BAB 107

Romance Series 55700

MASHITAH

Hulu belati diikat benang
Ditatang pawang ke dalam perahu
Pilu diri duduk mengenang
Orang dikenang buat tak tahu

Dalam peti ada pelita
Pelita perak berhias permata
Dalam hati masih cinta
Tetap bersemarak setiap ketika

Karatnya jiwa!

Aku menggeleng kepala apabila membaca pantun yang aku terima itu. Tidak senonoh betul Haezade. Sepatutnya malam ini dia mencipta mesra bersama Malia tetapi dia mencipta gila yang memeningkan kepala. Kalau begini caranya, bulan madunya akan kehilangan kemanisannya. Bulan madunya akan menjadi pilu dan haru-baru.

Ah! Biarlah dia dengan gilanya ini.

Segera aku menekan beberapa butang dan sejurus kemudian pantun yang aku terima daripada Haezade hilang daripada pandangan mata. Juga lenyap daripada tersimpan di dalam kotak mesej telefonku. Buat menyemak saja kalau hendak dilayan! Lagipun, dia kan suami orang dan aku tidak mahu mencipta perang yang baru dengan Malia.

Zach telah menjadi suami orang. Haezade juga telah menjadi suami orang. Maknanya kini, ada batas yang memisahkan kami. Ada ruang yang tidak boleh aku langkahi sesuka-hati. Sewajarnya aku akur, yang tinggal untukku hanyalah sebuah kenangan yang sukar dipadam.

Terluka?

Sememangnya aku terluka tetapi aku yakin apa yang terjadi ini tidak bermakna peluang untukku membina bahagia telah tiada. Lagipun, jika peluang telah tiada, itu bermakna kehidupanku telah berakhir. Hanya orang yang mati yang telah yang tiada peluang untuk melakukan sesuatu. Sedangkan aku masih lagi bernafas, bermakna masih ada harapan untukku mengecap bahagia. Aku tidak mahu mensia-siakan hidupku dengan terlalu mengenang kisah cinta yang tidak kesampaian sehingga aku melepaskan peluang yang tiba.

Tiada lagi cinta, tidak bermakna bahagia untukku telah sirna. Apabila ia muncul kelak, aku akan menggenggamnya erat dan tidak akan melepaskannya.

Malam ini adalah malam terakhirku di daerah ini. Bas aku pula adalah bas yang terakhir tiba di stesen bas Dungun ini. Aku terlewat tiba kerana terkandas di dalam hujan lebat. Terkelam-kabut aku berlari ke arah bas yang sedang menanti.

Dalam pada itu, aku terkenangkan Redza, kenalan baruku yang aku temui di sini. Pulang ke Kuala Lumpur nanti, aku mahu menghubunginya. Kami sama-sama terluka dan kami sama-sama berkongsi rasa luka masing-masing lantas dapat menyelami erti cinta dan pengorbanan. Hal itu menjadikan kami seperti memiliki satu ikatan yang istimewa.

Dan aku langsung tidak menduga yang lelaki yang duduk di sebelah tempat dudukku itu ialah Redza. Sangkaku dia telah pulang dengan menaiki bas yang lain yang lebih awal.

“Tak sangka kita akan duduk bersebelahan di dalam bas untuk pulang,” ujarnya, mengingatkanku yang kami pernah duduk bersebelahan semasa datang ke sini dahulu.

“Kebetulan,” balasku.

“Mungkin,” angguknya, tersenyum lebar.

“Mungkin kebetulan ini adalah peluang bagi kita berdua untuk saling lebih mengenali,” ujarku perlahan, teringatkan hasratku untuk mencarinya setelah pulang ke Kuala Lumpur nanti. Tetapi tidak perlu mencarinya lagi kerana kini dia ada di sisi.

“Saling lebih mengenali?” dia mengangkat kening dan senyumannya kian lebar.

Aku menjadi malu dengan tiba-ti ba. Ketara sangat aku terburu-buru sedangkan belum tentu lagi dia sudi membenarkan putik perkenalan kami berkembang menjadi sebuah hubungan yang erat.Ah! Kami mungkin bertemu hanya untuk berkongsi cerita luka masing-masing, bukannya untuk terus bersama sekalipun dirasakan antara kami ada satu ikatan yang istimewa.

“Bagus juga tu. Sayang kalau kita biarkan perkenalan kita yang cukup bermakna ni berakhir begitu saja,” dia bersuara dengan tiba-tiba.

Terkelu lidahku mendengar kata-katanya. Kata hatiku tadi rupanya salah belaka. Aku lantas tersenyum dan hati berasa senang dan gembira yang teramat sangat.

Perjalanan pulang yang panjang pada larut malam yang sepi ini tiba-tiba sahaja menjadi begitu bererti buat diriku dan mungkin juga buat dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience