BAB 1

Romance Series 55690

Stesen bas Putra agak sesak pada malam minggu itu. Seperti biasa, pada hujung minggu, ramai anak jati Pantai Timur memilih untuk pulang sebentar ke kampung, membuatkan stesen bas yang terletak berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra itu menjadi agak sesak. Tetapi dia bukannya anak jati Pantai Timur.

Perjalanan basnya dijadualkan pukul 10.30 malam nanti. Setengah jam lagi, fikirnya sambil membelek jam di pergelangan tangan. Selepas menyemak nombor bas, dia melabuhkan duduk di kerusi yang disediakan.

Dia anak jati Kuala Lumpur, yang melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA, yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA cawangan Dungun, Terengganu. Lebih dari empat tahun dia berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Dungun. Empat tahun berada di sana membuatkan Terengganu menjadi sebuah negeri yang amat dekat dengan hatinya. Sehingga kini, dia masih teringat-ingat jaluran pantai yang berpasir putih bersih, dengan air laut yang biru kehijauan. Dan sehingga kini juga, dia rindukan udara masin daerah itu.

Tetapi bukan itu yang membuatkannya kembali semula ke tempat yang sudah setahun ditinggalkan itu.

Dia kembali untuk memenuhi sebuah undangan perkahwinan. Dan dia pergi dengan membawa sebuah hati yang terluka untuk ditawarkan bisanya.

Bas akan bertolak 15 minit lagi. Tergesa-gesa dia membayar tambang teksi, menyambar beg pakaiannya dan bergegas meluru ke tempat menunggu. Kawan-kawannya sudah memberitahu, bas di Stesen bas Putra bertolak tepat pada waktunya. Tidak seperti di Puduraya di mana perjalanan bas selalu tersasar dari masa sebenar.

Ini perjalanan pertamanya ke Terengganu. Dia bersendirian ke sana, tanpa ditemani sesiapa. Rakan-rakan sepejabatnya ada mengajaknya menyertai kumpulan mereka yang juga akan turut ke Terengganu tetapi dia enggan. Dia ke sana bukan sekadar untuk memenuhi sebuah undangan perkahwinan tetapi juga mahu mencari ubat pengubat luka hati. Kerana itu, dia bertolak seminggu lebih awal dari tarikh undangan itu. Luka hatinya perlu disembuhkan segera.

Dia tidak mahu luka hatinya melarat, lantas menjadikannya orang tertewas di dalam mencari erti bahagia.

Pantai daerah Dungun masih putih bersih seperti dahulu. Lautnya masih berair hijaukebiruan. Angin lautnya juga masih lagi lembut bertiup. Udaranya masih terasa masin apabila disedut masuk ke dalam rongga paru-paru. Tiada apa yang berubah di daerah ini. Aku juga tidak berubah. Yang berubah hanyalah cinta terhadap seseorang.

Penat mengayuh basikal yang dipinjam daripada pengurusan resort, aku pantas melompat turun, lantas menuntun basikal itu berjalan menyusuri pantai. Letih menapak, aku melabuhkan duduk di sebuah pondok. Sambil bersandar badan pada tiang pondok, mata pula merenung ke gigi pantai. Ketika ini, bagai terlihat-lihat susuk tubuh Armiza yang sedang bermain-main di gigi air. Gelak tawanya bagaikan terdengar-dengar pada cuping telingaku.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang menyebabkan hatinya terluka untuk ke Terengganu? Siapakah yang berkahwin?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience