BAB 6

Romance Series 55690

“Yang kat hujung sana tu?”

“Ya, yang kat hujung sana tu,” anggukku, sambil menyembunyikan senyuman. ‘Hujung’ yang dimaksudkannya itu ialah Sura Tengah, sedangkan tempat ini pula Sura Hujung. Dia tidak tahu langsung tentang tempat ini. Nyata dia memang orang baru di daerah ini.

“Jauhnya awak berjalan,” dia bersuara, terkejut berbaur kagum.

“Saya budak PALAPES. Dah terbiasa buat kerja lasak macam ni,” jawabku pula. Sebenarnya aku sendiri tidak menyangka agak jauh juga aku berjalan tadi. Leka melayani perasaan dan fikiran membuatkan aku tidak sedar langsung langkah aku tadi telah membawa aku menghampiri kampus pengajian aku dahulu.

“PALAPES? Eh! Samalah dengan saya,” dia bersuara riang.

“Universiti mana?” Aku mula tertarik untuk berbual dengannya. Ada garis persamaan yang selari antara kami berdua walaupun garis itu agak jauh antara satu sama lain.

“Universiti Malaya. Awak pula dari universiti mana?” soalnya bertalu-talu.

“UiTM, cawangan Dungun inilah. Ditauliahkan pada dua tahun lepas,” beritahuku.

“Saya ditauliahkan di UKM, tahun lepas,” beritahunya pula.

Aku hanya ketawa kecil. Apa tidaknya, Universiti Malaya menjadi tuan rumah pentauliahan PALAPES di mana antara pegawai kadet yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Askar Wataniah itu ialah aku sendiri. Lagipun, Universiti Malaya telah mencipta sejarah tersendiri di dalam sejarah penubuhan PALAPES apabila buat pertama kalinya seorang pegawai kadet wanita terpilih menjadi kadet terbaik.

Pada tahun lepas pula, aku berada di Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengambil giliran menjadi tuan-rumah. Dan pada malam sebelum hari sebenar pentauliahan itu jugalah, Armiza datang menemuiku di Universiti Kebangsaan Malaysia, meminta agar pertunangan kami diputuskan. Hatinya sudah terpaut kepada orang lain.

“Kira awak seniorlah. Sepatutnya saya panggil Tuan,” ujar gadis itu lagi.

“Awak di rejimen mana sekarang?” giliran aku menyoalnya. Gadis yang tidak aku ketahui siapakah namanya ini rupa-rupanya adalah seseorang yang amat dekat dengan diriku.

“Rejimen 515. Tuan pula di rejimen mana sekarang? Atau masih lagi menjadi pegawai muda di PALAPES UiTM?” beritahunya, mula memanggil aku ‘Tuan’ sebagai tanda hormat terhadap kesenioritian aku walaupun aku menduga yang kami sama-sama berpangkat ‘Leftenan Muda’.

“Di Rejimen 515,” beritahuku.

“Eh! Kita serumah,” balasnya terkejut.

“Tapi saya dah lari dari rumah tu,” balasku pula, separuh bergurau.

Dia tercengang.

“Saya sudah tidak aktif. Kalau tak, sudah lama kita berkenalan,” ujarku, menjelaskan maksud kata-kataku.

Dia tertawa riang, mengangguk setuju. Tawanya mengingatkan aku kepada Armiza.

“Kenapa Tuan datang ke Dungun ni?” soalnya kepadaku apabila tawanya reda.

“Ada undangan perkahwinan,” jawabku.

“Siapa yang berkahwin?” soalnya lagi, kian mesra.

“Bekas tunang,” jawabku selamba.

Terbeliak matanya memandangku.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa gadis itu seakan terperanjat dengan jawapannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience