BAB 59

Romance Series 55700

MASHITAH

PADA malam di mana aku sepatutnya terbang ke Sabah, aku terperuk duduk di dalam bilik persalinan. Membiarkan wajah disolek oleh jurusolek yang ditempah khas untuk mekap para peserta persembahan. Mereka semua ada menegurku, menyatakan yang aku tidak seceria mana. Seperti kena kahwin paksa, gelak salah seorang daripada mereka.

Memang aku dipaksa dan terpaksa!

Fikiranku menerawang, teringatkan Zach. Dia masih belum menghubungiku manakala aku tetap gagal menghubunginya. Lupakah dia kepadaku? Adakah gadis yang bernama Daphne itu telah berjaya melenyapkan ingatannya terhadapku?

“Eh! Kenapa ni?” jurusolek yang dipanggil Atia menegur.

Aku terkejut, menoleh ke arahnya sekilas sebelum kembali memandang cermin di hadapanku. Terlihat sejurai air-mata di pipi. Tanpa sedar, aku menangis. Pilu yang memaut tangkai hati membuatkan aku menitiskan air-mata tanpa disedari. Cepat-cepat aku mengesat air-mata.

Mujur juga kedudukan aku agak tersorok di penjuru bilik persalinan ini. Apa yang berlaku itu tidak disedari oleh sesiapa. Kalau tidak, pasti aku akan bersoal-jawab dengan semua orang.

“Jangan nangis lagi, sekejap lagi persembahan akan bermula,” Atia mengingatkan aku sambil kembali membetulkan mekap di wajah.

Aku merenung arca diri yang terbias di dalam cermin. Boleh tahan, puji hatiku. Rambut disanggul ke belakang, dihiasi dengan cucuk sanggul yang cantik. Sama cantik dengan baju kebaya songket berwarna coklat kemerahan yang tersarung di tubuhku. Kalaulah Zach melihat di saat ini, pasti dia akan memuji melambung.

“Cantik.”

Bukan Zach tetapi Haezade yang menuturkannya. Dengan tiba-tiba sahaja dia muncul di sisiku. Aku lihat dia cukup segak dengan baju songket yang sama warna warna dengan bajuku, lengkap dengan sampin dan tanjak. Kami seolah-olah betul-betul hendak berkahwin.

Haezade menyuruh Atia beredar meninggalkan kami berdua. Wanita itu akur. Haezade menarik kerusi, melabuhkan duduk di sebelahku. Gementar juga aku dengan gelagatnya itu. Apatah lagi apabila menyedari yang Malia tajam memerhati.

“Kau cantik,” dia mengulangi pujiannya tadi, seperti mahu menyakini aku yang dia sememangnya ikhlas memuji. Ah! Dia cuma hendak mengambil hati aku yang disakitinya sahaja.

Sepatutnya pada ketika ini aku sudah berada di Sabah. Dan esoknya aku bertolak menuju ke Ranau, ke kampung halaman Zach. Kerana itu, sakit-hatiku apabila memikirkan rancangan aku yang terpaksa ditunda itu. Dan aku bertambah sakit-hati apabila Haezade langsung tidak berterima-kasih untuk pengorbananku, apatah lagi hendak meminta maaf di atas sikapnya yang terlalu mendesak itu.

“Cantik inai di jari kau, Shitah,” dia tanpa jemu terus memuji.

Aku kian rimas mendengar.

Aku membantah apabila Haezade menyuruh aku menginaikan jari dan tangan. ‘Kan nanti kawan-kawan aku yang tidak tahu apa-apa beranggapan yang aku telah berkahwin di dalam diam-diam’, marahku kepadanya. Tetapi dia berkeras. Dan apabila dia berkeras, aku terpaksa akur sahaja. Kerana itu, aku rimas dengan pujiannya itu. Pujiannya itu tidak dapat mengurangkan sakit-hatiku. Dan aku bertambah rimas apabila mendapati mata Malia kian tajam memandang.

“Tapi sayang, tak ada cincin yang menghiasi,” ujarnya lagi.

Tercengang aku mendengarnya. Butakah mata dia? Takkan dia tak nampak cincin emas bermata delima merah yang sedang tersarung di jariku itu?

Tiba-tiba aku tersedar. Dia berbicara seolah-olah ada erti yang tersembunyi. Apabila terlihat renungannya yang terbias di cermin, jantungku dengan tiba-tiba berdegup laju. Dia tidak pernah memandangku dengan pandangan yang selembut itu.

Dan degup jantungku bertambah laju apabila Haezade menyentuh jariku. Malia bagaikan hendak terkeluar biji mata melihat. Dan tahu-tahu, sebentuk cincin emas yang berukiran halus tersarung di jariku. Aku terkelu, tidak tahu hendak berkata apa-apa. Sungguh, aku tidak menjangka akan menerima kejutan ini.

“Aku sukakan kau. Well, aku sayangkan kau. Atau lebih tepat lagi, aku cintakan kau.”

Suka.

Sayang.

Cinta.

Semuanya terkeluar daripada mulut Haezade. Dan saat itu, aku terasa seperti hendak rebah pitam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience