BAB 28

Romance Series 55700

Memandang kemilau indahnya hanya membuatkan hatiku kian parah. Aku bukan setakat perlu melucutkannya dari jariku, bahkan perlu membuangnya jauh-jauh daripada pandangan mataku.

CINCIN emas bermata delima merah itu terletak di atas telapak tanganku. Kemilau cahayanya tetap indah kerana selama ini aku menjaganya dengan cermat sekali. Seketika, aku menggenggamnya erat-erat. Mataku terarah ke arah laut yang terbentang di hadapanku. Cincin ini akan aku kuburkan di Laut China Selatan di daerah Dungun ini.

Aku mengangkat tangan, lantas melontarkan tanganku ke arah laut. Tetapi apabila aku menarik tanganku kembali dan membuka semula genggaman tanganku, cincin emas bermata delima merah ini masih berada di telapak tangan. Masih lagi berkemilau indah.

Ah! Aku benar-benar tidak sanggup membuangnya. Aku masih menyayangi pemberian ini seperti mana aku masih mencintai Zachary.

Sudahnya, aku terduduk di gigi air, membenamkan muka di antara dua lutut, kemudiannya menangis sepuas-puas hati.

AKU kini suka pergi ke tepi pantai. Ada ketenangan yang mendamaikan jiwa di sana. Dan di tepi pantai sana, ada seseorang yang suka sangat mengorek kisah lukaku yang tidak ingin aku kenangkan kembali. Tetapi entah kenapa, aku cukup senang bercerita kisah lukaku kepadanya. Ada simpati pada sinar matanya setiap kali dia mendengar aku bercerita. Ada nasihat sesudah aku usai berkata-kata. Dan kerana itu, aku menyenangi dirinya.

Dan pada hari ketiga ini, aku pergi ke pantai lagi, ke tempat di mana aku selalu menemui dirinya. Seperti yang aku jangka, aku menemui Mashitah di situ. Awal benar dia datang ke tepi pantai ini. Aku melihat dia terduduk di gigi air, dengan kepala yang terbenam ke lutut. Bahunya terhinggut-hinggut.

Dia sedang menangis.

Segera aku mendapatkannya. Dia agak terkejut apabila aku menyentuh bahunya. Apabila dia mengangkat kepalanya, aku lihat wajah bersihnya dicemari titis-titis air. Hidungnya, matanya dan pipinya memerah. Tanda dia menangis sesungguh hati demi melepaskan duka dan luka yang mengepung jiwa.

“Kenapa nangis ni?” soalku lembut, lantas bertinggung di sisinya.

Mashitah menggelengkan kepala, tidak berkata apa-apa, tanda enggan berkongsi dukanya denganku.

Rasa prihatin membuatkan tanganku bergerak, mengesat titis air yang laju mengalir dari kelopak matanya. Dia terkejut, cepat-cepat menepis tanganku. Kemudiannya dia mengesat sendiri air-matanya. Aku perasan, tangannya seperti menggenggam sesuatu. Aku membiarkan dia menenangkan gelora hatinya dahulu. Setelah sebaknya mereda, setelah air-matanya beransur surut mengalir, aku menariknya duduk di bawah sepohon kayu.

“Kenapa nangis?” aku menyoalnya kembali.

Mashitah mengigit bibir, melemparkan pandangan ke arah laut.

“Takkan awak tak nak bercerita kepada saya? Manalah tahu kalau-kalau dapat meredakan rasa sedih awak tu,” aku bersuara lagi, sekaligus memujuknya untuk bercerita. Dia telah memujuk aku supaya bercerita tentang kisah lukaku, kini apa salahnya dia bercerita sedikit akan kisah lukanya pula. Seperti aku juga, dia sebenarnya memerlukan seseorang untuk mendengar luahan rasa yang terpendam.

“Apa yang menyakiti hati awak?” aku terus menyoal.

“Tak ada apa-apalah, cuma…” dia bersuara perlahan, terhenti seketika untuk menarik nafas panjang. Aku menanti.

“Saya hanya hendak membuang sesuatu ke dalam laut sana,” dia menyambung bicaranya. Bicaranya tidak bergetar sekalipun masih ada esakan di dalam tangisnya. Aku kira dia seorang gadis yang keras hati.

“Apa bendanya tu?”

“Ini,” dia menghulurkan tangannya yang tergenggam sejak tadi ke hadapanku, lantas mengembangkan jari-jari halusnya. Sebentuk cincin emas bermata delima merah berkilau di tapak tangannya. Cantik sekali.

“Awak nak membuangnya?” soalku terkejut. Dia mengangguk lemah.

“Tapi kenapa? Cincin ni cantik, tentu mahal harganya. Kalau saya, saya tak sanggup membuangnya,” ujarku, mempersoalkan tindakannya itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah Mashitah akan mengubah fikiran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience