BAB 71

Romance Series 55700

REDZA

“Katakan satu hari nanti, cinta kita putus di tengah jalan… kita tak jadi kahwin, apa yang abang akan buat?” soal Armiza ketika kami sedang berjalan-jalan di tepi pantai.

Pantai yang putih bersih itu adalah tempat di mana kami selalu bertemu janji. Sambil menghirup udara masin yang bertiup, sambil memandang lautan biru yang luas terbentang, kami berbicara tentang harapan hidup berdua dengan penuh gembira dan bahagia.

Tetapi petang ini, dia berbicara tentang perpisahan.

Aku menjelingnya sekilas, sama sekali tidak menyangka yang dia akan bertanya sebegitu. Bukan apa, aku sentiasa memandang positif akan masa hadapan kami berdua. Tidak lama lagi, kami akan sama-sama tamat pengajian. Kemudiannya akan memasuki alam pekerjaan. Bila sudah cukup duit di tangan, aku dan dia akan berkahwin. Dan aku tidak pernah berfikir yang hubungan kami berdua akan terkandas di tengah jalan.

Aku teguh mencintainya dan yakin dia juga teguh mencintaiku. Jadi, kenapa dia perlu memandang masa hadapan dengan penuh suram?

“Apa yang abang akan buat kalau hubungan kita tak sampai ke mana-mana?” Armiza seperti mendesak aku untuk menjawab soalannya tadi.

“Susah nak cakap. Tapi abang rasa yang abang masih boleh bersikap tenang, berlagak macam tak ada apa-apa yang berlaku,” jawabku sambil mematikan langkah.

Dia turut berhenti dari melangkah, berpaling memandang wajahku.

“Tetapi abang berharap Miza masih sudi menjemput abang datang ke majlis perkahwinan Miza,” ujarku lembut. Rupanya seperti memohon ihsan. Dia tersenyum manis.

“Abang akan bawakan hadiah yang teristimewa untuk Miza nanti,” sambungku lagi.

“Hadiah?” Keningnya terangkat.

“Abang nak hadiahkan Miza sebutir bom.”

“Hah?” Dia tercengang mendengar.

“Iya, bom. Tak kisahlah apa jenis bom sekalipun, bom jangka ke, bom nuklear ke,” anggukku selamba.

“Nak buat apa dengan bom tu?”

Hai! Tak faham-faham lagi dia ni.

“Abang nak letupkan majlis perkahwinan Miza tu,” jelasku kepadanya.

Armiza lantas tergelak kecil, menggelengkan kepalanya. Aku cuma tersenyum melihat reaksinya itu.

“Abang ni… Miza tengah serius, abang pula main-main,” ujarnya.

“Apa pulak main-mainnya, memang abang serius,” balasku pula.

Senyuman di bibirnya pantas padam. Tiba-tiba sahaja ada kilau kegusaran pada sinar matanya.

Hah! Tahu pun takut.

“Jadi, jangan sesekali bercakap tentang perpisahan. Abang tak nak kehilangan Miza. Abang akan jadi gila nanti kalau kehilangan Miz, dan itu antara benda gila yang abang akan buat,” ujarku kepadanya.

Dia adalah cintaku yang pertama, juga yang teragung. Nanarlah aku, kiranya dia tidak menjadi milikku.

Dia terdiam, lantas membuang pandang ke arah laut lepas. Kegusaran yang tadinya bermain di kilau matanya kini terlukis pada riak wajahnya.

“Kenapa?” soalku.

Armiza menggeleng. Aku tidak berpuas-hati. Dia yang aku kenali adalah seseorang yang gemar memendamkan perasaan, jarang hendak meluahkan apa yang terbuku di dalam hati sekiranya tidak didesak.

“Kenapa muram ni?”

“Abanglah… bila bercakap tentang tentang soal perpisahan, abang tak suka. Tetapi abang masih tak sedar-sedar akan kelakuan abang yang mungkin boleh menyebabkan kita berpisah.”

Sudah ku duga kegusaran hatinya itu berkaitan dengan diriku.

“Apa yang Miza maksudkan ni?”

“Abang dan Juita tu…” dia hanya memberikan pembayang. Maksud kata-katanya itu perlu aku terjemahkan sendiri. Dan aku sememangnya mengerti.

“Abang dan dia tak ada apa-apa hubungan selain daripada hubungan adik dan abang,” aku mengulangi pernyataan yang telah berulang kali aku katakan kepadanya. Kadang-kadang terasa jemu juga kerana dia masih enggan mempercayai.

“Yalah tu,” dia mencebikkan bibir.

Aku pula menggaru kepala yang tidak gatal. Bagaimana caranya untuk aku menyakinkan dirinya?

“Hati siapa tak tersinggung kalau lagak mesra antara abang dan Juita tu mengalahkan pasangan bercinta,” terdengar Armiza bersuara.

Aku mendiamkan diri, mendengar sahaja luahan hatinya.

“Sekalipun abang menganggapnya sebagai adik, masih ada batas yang tidak boleh dilangkaui oleh abang dan dia,” Armiza terus bersuara.

Dia tetap mengungkit kisah gelagat kemesraan aku dan Juita yang cukup tidak disenanginya itu. Kisah semasa aku menolong Juita mencari bahan rujukan yang diperlukan Juita di perpustakaan. Awal dahulu, pedih juga telingaku menadah telinga mendengarkan seribu satu nasihat darinya. Dia mengingatkan aku supaya menjaga tata-susila pergaulanku dengan sesiapa sahaja, berceramah tentang batas-batas hubungan di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Bukannya aku tidak tahu semua itu, tetapi entahlah tidak tahu kenapa sukar untuk aku akur. Agaknya betullah kata Sazali dahulu, yang terlarang itu penuh dengan godaan. Kena pula dengan aku yang tak kuat iman.

“Abang dengar tak apa yang Miza cakapkan ni?!” terdengar suaranya menyergah kuat.

Aku kembali tersedar, lantas memandang ke arahnya.

“Itulah, bila Miza bercakap, abang antara dengar dan tidak,” nada suaranya seperti sudah mula mahu merajuk.

“Miza, kan abang dah cakap dulu, dia bukannya orang ketiga,” cuma itu yang aku katakan kepadanya.

“Tapi dia sering muncul menganggu kita, sering menuntut perhatian abang lebih terhadap dirinya sekalipun ketika itu Miza ada di sisi abang. Kalau begitu caranya, dia tidak menghormati hubungan kita, juga tidak menghormati siapakah Miza dan apakah kedudukan Miza di sisi abang,” tegas Armiza.

“Dia bukan orang yang macam tu,” gelengku pula, sekaligus membela Juita.

“Habis, tu apa?” dia memuncungkan bibir ke arah tebing pasir yang berumput di belakangku.

Ketika aku menoleh, terlihat Juita sedang melambai-lambai riang. Apabila aku berpaling melihat Armiza kembali, dia sekadar tersenyum sinis. Aku terperangkap di dalam kata-kataku sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience