BAB 29

Romance Series 55690

“Apa gunanya cantik tetapi menyakitkan hati apabila dipandang mata,” balasnya keras.

Aku pasti cincin itu ada kaitan dengan kemanisan cintanya yang kini telah menjadi duri di ingatan.

“Sudahlah, janganlah menangis lagi,” pujukku lembut. Tanganku menghulurkan sehelai sapu tangan yang sering aku bawa bersama kepadanya. Dia mengambilnya, mengesat mata dan pipinya yang basah.

“Cincin ni pemberian Zach?” soalku lembut.

Dia mengangguk. Tepat dugaanku tadi.

“Cincin ni sebagai tanda cinta kami,” beritahunya tanpa dipinta.

“Sayang benar dia terhadap awak,” ujarku pula.

“Tapi tak ke mana perginya cinta kami. Punah begitu saja. Yang tinggal hanya kenangan dan peninggalan yang menyakitkan hati setiap kali dikenang atau dipandang,” dia bersuara sayu. Matanya memandangku sekilas, kemudiannya dia kembali membuang pandang ke arah laut.

Aku mengambil cincin yang terletak di telapak tangannya, menyarungkannya kembali ke jari manisnya. Mashitah kelihatan terkejut dengan apa yang aku lakukan itu. Matanya tajam menikam ke mataku. Ada tanda-tanya dalam pandangannya.

“Kalau awak buang cincin ini, bermakna awak menyesal kerana dipertemukan lantas mencintainya. Awak menyesal ditakdirkan mencintainya?” soalku kepadanya.

Aku dan dia sama-sama terluka. Tetapi luka kami tidak sama bentuknya. Dia dan Zach berpisah tanpa rela hanya kerana ingin menjaga hati orang tua mereka, yang aku kira itu adalah satu pengorbanan yang cukup murni sekali. Kerana itu, bagiku tindakannya hendak membuang cincin itu cukup tidak wajar sekali.

“Tidak!” jawabnya tegas.

Aku tersenyum mendengarnya.

“Kalau begitu, awak perlu menyimpan cincin ini,” ujarku.

“Tetapi hati saya akan terluka setiap kali memandangnya,” gelengnya.

“Kalau begitu, jangan pakai cincin ini. Lucutkannya dari jari awak, simpankan di satu tempat. Tidak perlu sampai membuang pemberian yang cukup ikhlas ini,” balasku pula.

Mashitah terdiam, tertunduk melihat cincin yang tersarung di jarinya. Aku kira dia masih lagi menyayangi pemberian indah itu sebagaimana dia masih menyayangi Zach. Kerana itu, dia tidak sanggup hendak membuangnya tadi.

“Lagipun, membuang peninggalannya ini tak bermakna akan dapat mengurangkan luka di hati awak. Selagi masih ada kenangan, selagi itu awak akan mengingatinya. Selagi itu juga awak akan rasa terluka. Lagipun, bukan kehendak awak dan dia untuk berpisah. Jadi, kalau dibuang pemberian ikhlasnya itu, takut nanti awak akan menyesal di kemudian hari. So…”

“So?” dia menyoal apabila aku sengaja tidak menghabiskan kata-kataku tadi.

“Tindakan awak ini cukup tidak rasional sekali. Awak terlalu ikutkan perasaan,” ujarku selamba.

Dia lantas mencebikkan bibirnya tetapi perlahan-lahan dia kembali tersenyum. Kiranya kata-kataku tadi telah masuk ke pertimbangan waras fikirannya. Lega hatiku melihat mawar yang tadinya layu kini kembali segar warnanya.

Aku menegakkan badan kembali, kemudiannya menghulurkan tanganku kepadanya yang masih duduk di atas pasir.

…bersambung

Bab akan datang:

Kemana Redza ingin membawa Mashitah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience