BAB 65

Romance Series 55690

MASHITAH

EMAK dan ayah Zach sama-sama berusia awal lima puluhan. Zach banyak mewarisi paras wajah emaknya, Auntie Angie yang lembut. Manakala ayah Zach, Uncle Watson mempunyai air-muka yang serius. Apabila aku berhadapan dengan ayah Zach itu, naluriku mengatakan yang dia tidak menyenangi diriku tetapi dia tetap cuba bersikap mesra denganku sebagai tanda menghormati tetamu. Zach pula aku lihat cuba bersikap selamba yang boleh sepanjang kami semua duduk makan di anjung.

“Bila mahu pulang ke Semenanjung?” soal Uncle Watson kepada kami sedang makan. Sebentar tadi, dia banyak bertanyakan tentang keluargaku. Berkerut dahinya apabila aku memberitahunya yang ayahku adalah imam di kampungku.

“Lusa,” jawabku. Tengahari esok aku akan bertolak pulang Kota Kinabalu dan sebelah petangnya aku merancang hendak pergi meninjau-ninjau Pasar Filipina yang terkenal itu. Penerbangan pulangku adalah pada awal pagi lusa.

“Cepatnya,” dia mengerutkan dahinya yang luas.

“Banyak sangat kerja di pejabat. Sebab tu tak berani nak bercuti lama-lama, nanti bertimbun-timbun jadinya,” jelasku.

“Lain-kali ambillah cuti panjang sikit kalau nak datang ke Sabah ni. Boleh juga pergi mendaki Gunung Kinabalu,” balas Uncle Watson.

“Tapi saya nak bawa Shitah berjalan-jalan sekitar Ranau esok. Nak bawa dia melihat…”

“Esok hari Ahad, Zach. Takkan kau dah lupa yang kau kena ikut ayah ke chapel,” Uncle Watson meningkah kata-kata Zach dengan tegas.

Zach kelihatannya agak terkejut mendengarkan nada tegas suara ayahnya. Dia merenung ayahnya seketika, kemudian melirik ke arahku. Aku mempamerkan raut selamba sekalipun sebenarnya turut terkejut mendengarkan nada tegas suara Uncle Watson tadi.

Nampaknya ayah Zach adalah seseorang yang cukup patuh kepada agama. Tetapi pelik kerana dia merelakan Abang Yusri yang dahulunya Benjamin bertukar anutan kepada Islam. Dan bertambah pelik apabila Zach pula kelihatannya seperti dipaksa menjadi seorang penganut Kristian yang taat. Jelas seperti ada sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuanku tetapi perkara itu terlalu samar-samar untuk aku menekanya.

Zach, aku lihat tunduk menghabiskan nasi di pinggannya. Auntie Angie yang sememangnya mendiamkan diri sejak tadi masih kekal diam. Abang Yusri dan Kak Cahaya pula bertukar pandangan, bertukar pengertian sesama mereka. Uncle Watson, aku lihat sedang melemparkan pandangan ke arah kawasan halaman rumah.

Sah! Memang ada sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuanku.

Selesai makan dan berkemas, Zach, Auntie Angie dan Uncle Watson bergerak pulang; tidak mahu menunggu sekalipun Abang Yusri dan Kak Cahaya mengajak untuk duduk minum kopi bersama. Tetapi Zach berjanji akan datang semula selepas menghantar ibu-bapanya itu pulang ke rumah.

“Terima-kasih,” ucap Abang Yusri kepadaku apabila kelibat Zach dan ibu-bapanya menghilang di dalam kepekatan malam.

“Untuk apa? Saya yang sepatutnya berterima-kasih kerana Abang Yusri dan Kak Cahaya serta orang-tua abang melayan saya dengan baik,” balasku pula.

“Abang berterima-kasih kerana disebabkan kehadiran Shitah, ayah dan ibu abang akhirnya menjejakkan kaki ke rumah abang ni.”

“Hah?” aku terlopong, tidak percaya dengan apa yang aku dengar itu, kerana tidak menyangka keadaan keluarga ini tidak sama dengan apa yang aku lihat sebentar tadi.

“Selama ni, ayah abang memulau abang,” beritahu Abang Yusri.

“Sebab abang bertukar agama?” aku meneka.

Abang Yusri hanya tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience