BAB 3

Romance Series 55690

Rasa sedih dengan tiba-tiba memaut tangkai hati apabila melihat namanya tertera pada skrin telefon. Tak sangka dia masih mahu menghubungiku. Sangkaku, rasa terluka di hatinya akan membuatkan dia menjauhkan dirinya daripada aku. Rupa-rupanya tidak.

Ah! Separah mana pun hati kami tersiat, masih ada rindu yang mengepung sukma. Dan rindu itu membuatkan aku segera menghubunginya kembali, walaupun aku nekad untuk tidak menghubunginya buat seminggu-dua ini.

“Hai!” Terdengar suara lembutnya menyapa.

“Hai!” balasku pula, yang tiba-tiba terasa cukup kekok hendak berbual mesra dengannya. Mungkin kerana kemesraan di antara kami telah terjurang jauh membuatkan masing-masing menjadi beku dan kaku, tidak lagi seperti dahulu.

“Sihat?” soalnya sepatah.

“Ya,” jawabku perlahan, dengan rasa hiba yang menggunung di hati. Dia masih lagi mengambil berat akan diriku. Selain keluargaku, tiada orang lain yang dapat menandingi keprihatinan dirinya terhadap kebajikan diriku. Itu antara sebab hatiku terpaut kepadanya.

“Dah sampai di Terengganu?” soalnya lagi.

“Sudah, I tiba pada awal pagi tadi,” beritahuku sambil menolak pintu gelangsor, melangkah keluar ke balkoni. Mata tertumpu ke arah laut yang terbentang luas di hadapan sana.

“Bila si penyibuk tu nak kahwin?” Zach terus menyoal. Soalannya itu merujuk kepada Haezade, yang sama-sama kami gelarkan sebagai Si Penyibuk.

“Seminggu lagi,” beritahuku.

“Tapi kenapa you pergi awal ke sana?”

“I membawa diri,” jawabku lewa. Bayu laut berpuput, membawa bersamanya bahang panas yang agak memijarkan kulit muka.

“Hendak memujuk hati?” gelak Zach.

“Tak. Untuk mencari cinta yang baru,” jawabku, berseloroh; walaupun hati sebenarnya tersayat pedih mendengarkan soalannya tadi. Dia seharusnya tahu kenapa aku membawa diri sebegini. Ada luka yang cukup besar di hatiku ini untuk aku rawati sendiri.

“You… akan datang ke wedding I tak?” terdengar Zach menyoal lagi.

Hati kian berdarah mendengarkan soalannya itu. Dia tidak sepatutnya bertanya sebegitu kerana dia sendiri tahu apakah jawapanku.

“I tak dapat pergi,” aku menjawab perlahan, sambil mengawal perasaan yang tiba-tiba sahaja bergelora. Terasa seperti ada air-mata bertakung di penjuru mata.

“I mengerti,” balasnya perlahan.

“I’m sorry, okay?” aku memohon maaf di atas ketidakhadiranku di majlisnya. Terdengar dia menarik nafas panjang. Pasti dia juga sepertiku, sedang menahan sebak yang menggunung di hati.

“Zach…”

“You tidak ada apa-apa salah untuk I maafkan, Shitah,” balasnya perlahan.

“Terima-kasih kerana mengerti,” balasku lembut. Dia terdiam. Perbualan kami berakhir di situ. Aku kekal berdiri di balkoni, menghadap ke arah laut yang terbentang luas.

Zach pastinya berkecil hati dengan keengganan aku menghadiri majlis perkahwinannya, tetapi mana mungkin aku pergi menghadiri majlisnya itu. Mana mungkin aku membiarkan hatiku kian dalam terluka, sehingga tiada jampi penawar yang dapat menyembuhkannya kembali.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang berlaku antara Shitah dan Zachary?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience