku. Dan sudah terlambat untuk aku memperbetulkan keadaan apabila aku menyedarinya. Kerana itu, aku meletakkan punca kesalahan terhadap perpisahan kami pada diriku terlebih dahulu, sebelum aku menyalahkan orang lain.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah wujud kekesalan di dalam hati Redza tentang perhubungannya yang dulu? Mengapa dia tidak mempertahankan hubungannya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience