BAB 39

Romance Series 55690

Aku tidak boleh terkial-kial hendak menjawab apabila Zach menyoal aku tentang perkara-perkara berkenaan Islam nanti. Kerana itu, aku perlu mempersiapkan diri aku dengan cara memperbaiki tahap pengetahuanku. Dan kini baru aku sedari, bukan senang hendak membimbing seseorang kepada kebenaran Islam. Juga baru aku sedari, bukan senang hendak menjadi seorang pendakwah rupanya.

Kesedaran itu membuatkan aku meluangkan masa untuk pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman, mahu mencari buku-buku rujukan yang boleh membantuku meningkatkan kefahaman agamaku. Selain itu, aku juga mahu menghadiahkan beberapa buah buku baharu mengenai pengetahuan Islam kepada Zach. Lebih daripada itu, aku merancang hendak membawanya pergi ke Perkim. Di sana ada guru agama yang akan dapat membantunya memahami Islam dengan lebih mendalam.

“I nak berjumpa dengan you,” terdengar Zach bersuara.

“Bila?” soalku sambil melangkah keluar dari perut LRT sebaik sahaja tren tiba di stesen Masjid Jamek. Dari stesen itu, aku perlu berjalan menuju ke arah Jalan Masjid India, sebelum menghala ke arah Jalan Tunku Abdul Rahman. Kedai buku pilihanku ialah Pustaka Mukmin dan juga Pustaka Minerva.

“Kalau boleh, malam ni.”

“Di mana?”

“Tempat biasa,” jawabnya.

Tempat biasa yang dimaksudkannya itu ialah restoran KFC Jalan Universiti.

“Baiklah, pukul 9.00 malam,” aku pula menetapkan masa untuk pertemuan itu.

“Okay, see you tonight.”

Perbualan kami tamat di situ. Aku melajukan langkah ke arah tempat tujuanku. Akan aku buktikan kepada Haezade dan juga semua orang yang aku tidaklah sejahil mana sekaligus mampu membimbing Zach dengan sebaik-baiknya.

Aku terlewat pergi ke pertemuanku dengan Zach. Pulang dari Jalan Tunku Abdul Rahman, badan terasa penat sekali. Ini kerana aku pergi ke sana sebaik sahaja selesai waktu pejabat. Pulang ke rumah, aku bergegas mencuci baju-baju yang terendam sejak semalam. Dan selesai solat Maghrib, aku berbaring untuk melepaskan penat. Aku terlelap dan hanya terjaga kembali pada pukul 9.30 malam. Di telefon bimbitku, terdapat enam panggilan yang tidak terjawab. Semuanya daripada Zach. Pasti dia menghubungiku apabila mendapati aku tidak muncul pada waktu yang dijanjikan.

Terburu-buru aku membasuh muka, berpakaian dan kemudiannya bergegas menuju ke tempat pertemuan. Dalam perjalanan, aku cuba menghubungi Zach tetapi langsung tidak berjawab. Hati semakin risau, takut kalau dia sudah beredar pergi dari kedai makan itu.

Rupa-rupanya tidak. Zach setia menantiku di meja yang biasa kami duduki apabila datang makan di restoran itu. Bahkan dia sudah pun membelikan makanan untuk aku.

“Sorry,”aku memohon maaf di atas kelewatanku.

“You tidur ke?” dia bertanya lembut.

“Mana you tahu?” soalku kembali.

“Muka you nampak sembap,” jawabnya.

“I terlelap tadi, penat sangatlah,” beritahuku.

“You pergi ke mana petang tadi?” soalnya pula.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah membawa buku yang dibeli untuk membimbing Zach?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience