BAB 8

Romance Series 55690

Ah! Dia pastinya sudah lama bekerja di sini, sedangkan aku pula baru hari inilah menjejakkan kaki ke sini, hendak melapor diri untuk memulakan kerja.

Satu kebetulan pula apabila alamat tempat kerjaku ialah pejabat yang sama di mana pemuda tadi melangkah masuk ke dalamnya.

“Awak pernah bekerja dengan sebuah syarikat produksi sebelum ni?” Puan Aliza, pengarah urusan syarikat penerbitan itu bertanya ketika membawaku menemui staf-staf yang lain.

“Tak pernah,” jawabku jujur.

“Tak apa, belajarlah dengan senior yang ada,” jawabnya tersenyum.

Aku tersenyum juga tetapi hati agak berdebar-debar. Ini kali pertama aku bekerja di sebuah syarikat penerbitan, sebagai seorang penyelidik dan penulis skrip. Harap-harap kerja baruku ini tidak sesusah mana. Harap-harap juga rakan sekerja yang lain sudi memberikan kerjasama dan bantuan ketika memerlukan.

Sebelum ini, kerjaku tidak menentu. Kerja terakhirku sebelum ini ialah di sebuah kedai roti dan kek. Dan setelah berhempas-pulas menghantar permohonan ke serata tempat, aku akhirnya ditawarkan bekerja di syarikat penerbitan rancangan TV yang baru hendak bertapak ini.

“Haezade,” Puan Aliza memanggil seseorang.

Seorang pemuda bergegas menghampiri kami berdua. Terpegun aku apabila menyedari yang dia adalah pemuda sama-sama berada di dalam lif tadi.

“Ini Haezade Hambali, penolong penerbit di sini. Haezade, ini Mashitah Idris tapi panggil saja Shitah. Dia penulis skrip kita yang baru tu,” Puan Aliza saling memperkenalkan kami berdua.

Haezade memandangku tanpa tersenyum. Berlagak! Getus hatiku buat kali kedua, sekaligus memberikan penilaian yang negatif terhadap dirinya. Aku cuba berlagak selamba di hadapannya, sekaligus memperlihatkan kemesraan sekalipun cukup tidak menyenangi lagak sombong dan renungan tajamnya. Tetapi orangnya kacak juga.

“Saya tinggalkan awak dengan Haezade, Shitah. Jangan bimbang, Haezade ni baik orangnya.”

Aku mengangguk akur. Puan Aliza berlalu pergi, tinggallah aku bersama Haezade. Baik? Aku melirik ke arah wajah yang masih beku tanpa sebarang senyuman itu. Selagi belum teruji, maka belum terbukti dan sekaligus tidak dapat diakui yang dia seorang pemuda yang baik.

“Ada pengalaman sebagai penulis skrip untuk rancangan TV sebelum ni?” soalnya serius sambil membawa aku sebuah meja yang kosong tanpa sesiapa.

“Tak,” gelengku sambil melabuhkan duduk di kerusi.

“Tak apa, tak jadi masalah. Aku sedia membantu kau, tapi dengan syarat…”

“Apa dia?” segera aku meningkah kata-katanya.

Bulat matanya memandang aku, tanda tidak menyenangi sikap terburu-buru aku itu. Aku hanya mampu tersengih lebar, mohon dimaafkan.

“Apa saja yang aku suruh, kau kena buat tanpa bantahan,” dia menyambung kembali kata-katanya tadi.

Termenung aku mendengar kata-katanya itu.

Bahaya juga syarat yang dikenakannya itu. Buatnya aku tidak mampu melakukan apa yang disuruh atau apa yang disuruhnya itu adalah suatu suruhan yang bukan-bukan, aku juga yang susah nanti.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Mashitah mampu bertahan bekerja di bawah bimbingan Haezade?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience